CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1047|Reply: 0

PAS oh PAS – Huzaifah Ahmad Yamani

[Copy link]
Post time 28-2-2015 11:33 PM | Show all posts |Read mode
PAS oh PAS – Huzaifah Ahmad Yamani
Tatkala genderang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013 dipalu, PAS bukan main bersemangat mendendangkan lagu ‘Putrajaya’. Kala itu, PAS mahu ‘menghijaukan’ Putrajaya, dan demi merealisasikan hasrat itu, PAS bergandingan penuh erat dan ‘kasih-sayang’ dengan sekutunya, PKR dan DAP. Ini realiti, bukan ilusi. Sejarah PRU13 dan PRU12 mencoret sejarah kerjasama itu.
Masa berlalu. PAS dan gandingan sekutunya mulai berselisih pandangan. DAP dengan idea demokratik tulennya, mahu mengembalikan kuasa rakyat termasuklah idea Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. PAS pula kekal dengan agenda utamanya menegakkan undang-undang Islam atau hudud. PKR, pastilah memperjuangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan elemen yang membelakangkan Anwar seperti keengganan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turun jawatan, fatal akibatnya. PKR dan Anwar ibarat isu dan kulit.
Mutakhir ini, sengketa PAS – DAP nampaknya paling ketara. Masing-masing memberikan amaran dan gertakan. Ibarat budak-budak kecil yang berkelahi, masing-masing saling menjelir lidah. Masih belum sampai tahap bergomol dan berguling di atas tanah. Tapi, tidak nampak mana-mana pihak mahu berundur atau mengalah. Walhal, dua-dua pihak, PAS atau DAP parti ‘otai’ di Malaysia. Otai sepatutnya menjadikan mereka berdua lebih bijaksana.

