Harga runcit RON95 dan diesel dijangka turun di bawah paras RM2 seliter mulai 1 Januari ini, sekiranya harga minyak dunia kekal mengalami penurunan. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata harga runcit berkenaan boleh dicapai kerana bagi 18 hari pertama bulan ini, harga purata minyak RON95 dan diesel jatuh di bawah paras RM2 seliter. "Sekiranya harga minyak dunia terus mengalami penurunan selama tempoh 10 hari akan datang ini, saya yakin harga runcit RON95 dan diesel boleh ditetapkan pada harga di bawah RM2 seliter," katanya di Rembau hari ini. Buat masa ini, harga runcit RON95 ditetapkan pada harga RM2.26 seliter manakala harga runcit diesel pula dijual pada RM2.23 seliter. Selaras dengan penurunan harga minyak, Ahmad juga berharap agar para peniaga dan syarikat dapat menurunkan harga barang jualan mereka. "Saya berharap 10 syarikat utama ini, yang juga membekalkan 70-80% barang makanan dalam Malaysia, hendaklah bertanggungjawab menurunkan harga barang jualan mereka," katanya. Beliau berkata sekiranya syarikat terbabit enggan menurunkan harga barangan mereka, ada pelbagai akta di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memastikan ia dilaksanakan. "Kita amat kesal, kalau harga minyak naik sikit, terus naik (harga) serta merta, tetapi bila harga minyak sudah turun, tak ada (harga) turun sedikit pun," katanya. Berkenaan GST, Ahmad berkata kerajaan sudah menjalankan 500 program penerangan sistem cukai baharu itu yang akan dilaksanakan April depan, di peringkat Parlimen di seluruh negara. "Ada lebih kurang 400 program seumpama ini belum dilaksanakan. "Jadi saya menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menyelesaikan kesemua program ini pada bulan Januari dan Februari ini, supaya semua (kawasan) Parlimen dapat difahamkan tentang GST ini," kata Ahmad. – Bernama, 19 Disember, 2014.
|