Beli-belah menggunakan telefon pintar semakin mendapat tempat di Malaysia. gambar hiasan
Berdasarkan Kaji Selidik Beli-belah Mudah Alih MasterCard, Malaysia mencatatkan pertumbuhan 45.6 peratus pada 2014 berbanding 25.4 peratus pada 2012, naik 20 peratus.
Menurut kajian itu, satu daripada faktor utama yang mendorong pertumbuhan tersebut adalah peningkatan berterusan jumlah rakyat Malaysia yang mempunyai akses kepada Internet pada telefon pintar mereka daripada 81.2 peratus pada 2012 kepada 94.6 peratus pada 2014.
Pengurus Negara MasterCard Indonesia, Malaysia dan Brunei, Safdar Khan berkata, pertumbuhan luas dalam perdagangan mudah alih mungkin akan meningkat kerana rakyat Malaysia menerima teknologi baharu dalam kehidupan seharian mereka.
“Sebagai sebuah syarikat teknologi pembayaran, kami komited untuk menyediakan penyelesaian pembayaran yang inovatif yang memudahkan pembayaran dalam talian yang selamat dan selesa.
“Keselamatan dan inovasi adalah asas penawaran pembayaran kami dan memastikan rakyat Malaysia dapat beli-belah dengan tenang adalah keutamaan kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata kajian itu lagi, rakyat Malaysia yang membeli menggunakan telefon bimbit mereka adalah disebabkan peningkatan tawaran aplikasi yang memudahkan beli-belah (46.2 peratus), keupayaan untuk berbelanja di mana sahaja (44.8 peratus) dan kemudahan menggunakan telefon mudah alih (42.4 peratus).
Sementara itu, rakyat Malaysia yang tidak menggunakan telefon bimbit untuk membeli atas talian memberitahu, mereka lebih gemar untuk beli-belah menggunakan komputer peribadi atau riba (77.7 peratus), di kedai (61.4 peratus) dan menggunakan tablet (48.3 peratus).
Dalam pada itu, dari segi pertumbuhan beli-belah menggunakan telefon bimbit, Taiwan dan India menjadi peneraju pada rantau ini dari segi jumlah bilangan yang menggunakan telefon pintar iaitu lebih dua kali ganda dalam masa dua tahun.
Taiwan tumbuh daripada 28.2 peratus kepada 62.6 peratus pada 2014 manakala India naik daripada 30.3 peratus pada 2012 kepada 62.9 peratus pada 2014.
Hasil daripada kajian tersebut adalah berdasarkan kepada temu bual yang dibuat antara Oktober hingga Disember 2014 daripada 500 responden berumur antara 18 hingga 64 tahun di setiap 14 pasaran.