Bagi penyanyi dan pelakon yang populariti mereka makin meningkat, SS faham jika mereka mula meletakkan harga tinggi. Itu memang lumrah. Jika bakat makin diiktiraf dan diterima ramai, pasti harga untuk mendapatkan perkhidmatan mereka makin meningkat. Bagaimanapun dalam meletakkan harga masing-masing, ia perlulah realistik. Janganlah melampau-lampau sangat hingga promoter dan produser terbeliak biji mata! Inilah yang dilakukan seorang penyanyi ini. Sejak dia makin popular, harga yang diletakkannya makin tidak munasabah hingga penganjur yang mahu mengambilnya hampir terduduk. Setahu SS ketika mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian. Apa saja tawaran diambilnya, malah dia tidak kisah jika hanya diberi 'token' sebagai bayaran. Namun, apabila nama makin besar, nafsu pun makin besar. Bagi SS, tak salah dia nak naikkan harga, tetapi biarlah berpada-pada. SS dimaklumkan, seorang penganjur yang mahu mengambilnya dalam satu persembahan terbeliak biji mata apabila dia memberitahu bayarannya RM100,000 hanya untuk persembahan selama setengah jam! Ia juga hanya persembahan 'minus one' dan bukannya diiringi pemuzik. SS difahamkan dia juga pernah meminta bayaran hampir RM30,000 hanya untuk persembahan dua lagu. Bagi SS, dia memang ada hak untuk meletakkan harga bagi persembahan nyanyiannya kerana dia pun memang agak popular. Namun bak kata orang, 'agak-agaklah' kalau nak letak harga itu sedangkan dalam masa yang sama penyanyi yang lebih popular daripadanya tidak meletakkan harga setinggi itu. SS: Jangan asyik melihat awan yang tinggi, duri di bawah kau tidak peduli. - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7271#sthash.aXBADzrC.dpuf
|