|
Isteri kepada waris kedua takhta Britain, Kate Middleton baru-baru ini dinobat sebagai wanita paling bergaya oleh blog fesyen, Alicia Kay Style bagi tahun 2015.
Portal mirror.co.uk melaporkan, Duchess of Cambridge itu mendahului senarai ikon fesyen wanita, menewaskan pencabar terdekatnya, penyampai te­levisyen Britain dan model, Holly Willoughby.
Menerusi kajian terbaharu yang dijalankan blog tersebut, seorang daripada tiga wanita memilih Middleton sebagai wanita dengan pakaian terbaik tahun ini, manakala nisbah satu daripada lima pula menamakan Willoughby.
Middleton, dipilih secara konsisten dalam senarai pakaian terbaik sejak berkahwin dengan Putera William pada tahun 2011 dan sentiasa mengekalkan pengaruhnya dalam dunia fesyen sekalipun jarang dilihat di khalayak umum selepas melahirkan puteri keduanya, Mei lalu.
Terbaharu, beliau turut dilaporkan mempamer gaya santai dalam gambar Krismas keluarga diraja itu kelmarin yang berjaya menarik perhatian ramai.
“Middleton menjadi ikon fes­yen kerana gaya klasiknya. Wa­nita hebat ini juga tahu bagaimana menggayakan sebahagian besar busananya,” kata seorang pemilik blog fesyen tersebut, Alicia Kite.
-utusan
|
|