Beri Barang sahaja Ambil Barang Sahaja Beri dan ambil Barang Sahaja Tengok2 Sahaja
Sayuran derma jadi tarikan beribu ke ‘pasar percuma’ Putrajaya
Monday January 18, 2016
08:14 AM GMT+8
Aktiviti 'Free Market’ yang merupakan bentuk amalan kebajikan yang popular di beberapa negara maju mula mendapat perhatian di negara ini termasuklah melalui penganjuran ‘Free Market Putrajaya’. — Foto BernamaPUTRAJAYA, 18 Jan — Sayur-sayuran seberat 708 kilogram yang diagih secara percuma kepada pengunjung #FreeMarketPutrajaya semalam menjadi daya penarik program sehari itu.
Penganjur program, Azmin Ishak berkata sayur-sayuran itu didermakan beberapa individu dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan. Mereka adalah antara 120 penyumbang lain yang turut serta dalam program yang diadakan di Dataran Gemilang, Presint 4 itu.
Beliau memberitahu Bernama di sini, #FreeMarketPutrajaya kali ini mencatatkan kehadiran pengunjung tertinggi dan di luar jangkaan iaitu lebih 2,000 sejak mula diadakan tahun lepas.
Menurut Azmin #FreeMarketPutrajaya berkonsepkan pasar percuma sama seperti yang dianjurkan individu lain iaitu, 'komuniti membantu komuniti' dengan matlamat melengkapi keperluan satu sama lain sesama masyarakat.
Katanya tahun lepas beliau bersama rakan seperjuangan dan beberapa individu lain berjaya menganjurkan kira-kira 70 program pasar percuma di seluruh negara.
Mengenai pemilihan Putrajaya sebagai lokasi penganjuran program amal itu, Azmin berkata pemilihan lokasi dibuat berdasarkan komuniti di sesuatu kawasan meliputi pelbagai peringkat kumpulan dan pendapatan.
"Free Market pernah berjaya dianjurkan di kawasan elit seperti Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, kita dapati rakyat Malaysia sememangnya pemurah dan suka menderma," katanya.
Dalam pada itu Azmin meminta pengunjung agar mengambil barangan diperlukan secara beradab dan mengucapkan terima kasih kepada penyumbang.
Sementara itu, Nur Liza Hud yang merupakan seorang daripada penyumbang barangan menyertai #FreeMarketPutrajaya, berkata beliau bersama lima anggota keluarganya menyertai program itu selepas mendapat maklumat di laman media sosial.
"Kami menyumbangkan baju kurung yang masih boleh dipakai, kereta sorong bayi serta bihun goreng untuk pengunjung di dataran ini," katanya yang pertama kali menyertai program amal itu.
Wanita berusia 34 tahun itu berpendapat penganjuran program seumpama itu di Putrajaya adalah tepat memandangkan tidak semua penjawat awam berpendapatan tinggi dan berasal daripada golongan berkemampuan.
"Kami tidak tahu siapa yang memerlukan dan tidak semua penjawat awam senang. Hari ini saya lihat yang datang tidak kisah untuk terima pakaian dan barangan terpakai daripada penderma," katanya. — Bernama
|