CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1912|Reply: 1

Piknik di Pantai Kasih

[Copy link]
Post time 14-2-2016 03:48 PM | Show all posts |Read mode

Faisal Tehrani     


  

Baru-baru ini seorang guru sekolah telah memuat naik satu status di Facebook berkenaan sebuah teks sastera di sekolah. JudulnyaPantai Kasih, terbit asalnya pada tahun 1994. Novel ini adalah karya Azmah Nordin, penerima SEA Write Award 2009.
Aku membacanya lama dahulu, dan aku kurang ingat kisahnya. Beberapa minggu lalu, aku membaca kembali. Novel ini menurut piawai yang aku gunakan, adalah tidak lucah. Tambahan jika dibandingkan dengan novel Api Cinta karya Sutung Umar RS, Gamitulisan Sasterawan Negara (SN) Arena Wati atau Tivi oleh SN Shahnon Ahmad.
Pantai Kasih tidak wajar dijadikan teks sastera kerana ia adalah sebuah karya ‘yang berada di titik ekstrim zon selesa pengarang Malaysia’. Demikian selesa, ia adalah umpama soap opera tahun 90-an. Novel atau karya-karya tempaan menurut acuan Dewan Bahasa dan Pustaka sedikit sebanyak adalah refleksi Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Dasar ini diperkenalkan oleh kumpulan intelektual pada tahun 1971 yang menetapkan tiga prinsip utama iaitu budaya nasional mestilah pertama, berasaskan budaya penduduk asli rantau ini; kedua, unsur yang sesuai boleh diterima oleh Dasar Kebudayaan Kebangsaan; ketiga, Islam sebagai komponen utama dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini dapat dihujahkan gagal, atau lebih tepat, lapuk berdasarkan tiga senario. Pertama, bukanlah suatu yang rahsia lagi, Dasar Kebudayaan Kebangsaan gagal memikat hati kumpulan minoriti, malah dilihat sebagai satu bentuk kehegemonian Melayu.
Dalam konteks ini Melayu yang dimaksudkan ialah kehegemonian Melayu Umno dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi dan dalam konteks kertas ini, budaya. Apatah lagi Dasar Kebudayaan Kebangsaan diperkenalkan ekoran rusuhan kaum pada 13 Mei.
Kedua, selain berjaya menakutkan bukan Melayu, seperti yang telah dinyatakan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan juga gagal difahami dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri.
SN Baharuddin Zainal sebagai misal menyatakan kedudukan sastera Melayu sebagai sastera kebangsaan masih belum diterima meski lebih 40 tahun lalu Dasar Kebudayaan Kebangsaan menyediakan asas yang baik untuk sastera Melayu.
Baharuddin menyatakan demikian dalam satu laporan Adli Shahar dan Saadiah Ismail pada tahun 2011. Ia termuat di bawah satu tulisan bertajuk “Negara berdepan kekaburan berbanding Jepun, Jerman, Perancis dan Indonesia”, dalam Berita Harian edisi 4 Ogos.
“Masih ramai yang tidak faham apa itu sastera kebangsaan dan cabaran paling besar yang perlu ditangani DBP ialah menembusi sikap dan fikiran penduduk pelbagai kaum untuk menunjukkan bahawa bahasa dan sastera kebangsaan berperanan membina tamadun moden Malaysia.”
Ketiganya, selain tidak difahami oleh rakyat, Dasar Kebudayaan Kebangsaan juga menyalahi Deklarasi sejagat berkaitan hak-hak bahasa 1996 (atau lebih dikenali sebagai Deklarasi Barcelona) yang turut mencakupi isu-isu budaya.
Dasar lumpuh, lompong
Dasar ini lumpuh dan hari ini lompong, kerana pertamanya, sebagai sebuah dasar sosial dan etika kerja, Dasar Kebudayaan Kebangsaan tidak dapat lagi menjadi sandaran memandangkan ia sendiri sukar dipenuhi dan dipraktikkan oleh kerajaan selaku penjaga dan pengamal dasar.
