|
Dalam usia semuda 23 tahun, Ayda Jebat sudahpun memiliki rumah sendiri.
Rumah pertama miliknya itu dibeli hasil daripada titik peluhnya dalam bidang lakonan.
“Adik beli rumah ni pada tahun lepas,” kata Ayda kepada Mangga Online.
Namun, aktres yang lebih mesra membahasakan dirinya sebagai Adik ini tidak mahu mendedahkan rumah bagaimana yang dibelinya iaitu sama ada sebuah pangsapuri, rumah teres atau banglo.
“Tak payahlah cakap rumah macam mana yang Adik beli. Cukuplah kalau Adik cakap yang rumah ni terletak di KL,” jelasnya.
Ayda atau nama penuhnya, Nur Suhada Jebat memilih untuk memiliki rumah di Kuala Lumpur dan tidak di tempat asalnya iaitu di Melaka kerana ia akan memudahkan urusan kerjayanya yang bertumpu di ibu kota.
Bagaimanapun, Ayda memberitahu yang dia sering pulang menjenguk keluarganya di Melaka, setiap kali dia lapang daripada sebarang komitmen lakonan.
Ayda yang baru-baru ini memenangi dua anugerah di Anugerah Bintang Popular 2014 iaitu Artis Baharu Wanita Popular dan Gandingan Serasi Di Layar Kategori Online (bersama Zul Ariffin), akui yang dia sedang mengumpul aset secara sedikit demi sedikit untuk kegunaan di masa hadapan.
“Adik juga sedang berfikir-fikir apa yang Adik nak buat selain daripada berlakon.
“Bapa Adik pun ada cakap pasal hal ini. Tengoklah macam mana nanti. Mungkin kalau karier lakonan Adik dah stabil, baru Adik nak ceburi bidang perniagaan.
“Tapi rasanya, bukan sekarang. Adik tak nak terkejar-kejar sebab bidang lakonan ni pun memerlukan Adik untuk bekerja tidak tentu masa,” ujarnya lagi.
Ayda ketika ini sedang sibuk dengan penggambaran drama adaptasi daripada novel yang berjudul M.A.I.D.
Lakonannya juga kini boleh ditonton menerusi dua buah drama iaitu Isteri Separuh Masa (setiap Isnin, jam 10.00 malam di Astro Ria dan Astro Maya HD) dan Suami Sebelah Rumah (jam 6.30 petang di TV3).
|
|