Namun jika dibandingkan sengketa PAS – DAP, PAS lebih parah kerana PAS juga berada dalam ‘konflik dalaman’. PAS sama PAS nampaknya sedang jelir-menjelir dan hampir saling gomo-bergomo. Di satu sisi, ada namanya UG atau GU; di satu sisi lain ada namanya Erdogan atau Profesional (atau disebut juga Anwarinas).
PAS nampaknya sekarang ini dalam situasi paling pening. Dengan adik-beradik sendiri berkelahi, dengan kawan-kawan berkelahi dan dengan musuh tradisinya pun, iaitu Umno dan Barisan Nasional (BN), PAS nampaknya mahu terus berkelahi. Pimpinan kanan PAS menafikan dengan keras PAS dan Umno mahu ber’UG’; walaupun di satu sudut lain, elemen ke arah UG itu nampak sudah berputik kembali. Buktinya, sudah ada suara dari Terengganu, mencadangkannya. Ya, ia mungkin ‘test market’ saja; untung sabut timbul, tidak rugi mencuba.
Baiklah, apa yang saya ingin bawakan dalam penulisan ini hanya satu, ke mana hala tuju PAS? Seingat saya, PAS memang beberapa kali bergolak. Era Asri Muda, PAS bergolak teruk hingga lahirnya ‘Kepimpinan Ulama’. Malah Nakhaie Ahmad yang hebat berpidato dan mengutuk Umno pun terpelanting daripada PAS. Dan kini, PAS bergolak lagi, dan pergolakannya cukup rumit dan memeningkan.
Kenapa memeningkan? Kerana, ia didokong golongan agamawan dalam PAS. Mereka dilabelkan sebagai GU atau Geng Ustaz, dan musuh mereka atau seteru mereka kelompok profesional dalam PAS. Ya, ini realiti, bukan ilusi. Multaqa Ulama PAS baru-baru ini menzahirkannya. Nama-nama yang disenaraikan sebagai penentang presiden PAS dan Majlis Syura Ulama (MSU) adalah nama-nama profesional. Seorang pun tiada nama ulama di dalamnya.
Maka, bukankah ini suatu perkelahian yang sangat membahayakan PAS? Itu belum dilihat perkelahian ulama PAS dengan DAP. Jawapan balas ulama PAS kepada parti sekutu mereka ini bagi saya, sangat tidak diplomatik. Presiden PAS membidas DAP dengan mengungkit insiden 13 Mei sekiranya idea pilihan raya kerajaan tempatan direalisasikan. Ada yang berpandangan, itu adalah ‘buah silat’ atas sikap DAP yang kritikal kepada hudud.
Namun bagi saya, ia tetap tidak diplomatik. Presiden PAS membidas DAP dan menggunakan alasan 13 Mei, dan itu samalah dengan strategi Umno dan BN selama berpuluh-puluh tahun dalam menakut-nakutkan pengundi Melayu kala PRU menjelang tiba. Politik ketakutan, dan kini nampaknya juga sudah menjadi buah PAS menibai kawannya sendiri.
PAS sebuah parti Islam, dan parti otai di Malaysia. Malah presiden PAS diiktiraf di peringkat dunia apabila menjadi penolong Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Persatuan Ulama Dunia, dan hal ini amat membanggakan kelompok ulama PAS. Namun, ketokohan presiden PAS ghaib dan tidak menyerlah, tatkala beliau menghadapi ulah dan keletah DAP.
Presiden PAS sepatutnya tidak mudah melatah, malah wajar melayan ‘sikap kebudak-budakan DAP’ dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Saya pasti yang GU dalam PAS, boleh memberikan idea dan pandangan kepada presiden bagaimana menghadapi ‘kenakalan’ DAP. Ibarat kata orang tua-tua, bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berserakan. Itulah namanya kebijaksanaan dan ketelitian, dan itulah lambang kematangan PAS sebagai parti otai dan ‘Big Brother’ di Malaysia.
Sayang, ia tidak berlaku. PAS menari mengikut rentak DAP. Bila DAP menjungkit ke kanan, PAS menjungkit ke kiri. Bila DAP menepuk lantai, PAS menepuk dinding. Bila DAP menerjah angin, PAS pula menepis bayang-bayang. Apakah ini kebijaksanaan PAS setelah kewujudannya lebih 50 tahun?
Adakah ini juga menjadi bukti PAS gagal mendidik DAP sekutunya? Selama ini, orang PAS di peringkat bawahan sering menuduh Umno gagal mendidik MCA dan MIC untuk memahami Islam, kerana MCA, MIC dan Gerakan juga sering menyerang Islam. Maka, bagaimana dengan PAS?
Isu hudud misalnya, kenapa pimpinan DAP sehingga sekarang masih tak faham-faham? Bukankah dalam PAS ada sayap bukan Islam, Dewan Penyokong PAS yang diisi oleh golongan Cina dan India dan semua kaum bukan Islam, maka apakah peranan mereka? Adakah kewujudan mereka tidak membantu PAS dalam memahamkan bukan Islam dalam DAP terhadap aspirasi PAS? Ataupun, entah-entah kumpulan penyokong PAS ini pun sudah ghuyub dan hilang ditelan masa?
PAS bagi saya, semakin lama semakin kurang berkesan dalam mendakwahi bukan Islam kepada Islam. Betul atau tidak, ini persepsi umum dalam kalangan rakyat. Ini kerana, PAS kini dilihat kian membina benteng dan tembok pemisah dengan parti lain – DAP dan PKR – yang diisi bukan Islam. PAS nampaknya seperti seorang budak yang terus mahu menang sendiri, enggan berkompromi dan suka menggigit telinga kawannya sendiri.
PAS mungkin pedas mendengar kenyataan ini. Namun, seperti mana PAS sendiri suka mengkritik dengan pedas terhadap lawannya Umno dan BN, maka PAS wajar menerima teguran dan kritikan ini. Jika tidak, PAS mungkin menjadi sebuah parti ‘kera sumbang’, dan ketika itu cita-cita hudud yang diperjuangkan PAS hanyalah angan-angan.
Ingat, penghalang sebenar hudud bukanlah DAP, tetapi Umno dan BN. PAS hanya bermimpi untuk meraih undi Umno, kerana anjing tidak akan pernah sepi menggigit pelanduk yang melepaskannya dari jerat. Takkanlah PAS yang sekian lama berkelahi dengan Umno boleh melupakan segala kejahatan Umno kepadanya selama ini? Wallahua’lam. – 28 Februari, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.c ... thash.mG3AKP6C.dpuf
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 03:36 PM GMT+8 , Processed in 0.065469 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list