|
‘Nenek rasis’ dapat setengah juta
Oleh Hadzlihady Hassan dan Hayati Ibrahim
hadzlihady@hmetro.com.my
LIM (kanan) diarah membayar ganti rugi RM500,000 kepada Jahara. FOTO Mohd Fadli Hamzah/Zulaikha Zainuzman
Georgetown: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini mengarahkan Ketua Menteri Lim Guan Eng, membayar ganti rugi sebanyak RM500,000 kepada Ketua Pembangkang negeri, Datuk Jahara Hamid kerana menggelar beliau sebagai 'nenek rasis'.
Hakim Datuk Nordin Hasan, ketika membacakan keputusan juga mengarahkan Guan Eng membayar kos guaman sebanyak RM40,000 beserta faedah sebanyak lima peratus.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu turut diarah untuk menarik balik kenyataan terhadap Jahara, selain mengeluarkan injuksi menahannya daripada mengulangi kata-kata fitnah.
Jahara sebelum ini memfailkan saman terhadap Guan Eng, selepas beliau menggelarnya sebagai 'nenek rasis' dalam sidang akhbar di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),pada Disember 2013 lalu.
Guan Eng menggunakan gelaran'nenek rasis' itu apabila Jahara dikatakan cuba membangkitkan isu perkauman apabila menuduh kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu.
Sementara itu, Jahara berkata, keputusan mahkamah itu adalah sebagai pengajaran kepada semua pemimpin, selain mengembalikan maruahnya sebagai wanita.
"Saya bersyukur kes saman malu ini selesai dan saya berharap ini menjadi satu pengajaran kepada semua pemimpin. Kita tidak seharusnya lemparkan tuduhan dan beri gelaran yang menjatuhkan maruah seseorang.
"Keputusan ini juga memberi keadilan dan membuktikan saya bukan seorang rasis,"katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Jahara berkata, Guan Eng yang memegang jawatan tertinggi di negeri itu sepatutnya membuka mata dan tidak melemparkan tuduhan atau gelaran yang menjatuhkan maruah sesiapa.
Ditanya keputusan Guan Eng untuk merayu terhadap keputusan itu, Jahara berkata, ia terserah kepada Guan Eng kerana itu hak beliau.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 1:28 PM --HMetro |
|