FMT di kedudukan lima portal berita paling kerap diakses
FMT Reporters
| October 2, 2015
Pada bulan Julai 2015, FMT menerima 602,000 kunjungan pengguna komputer desktop.
PETALING JAYA: Free Malaysia Today (FMT) direkod sebagai portal berita ke lima paling kerap diakses oleh pengguna komputer desktop dan laman web ke-15 paling popular di Malaysia oleh sebuah syarikat analitis dan pengukur media, comScorec Inc. Survei ranking yang dirakam pada bulan Julai lalu oleh comScore Inc dan Pertubuhan Digital Malaysia yang turut menyatakan FMT meningkat naik lapan tangga daripada sebelumnya bersama-sama satu lagi laman web, iaitu Lelong.com yang kini berada di tangga ke-18. Pada bulan tersebut, FMT menerima 602,000 kunjungan pengguna komputer desktop. “Kami berpuas hati dengan prestasi ini. Bagi sebuah organisasi yang kecil, saya percaya kami sedang lakukan yang terbaik. Bagaimanapun kami akan terus menambah baik pretasi ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FMT, Shahrom Shahrudin. “Kami percaya pembaca melayari laman FMT kerana kami tidak berpihak kepada mana-mana parti politik. Kami hanya membuat liputan perkara yang sesuai dijadikan berita dan kami juga turut memberi ruang kepada penulis bebas jika penulisan mereka menarik minat pembaca ke aras diskusi yang sihat. “Kami mengalu-alukan penulisan bebas berunsur pendapat yang bagus, jelas dan berpatutan. Kami meletakkan FMT sebagai platform kepada orang awam membincangkan hal ehwal semasa.” Kedudukan bulanan tersebut diambil berdasarkan aktiviti laman web yang paling kerap diakses di Malaysia.
|