Malahan, tekad politik kerajaan dalam menjayakan Dasar Kebudayaan Kebangsaan sendiri dilihat longgar, tidak tegas dan tidak bermaya. Bahasa dan sastera Melayu dikesampingkan secara besar-besaran.
Keduanya, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dilihat dan dibaca bersekali sebagai ketuanan Melayu berganding dengan ketuanan Muslim.
Kedua-dua ‘khayalan’ ini termuat dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan dua elemen besar ini memadai untuk menakutkan minoriti bukan Melayu dan bukan Islam, atau paling tidak menjadi alasan kepada salah tanggapan.
Ia menjadi tambah sengit apabila negara dilanda fenomena sastera Islam bermula tahun 1980-an.
Dalam erti kata lain kata Melayu dan kata Islam yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah mendorong kekeliruan dan kegelisahan dalam kalangan bukan Melayu dan bukan Islam.
Sebagai contoh seorang pelajar India beragama Hindu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk subjek Penulisan Kreatif memberitahuku, dia tidak dapat membaca karya sastera Melayu kerana dipenuhi terma Arab, dan memaksakan dakwah Islam.
Dia takut membaca karyaku berjudul Tuhan Manusia dan Tunggu Teduh Dulu. Dia hanya pulih semangat setelah menekuni Bagaimana Anyss Naik ke Langit.
Ketiga, Dasar Kebudayaan Kebangsaan diancam oleh gejala globalisasi yang tidak dibincangkan (atau tidak dijangka) oleh kumpulan intelektual ketika ia diwacanakan pada tahun 1971 dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan.
Ahmat Adam dalam “Permasalahan kebudayaan kebangsaan: menjenguk kembali”, di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII tahun 2006, menyatakan globalisasi sebagai ‘ancaman’ baharu dasar tersebut.
Harus diingat, globalisasi juga boleh dinilai secara positif. Akan tetapi, Ahmat ingin melihat ia sebagai “suatu yang melanda”.
‘Apakah jenis Islam’ yang diinginkan oleh Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini selama ini? Islam ala institusi agama, mungkin?
Jadong – jahat, bodoh, sombong
Satu-satunya jalan selamat yang tersedia untuk pengarang Melayu untuk beroleh keyakinan semula pembaca atau khalayak ialah kembali kepada agama Islam seperti yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad saw. Yakni yang sebenar-benarnya, bukanlah ketuanan Muslim, akan tetapi the oppressed supremacy (ketuanan orang tertindas), yakni memberikan suara kepada mereka yang tertindas.
Hal ini amat perlu dinyatakan kerana nama Islam belum tentu membawa konotasi cita sempurna, malahan dalam sejarah telah terpancar, terdapatnya pengamal Islam yang membawa imej cita bencana yang tidak boleh dicontohi; yang menurut Syed Hussein Alatas (gambar) adalah kumpulan jadong atau “jahat bodoh dan sombong”.
Alatas dalam Cita Sempurna Warisan Sejarah menyatakan, Islam cita sempurna yang sebenar terkandung dalam warkah Saidina Ali kepada Gabenor Mesir, Malik al-Asythar. Malahan, surat tersebut menghuraikan serba lengkap “hak asasi yang dipertahankan oleh Saidina Ali daripada pengaruh yang hendak merosakkannya, dalam sejarah masyarakat Islam”.
Antara isi kandungan surat bersejarah tersebut antara lain ialah pelaksanaan keadilan tanpa penggunaan kekuasaan untuk memaksakan pendapat, pembasmian korupsi, dan melebihkan rakyat yang daif atau dalam erti kata lain golongan yang tertindas.
Buah fikiran Saidina Ali tersebut adalah manual untuk mengawal pelbagai tuntutan ahli masyarakat yang antara lain ialah kaum bangsawan yang mendesak, kelompok yang tidak senang dengan persamaan layanan, kumpulan yang bermuslihat dalam menagih sesuatu, entiti yang tidak berterima kasih setelah diberi, kelompok yang bantut penjelasan berakal dan individu kurang tabah oleh kemelaratan dan di sebalik itu semua, “rakyat biasa akan tetap tegak sebagai tiang agama”.
