Edited by Pajeri_Nenas at 12-10-2015 07:52 AM
KOTA KINABALU: Seorang lelaki membuat laporan polis mendakwa anak saudaranya menemui bangkai sebuah pesawat tertera bendera Malaysia di sebuah pulau di selatan Filipina. Dalam laporannya, lelaki terbabit mendakwa anak saudaranya yang berasal dari Tawi-Tawi di negara jiran itu menemui bangkai pesawat berkenaan yang dipercayai MH370 di Pulau Ubian awal September lalu. Difahamkan laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, hari ini. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu tetapi berkata maklumat berkenaan masih disiasat. "Maklumat itu sehingga kini belum disahkan lagi," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi. Dalam laporannya, lelaki berusia 40-an itu mendakwa anak saudaranya dan beberapa rakannya menemui bangkai pesawat terbabit ketika memburu burung di pulau berkenaan. Laporan lelaki itu juga menyatakan anak saudaranya dapat mendekati bangkai pesawat itu dan melihat rangka manusia di bahagian tempat duduk dan masih memakai tali pinggang keledar. Penerbangan MH370 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China bersama 239 penumpang dan anak kapal, hilang pada 8 Mac tahun lalu. Pada 29 Julai lalu, pihak berkuasa Perancis mengumumkan penemuan flaperon atau kepingan sayap pesawat MH370 di Pulau Reunion, iaitu kira-kira 4,700 kilometer dari zon pencarian ketika ini di selatan Lautan Hindi. http://www.bharian.com.my/node/88012 |