Diva pujaan ramai, Ziana Zain berkongsi cerita tentang kehidupannya sebagai seorang ibu kepada empat orang anak. Jelasnya, semakin anak-anak membesar, semakin bimbang tidak boleh berlaku adil kepada mereka. “Kadang-kadang saya tanya pada diri sendiri, “Can I be fair to my children?” Sekarang baru saya faham betapa susahnya hendak menjaga anak-anak. Sebagai ibu, kita kena pandai bahagi masa. Kalau tidak, mungkin anak-anak akan beranggapan kita tidak hiraukan mereka. Atau mereka rasa kita hanya beri perhatian pada adik-beradik yang lain. Sebab itu saya selalu pesan pada anak-anak saya supaya beritahu atau luahkan apa yang mereka rasa. Saya tak mahu mereka simpan sahaja. “Sebagai ibu, kita juga kena kenal karektor anak-anak. Perangai masing-masing bukannya sama. Anak sulung saya, Aiman dengan Ariel misalnya tidak suka dengan kamera. Memang susah hendak suruh mereka beraksi depan kamera. Mereka juga tidak berapa suka dengan publisiti. Berbeza dengan yang nombor dua, Ammar dan anak bongsu, Nour Kaseh, perangai mereka memang sama dengan saya,” luah Ziana. Berkongsi tentang caranya mendidik anak, penyanyi yang popular dengan lagu “Madah Berhelah” ini memberitahu dia sering menegur anak-anaknya dengan kata-kata nasihat. “Dalam mendidik anak, kita memang kena marahkan mereka untuk kebaikan. Tetapi janganlah marah dengan kata-kata yang tidak baik, sebaliknya marahkan mereka dengan kata-kata yang memberi nasihat. Selain itu, saya juga masih merotan anak-anak. Tujuan saya merotan mereka adalah untuk mendidik. Mahu mereka menjadi orang yang lebih baik. Mungkin ada yang tidak setuju dengan cara merotan tetapi terpulang kepada karektor anak-anak. Lain budak, lain caranya,” ujar Ziana. Sementara itu, dia juga mendedahkan Anuar Zain sering memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada anak-anaknya. “Pak Ngah dia kalau ada masa memang akan luangkan dengan anak-anak saya. Selalunya dia akan ‘umpan’ anak-anak dengan makanan. Ada sahaja makanan yang dia akan bawa untuk anak-anak saya. Pak Ngah dia selalu ajar tentang disiplin dan cara hormatkan orang lain. Saya boleh nampak anak-anak saya ikut apa yang diajar.”
|