|
Wanita didakwa cuba curi barang dapur universiti
27 November 2014
KUALA LUMPUR - Seorang bekas kerani Universiti Pertahanan Nasional (UPN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan cuba mencuri lebih 200kg barangan dapur milik Wisma Kadet universiti itu minggu lepas.
Fuzziana Mohd Yusoff, 30, didakwa cuba mencuri 50kg gula, tiga guni beras seberat 150kg, dan tiga botol minyak masak 15kg di tempat penyediaan makanan Wisma Kadet, UPN di Jalan Hang Tuah, Kem Perdana Sungai Besi di Cheras pada pukul 8.49 malam Ahad lepas.
Pada masa itu, Fuzziana, ibu kepada seorang anak, masih bertugas dengan universiti tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.
Ketika merayu bagi pihak Fuzziana, peguam Shalehhuddin Salam memohon supaya jaminan dikurangkan kerana anak guamnya yang pernah bekerja sebagai kerani di Wisma Kadet UPN, tidak lagi bekerja dan perlu menyusukan anaknya berusia kurang setahun.
Majistret Zuraini Abdul Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,800 dan menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan kes. - Bernama
|
|