|
Artis kontroversi, Aliff Aziz memilih untuk mengikat tali pertunangan dengan teman wanitanya, Bella Astillah, 21, pada Disember depan.
Penyanyi kelahiran Singapura itu berkata, bukan mudah untuk beliau memenangi hati kedua ibu bapa Bella berikutan pelbagai kontroversi dari segi masalah sosial dan tidak disiplin yang membabitkan dirinya.
"Saya akui ibu bapa mana yang ingin melihat anak mereka hidup dengan seorang lelaki yang penuh kontroversi seperti saya. Bukan mudah untuk saya memenangi hati mereka pada mulanya.
"Namun, mungkin kerana keikhlasan dan kesungguhan yang saya berikan berjaya membuka hati mereka untuk menerima saya. Biarlah kisah lalu menjadi pengajaran buat saya agar menjadi seorang yang lebih baik pada masa hadapan.
"Kami memilih untuk bertunang akhir tahun ini dan merancang berkahwin pada masa tahun depan. Kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan," kata Aliff kepada BH Online.
Beliau bertekad memilih Bella iaitu kakak kepada Didi Astilla yang sedang menuntut di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) dalam bidang penyiaran.
Aliff Aziz dan Bella ditemui pada majlis pelancaran rancangan istimewa Hari Raya Astro di Hotel The Majestic di sini.
Abang kepada Aisyah Aziz itu turut mengakui terkilan kerana adiknya terpalit sama dengan pelbagai kontroversi yang membelenggu dirinya.
"Saya kasihan melihat Aisyah yang menjadi buruan setiap kali kontroversi yang melanda diri saya menjadi bualan. Dia adalah adik saya, mana mungkin dia hendak membuka kisah keluarga kepada pihak media.
"Sebenarnya saya lebih selesa sekiranya pihak media terus menanyakan hal itu kepada saya kerana tidak mahu membebankan adik saya dengan masalah hidup saya. Saya harap selepas ini Aisyah tidak perlu lagi berdepan dengan situasi itu," ujar Aliff.
|
|