DAP Ada Niat Tidak Baik, Bangkit Isu Tukar Tanah Rizab Melayu
Walaupun dalam nada berseloroh, tetapi DAP mempunyai niat tidak baik apabila membangkitkan isu penukaran tanah rizab Melayu, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak.
Menurutnya, apabila ADUN DAP Sekinchan, Ng Suee Lim membangkitkan isu menukar nama Kampung Bagan Nakhoda Omar kepada menjadi Kampung Bagan Nakhoda Chong jelas menunjukkan parti itu bersifat rasis.
“Walaupun ia mungkin dalam bentuk hiburan daripada pihak DAP, namun selalunya DAP memang rasis.
“Bagan Nakhoda Omar sudah digazet dari segi alamat, topografi. Apabila bahas nak tukar nama jadi Bagan Nakhoda Chong, saya ingat ia satu sikap yang tidak bagus.
“Nak tukar sejarah, biar kena caranya. Saya ingat tak setuju dengan cara itu,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam, lapor The Rakyat Post.
Bagaimanapun, kata Sulaiman, BN tidak akan ambil tindakan sedemikian, kerana terdapat imuniti dalam DUN.
“Teguran kena diberikan, sebab ia melibatkan sejarah dan dasar. Jika kita ubah yang itu, jika orang lain nak ubah nama sesuatu tempat pula bagaimana? Ia sensitif,” katanya.
Ng yang juga Timbalan Setiausaha DAP Selangor dalam sidang DUN Selangor semalam mencadangkan kerajaan negeri menukar nama Kampung Bagan Nakhoda Omar kepada nama Cina, kerana dakwanya kampung itu dihuni 100 peratus keluarga Cina.
Beliau juga turut meminta status Tanah Rizab Melayu di Kampung Bagan Nakhoda Omar ditukar dan warta dibatalkan.
Sementara itu, ADUN BN-Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik berkata, Tanah Rizab Melayu tidak boleh ditukar, kerana tiada tanah sesuai untuk menggantikan tanah tersebut.
“Mereka duduki Tanah Rizab Melayu, macam mana nak tukar Rizab Cina? Ada tempat gantinya? Tiada.
“Lagipun seperti dijawab bekas Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), Rizab Melayu itu Rizab Melayu pekan. Nak kena ganti juga Rizab Melayu pekan, tapi di mana?
“Sebab itu sampai sekarang tak boleh tukar. Lagipun penduduk Cina hanya berapa peratus sahaja duduk di situ. Bukan 100 peratus seperti didakwa Suee Lim,” katanya.