CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1832|Reply: 5

[Tempatan] Tak perlu jagaan rapi

[Copy link]
Post time 4-11-2015 11:20 AM | Show all posts |Read mode
Tak perlu jagaan rapi
Oleh Mohamad Hussin dan Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


ISI kupang yang kenyal dan enak.

Ternakan kupang di negara ini kurang popular berbanding ternakan lain kerana tidak ramai nelayan mengusahakannya.

Kupang atau siput sudu dari segi saintifiknya daripada famili siput mullusk yang popular dalam kala­ngan masyarakat negara ini. Terdapat siput sudu dalam air laut (pteriomorpha) dan air tawar (palaeoheterodonta) serta kupang zebra (heterodonta).

Nama kupang cukup popular dalam kalangan masyarakat di selatan tanah air. Di kawasan lain, terutama di utara Semenanjung Malaysia ia dikenali sebagai siput sudu.

Ternakan kupang begitu sinonim di Johor kerana faktor cuaca selain air laut dan air tawarnya yang sesuai dengan pembiakan siput itu.

Penulis berkesempatan menyertai lawatan ke Kampung Sungai Melayu, Johor Bahru untuk bertemu nelayan di situ, baru-baru ini.

Kampung Sungai Melayu terpilih sebagai projek perintis eko pelancongan menerusi Program Kawan Iskandar Malaysia yang menyediakan pelbagai program bagi menarik kedatangan tetamu ke situ.

Sepanjang tahun lalu, kampung itu menerima hampir 4,000 pelancong dari dalam dan luar negara.

Ketua Kampung Sungai Melayu Pandak Ahmad berkata, desa berkenaan antara kampung warisan dan pelancongan popular di Johor Bahru sejak mula dilancarkan pada Oktober 2013.

Beliau berkata, Kampung Sungai Melayu sudah diwartakan sebagai kampung warisan termasuk zon paya bakau yang berusia 150 tahun.

“Selain hutan paya bakau dengan keunikan flora dan fauna, kampung ini juga terkenal dengan penternakan kupang.

“Penduduk kampung ini turut menjalankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk belacan, ikan kering dan kraftangan berasaskan kupang.

“Keropok kupang tidak boleh diperoleh di tempat lain, hanya di Kampung Sungai Melayu. Jadi mereka yang datang ke kampung ini berpeluang merasai sendiri keenakan keropok kupang yang berbeza dengan keropok biasa,” katanya.

Menurut Pandak, penternakan kupang mendapat perhatian kerajaan termasuk membiayai kos membina rakit khas bernilai hampir RM1 juta milik koperasi kampung berkenaan.

“Kupang mengambil masa enam bulan untuk matang sebelum dijadikan hidangan atau menghasilkan barangan seperti keropok kupang dan kupang kering.

“Penternakan kupang tidak memerlukan penjagaan terlalu rapi seperti ternakan lain yang perlu diberi makan mengikut waktu tertentu.

“Ternakan kupang hanya memerlukan tali diperbuat daripada jala sebelum disimpul untuk menjadi seutas tali yang panjang,” katanya.

Katanya, tali yang diikat pada rakit itu dapat digunakan sehingga dua kali penternakan.

“Selepas setahun, tali berkenaan mulai reput dan perlu ditukar bagi memaksimumkan pengeluaran kupang.

“Jarak tali dalam satu rakit juga perlu diukur supaya tidak rapat dan terlalu jauh ke dalam air bagi memastikan pembiakan dan pengeluaran kupang lebih efisien.

“Ternakan kupang tidak hanya membiak di tali, malah tong pengikat kayu rakit juga akan menghasilkan kupang,” katanya.

Tong itu juga perlu diterbalikkan setiap enam bulan apabila kupang mencapai tahap matang bagi memberi ruang kepada pembiakan baru.

“Walaupun tahap matang kupang enam bulan, anak benih kupang berusia seawal dua bulan juga boleh diambil untuk dimakan. Saiz yang lebih kecil itu lebih sesuai untuk hidangan sup atau tomyam.

“Kupang perlu dibersihkan bagi membuang selut dan teritip pada kulitnya sebelum dijual,” katanya.

Penternakan kupang di Kampung Sungai Melayu antara yang termaju di Johor kerana hasilnya boleh mencecah 100 kilogram sebulan. Sekilogram kupang dijual pada harga RM3.80 kepada pembekal.

Sementara itu, Ketua Komuniti Perikanan Kampung Senibong, Johor Bahru, Yacob Shahdan, 73, berkata, modal pertama yang perlu dikeluarkan untuk menternak kupang agak tinggi, iaitu sekurang-kurangnya RM100,000.

“Saya ada 10,000 tong dan tali sepanjang 350 kaki yang diikat dengan 30 tong. Setiap tong mampu menghasilkan kira-kira 40 kilogram kupang. Biasanya satu guni kupang akan dijual secara pukal kepada peraih pada harga RM38 hingga RM40.

“Tempoh kitaran ternakan kupang antara tiga hingga tujuh bulan yang kebiasaannya dituai dua tahun sekali. Hasil tuaian bergantung kepada jumlah kupang yang membesar pada setiap tali. Jika tiada ombak kuat yang disebabkan gangguan feri umpamanya, kupang boleh membesar lagi.

“Kebiasaannya, kupang pada usia antara tiga hingga empat bulan masih belum mantap (melekat pada tali) dan mudah terlerai dari tali jika dilanda ombak kuat.

“Kupang yang jatuh ke dasar laut akan mati dan baki yang melekat pada tali hanya tinggal sedikit,” katanya.

Yacob atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Akob berkata, kupang terbaik dari segi rasanya yang enak boleh didapati di perairan Selat Johor kerana kualiti air di situ masih baik, manakala arus airnya mengalir perlahan menjadikannya sesuai untuk semua projek akuakultur seperti ternakan ikan siakap dan kupang.

“Ketika ini, ada 19 pengusaha kupang di Kampung Senibong yang mampu meraih pendapatan lumayan. Kupang dari kampung ini dijual di seluruh Johor selain sebahagiannya dihantar ke Muar dan Melaka, malah turut dieksport ke Singapura,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 2:08 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/90392#sthash.xZuLGDUa.dpuf


KUPANG yang diangkat diletakkan di atas jeti untuk proses pembersihan.


JALA yang diikat diletakkan dalam air bagi pembiakan kupang.


PENTERNAKAN kupang di dalam air laut.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 4-11-2015 12:27 PM | Show all posts
Rebus or wat sambal kupang sodap ni
Reply

Use magic Report

Post time 4-11-2015 12:35 PM | Show all posts
sedapnyaaaa
Reply

Use magic Report

Post time 4-11-2015 12:50 PM | Show all posts
buat chowder...sedapnya mkn ngn garlic bread

omputeh angat
Reply

Use magic Report

Post time 4-11-2015 01:24 PM | Show all posts
adohhh lame x mkn kupang,
blk kerja nk cri laaaa
Reply

Use magic Report

Post time 4-11-2015 02:48 PM | Show all posts
sedapnya.. isi kupang sambal
Reply

Use magic Report

Follow Us
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 02:31 PM GMT+8 , Processed in 0.121464 second(s), 35 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list