Alatas menegaskan “dokumen ini boleh menjadi panduan pada masa sekarang tanpa diubah sedikit pun”.
Dalam erti kata lain, Islam yang sepatutnya menjadi anasir dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan bukanlah Islam Boutique yang menjadi perhiasan dan tempelan. Islam yang supreme ialah Islam yang menolak penindasan dan kezaliman, yang tidak sempit oleh aspek-aspek hiasan dan permukaan.
Ekoran dari itu, sebarang ganti Dasar Kebudayaan Kebangsaan mestilah menimbangkan Islam sebagai mature religion. Islam yang ada pada Dasar Kebudayaan Kebangsaan hari ini ialah Islam sebagai immature religion.
Islam sebagai agama yang tidak matang ialah Islam yang penuh dengan peniruan, menekankan acara-acara termasuk fikih oriented,dan biasanya memiliki kepatuhan mutlak terhadap orang yang memiliki autoriti dalam mengajarkan agama.
'Religiontainment'
Sementara yang diperlukan, ialah Islam selaku mature religion iaitu Islam sebagai agama yang dimulai dengan proses pencarian, dengan dorongan motif, secara konsistensi; sehingga bersatu kata dengan perbuatan. Yakni Islam yang komprehensif, kerana ia agama untuk memberi makna dan kesatupaduan. Islam sebagai agama yang mengandungi sistem nilai.
Ini kerana selama ini, Islam yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan ialah Islam sebagai religiontainment.Sedangkan Islam yang dikehendaki ialah Islam yang ditemukan oleh facere veritatem atau kebenaran yang mesti ditemukan melalui praktik. Islam yang kembali kepada vera religio atau agama yang bererti virtue, kebijaksanaan, tanpa ada lembaga atau institusi yang menentukan apa jenis Islam untuk diamalkan.
Islam yang mesti dijauhi ialah Islam depribumisasi di mana unsur-unsur tempatan dibidaahkan dengan alasan ia tiada dalam al-Quran dan hadis, maka sumbangan tempatan harus dicabut dan disanggah; yang mesti dihindari ialah Islam demistikisasi.
Harus diingatkan bahawa Islam yang masuk ke rantau Melayu bukanlah Islam legalistis tetapi Islam yang dibawa para wali dengan dimensi mistikal, yakni tasawuf.
Islam dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan sekarang adalah Islam yang sewenang-wenangnya ditafsir menjadi ‘Islam sentral fikah’.
Islam yang membawa kepada dikotomi sunnah-bidaah, halal-haram, tauhid-syirik, Islam-jahiliah sehingga proses penyucian batin yang menjadi pengalaman beragama yang emosional, atau ‘kehangatan beragama’ telah diserang.
Kerangka Muslim supremacy ini amat menakutkan kerana ia menjadi penonjolan dalam agenda kaum teroris seperti IS yang kini mulai mendapat pengaruhnya di Asia Tenggara.
Hanya dengan menjadikan karya sastera itu medan untuk membantu orang tertindas, ditekan, dinafikan hak asasinya barulah sastera kita menjadi relevan setanding di luar. Hanya dengan itu subjek sastera akan jadi bermaruah di sekolah.
Pelajar juga tidak akan muak dan mual, tetapi dapat menghubungkan realiti dengan muatan karya sastera tersebut.
Novel yang melawan kebobrokan dan kebejatan politik, rasuah dan perogolan hak asasi manusia akan menjadikan pelajar yang membacanya sebagai contoh, tahu mengapa isu bauksit dan jerubu menceroboh hak asasi mereka. Pelajar akan bangkit, dan kebangkitan ini perlu untuk menjadi bangsa besar.
