CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1255|Reply: 0

[Tempatan] Pasir Mas ungguli STPM 2014

[Copy link]
Post time 3-3-2015 09:20 AM | Show all posts |Read mode


PASIR MAS - Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 diumumkan semalam, menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kangkong dinobatkan sebagai sekolah terbaik di negeri ini apabila 63 calon sekolah berkenaan lulus dalam semua mata pelajaran.
       
        Selain itu sebuah lagi sekolah SMK Tengku Panglima Raja meneruskan kecemerlangan apabila seorang pelajarnya, Sahlan Mohd Noor, 20, mendapat kesemua A dalam lima mata pelajaran sekali gus melonjakkan lagi nama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas di persada negeri.
       
        Manakala empat sekolah iaitu SMK Sultan Ibrahim 1, SMK Sultan Ibrahim 2, SM Perempuan dan SMK Kubang Bemban turut mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.
       
        Kecemerlangan itu sekali gus meletakkan PPD Pasir Mas berada pada kelasnya tersendiri khususnya dalam peperiksaan STPM.
       
        Anak pencari ikan dapat semua A
       
        Sahlan yang berasal dari Kampung Baru, Cherang Hangus di sini, sama sekali tidak menyangka akan mendapat kesemua A dalam lima mata pelajaran yang diambil iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi dan Ekonomi.
       
        Anak kepada seorang pencari ikan itu muncul sebagai seorang daripada enam pelajar yang mendapat kesemua A dalam STPM di negeri ini dan sekali gus mengharumkan nama SMK Tengku Panglima Raja.
       
        “Ini adalah impian saya dan Alhamdulillah ia menjadi kenyataan selepas berusaha bersungguh-sungguh selama dua tahun ini.
       
        “Saya sudah berazam untuk mendapatkan keputusan cemerlang dan memastikan saya layak ditawarkan biasiswa bagi menyambung pengajian ke peringkat universiti,” katanya.
       
        Menurutnya, dia tidak mahu menyusahkan kedua ibu bapanya, Mohd Noor Mahmood, 50, pencari ikan dan Zabidah Daud, 47, penoreh getah.
       
        Sahlan yang menyimpan cita-cita menjadi seorang pensyarah berkata, dia berharap dengan keputusan cemerlang itu dia akan ditawarkan biasiswa dan menyambung pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
       
        “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang banyak memberikan tunjukkan ajar serta dorongan kepada kami,” katanya.
       
        Ibu sumber inspirasi
       
        Mohd Nizam Mat Duad, 20, anak bongsu daripada lima beradik menjadikan ibunya, Siti Minah Che Ngah, 55, sebagai sumber inspirasinya mendapat kesemua A dalam semua subjek STPM.
       
        “Ibu ingin melihat saya berjaya dan keputusan cemerlang STPM ini adalah hadiah untuknya.
       
        “Saya juga ingin merealisasikan impian ibu untuk melihat anaknya menjejakkan kaki ke menara gading,” katanya yang juga pelajar SMK Kangkong.
       
        Mohd Nizam adalah anak yatim selepas kematian ayahnya pada 2007 dan dia dibesarkan ibunya dengan hasil berniaga kedai runcit di Kampung Cabang Tok Uban.
       
        Menurutnya, yang bercita-cita menjadi pendidik, setiap kali musim peperiksaan tiba dia akan menunaikan solat hajat 40 kali berturut-turut.
       
        Malah dia juga menjadikan keratan akhbar kejayaan pelajar lain sebagai motivasi dengan menampalnya di dinding dan melihatnya setiap hari sebelum ke sekolah.
       
        Kejayaan abang, kakak pembakar semangat
       
        Sementara itu, seorang lagi pelajar, Nurakma Syakilah Che Bebakar turut mengharumkan nama SMK Kangkong apabila mendapat kesemua A dalam empat subjek STPM yang diumumkan, semalam.
       
        Anak ketujuh daripada lapan beradik dan berasal dari Kampung Bendang Pauh itu berkata, dia menjadikan abang dan kakaknya yang berjaya sebagai motivasi untuk mendapatkan keputusan cemerlang.
       
        “Selain itu, saya juga cuba fokus di dalam kelas serta kejayaan ini hasil bantuan guru-guru yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar kepada saya serta kawan-kawan lain,” katanya yang juga anak seorang petani.
       
        Nurakma Syakilah berkata, dia ingin menyambung pengajiannya dalam bidang pendidikan dan menjadi seorang guru seperti abang dan kakaknya.
       
        SMK Kangkong julung kali muncul terbaik
       
        Warga SMK Kangkong terutamanya Pengetuanya, Abdul Rahman Mat berkata, beliau sangat bersyukur dan gembira dengan keputusan STPM pada tahun ini apabila untuk pertama kalinya sekolah itu muncul sekolah terbaik selepas semua calon lulus 100 peratus.
       
        “Tahniah kepada semua 63 calon yang bekerja keras dan berusaha menjadikan kejayaan ini kenyataan.
       
        “Saya sendiri sentiasa ingatkan guru dan pelajar mengenai kecemerlangan sama ada dalam mesyuarat mahupun perhimpunan dan perjumpaan,” katanya.
       
        Beliau juga bangga dengan hasil kerja keras ditunjukkan semua guru dalam melahirkan ramai pelajar cemerlang.
sumber:sinar harian

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 04:33 PM GMT+8 , Processed in 0.490047 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list