|
Rabu, 27 April 2016 @ 7:54 PM
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Bayor, Rantau Panjang, Perak, putus tangan kanan serta patah tangan dan kaki kirinya selepas disedut mesin pam angin, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, Mohd Syafiq Mohd Rosdi, 14, dilaporkan bekerja di sebuah bangsal ternakan ayam di Kampung Ulu Krong, Tanjung Lengkong, Sungai Bayor, Selama, Perak.
Difahamkan, tangan kanan mangsa terkena mesin pam angin di bangsal sebelum tangannya disedut dan putus terkena bilah kipas dalam mesin berkenaan.
Bapa mangsa, Mohd Rosdi Mat Shohor, 46, pekerja kilang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, tidak mengetahui punca sebenar kemalangan menimpa anak kedua dari tujuh beradik itu kerana Mohd Syafiq mengalami trauma sebaik menyedari tangan kanannya hilang.
"Dia dihantar ke Hospital Selama sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping. Tidak lama selepas itu, doktor mengambil keputusan memindahkannya ke Hospital Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
"Dia masih meracau kerana terkejut dengan kehilangan tangan kanan, patah tangan dan kaki kiri serta mengalami keretakan pada kepala," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Mohd Rosdi berkata, anaknya bekerja di reban ayam berkenaan kerana memahami kesusahan keluarga dan ingin membantu meringankan tanggungan.
"Saya terduduk apabila mendapat dapat tahu kemalangan yang menimpa anak saya. Saya rasa bersalah tetapi harus reda dengan takdir Tuhan," katanya.
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Rosdi di talian 019-5287751.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/148071 |
|