Pantai Kasih menjahanamkan sastera Melayu, bukan kerana satu dua perenggan erotis; tetapi kerana ia ditempa menurut acuan yang abstrak tahun 1971. Ia produk lapuk yang dipaksakan di sekolah, untuk dibaca anak dan adik kita di tahun 2016. Mereka yang mengkritiknya kerana ia lucah pula ‘masuk mangkuk’ dengan hujah ia tidak bermoral dan Islami, tetapi mereka lupa Islami yang dimaksudkan masih ala religiontainment. Masih bukan Islam inti yang melawan penguasaan tanpa hati.
Kemandulan
Untuk menyalahkan Azmah seorang tidak wajar. Beliau terbentuk dari sistem. Aku sendiri pernah terbentuk dalam sistem yang sama sebelum berjaya merdeka dari acuan-acuan tersebut.
Acuan lampau itu menginginkan Azmah dan pengarang Melayu agar tidak ‘turun padang’ lantas mencegat mereka dari menjadi'community builder' seperti dituntut pada ayat 18 surah Ali Imran …wa ulu‘l-‘ilmi qa‘iman bi al-qist, iaitu “ilmuwan sejati itu tegak bersama keadilan”.
Pengarang Malaysia dipupuk menulis tanpa ada rasa keperluan untuk menjadi kuasa pendesak moral. Institusi agama dan sastera kita menyuruh demikian. Tiada tersemat tugas utamanya untuk melakukan pembebasan dan pencerahan yang asli.
Itu tidak terdapat dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Kerana itulah Pantai Kasih menemukan pelajar untuk terus membina awang-awangan. Ia berlegar sekitar doktor kacak, jururawat gedik, asmara masam manis, rogol dalam lif, dan hospital cinta.
Mereka dijauhkan dari dunia sebenar yang akan mereka gelumangi satu hari kelak. Hari ini dunia sebenar yang perlu mereka terobosi ialah kejahatan korupsi yang menjadi darah daging. Biarkan mereka dipantak kasih. Jangan sediakan pelajar dengan sebarang senjata untuk melawan korupsi.
Sastera jangan jadi senjata. Biar jadi sekadar cerita.
Aku sendiri ingin menulis lebih banyak karya seperti Perempuan Nan Bercinta, Bagaimana Anyss Naik Ke Langit, dan Advencer Yaya dan Fufuyang menyoal institusi dan sistem. Yakni yang berhenti dari berpiknik di pantai selesa penuh kasih.
Aku tidak mengatakan aku betul. Aku tidak mengatakan orang lain salah. Aku hanya mengatakan menilai kembali diri adalah sesuatu yang mulia, dituntut agama, dan memerlukan kekuatan nubari.
Sesungguhnya Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah menempa kegagalan yang serius dan perlu dijadikan sempadan untuk satu pembentukan dasar yang baharu.
Kemandulan sekunder yang sedang menimpa pengarang muda hari ini ekoran jauhnya sikap sosial, ketidakfahaman terhadap tugas dan peranan seniman dan rasuah-rasuah yang dihadirkan oleh pemimpin cita bencana mengakibatkan tiada tekad budaya dapat dihadirkan untuk merubah gejala negatif ini dari berterusan.
Kita faham mengapa Pantai Kasih berada di sekolah. Supaya kita sentiasa duduk, dan dapat dikawal. Dan supaya kita tidak berdiri. Karya yang berdiri boleh jadi karya yang sedang siap siaga untuk berlari.
Karya yang berlari itu mempunyai potensi untuk meloncat dan melompat tinggi. Mereka tak akan membiarkan itu terjadi. Kerana dalam sejarah menjelaskan, karya sastera yang mencanak demikian akan mengancam kuasa.
Mereka sama sekali tidak bersedia berbahagi kuasa dengan kita.



FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.




Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 15-2-2016 07:48 AM From the mobile phone | Show all posts
Karya2 azmah nordin sgt2 membosankan.faosal tehrani best.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 10:41 PM GMT+8 , Processed in 0.149146 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list