CARI Infonet

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CARI Infonet Portal Portal Utama Selebriti Lihat artikel

Piawaian Popular Indah

15-1-2015 10:41 AM| Diterbitkan: admin9| Dilihat: 4680| Komen: 0

Description: Dianggotai Oleh Rakan-Rakan Seperjuangannya Ketika Berada Di Af2013; Aisyah Aziz, Nabila Razali Dan Amira Othman, Kumpulan Yang Pada Asalnya Ditubuhkan Bagi Menyanyikan Lagu Runut Bunyi Bila Larut Mal ...
Piawaian popular Indah


TIDAK ramai yang mampu untuk menempa nama sebagai seorang anak seni menerusi bukaan langkah yang pertama. Mungkin ada yang bernasib baik apabila mula dikenali tatkala usia dalam industri hiburan masih setahun jagung. Namun, masih terdapat sebilangan daripada mereka yang terpaksa menongkah arus, demi membuktikan bakat yang dimiliki setaraf dengan rakan-rakan seangkatan yang lain.

Bagi penyanyi Siti Ruhailah Hussein atau lebih dikenali dengan nama pentas Indah Ruhaila, berdepan dengan situasi sedemikian bukanlah perkara yang baharu buat dirinya. Bahkan, gadis bertubuh genit itu bagaikan sudah terbiasa dengan cabaran yang terpaksa ditempuh sebelum boleh dikenali sebagai seorang penyanyi.
“Mungkin ramai yang tidak tahu, permulaan karier saya dalam bidang nyanyian tidak semudah seperti yang disangka. Terlalu banyak halangan yang saya hadapi sebelum dikenali sebagai Indah yang sekarang ini,” tuturnya lembut membuka bicara.

Ketika berkesempatan mewawancara penyanyi berusia 28 tahun itu di Ibu Pejabat Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, banyak perkara yang dikongsikan, terutama mengenai usaha awalnya sewaktu mula-mula mahu bergelar penyanyi.
“Saya pernah ditawarkan untuk menjadi penyanyi oleh syarikat rakaman SRC ketika berumur 17 tahun. Pada waktu itu, saya masih muda dan tidak tahu-menahu tentang selok belok dunia nyanyian. Namun, keluarga begitu memahami minat saya dan menggalakkan saya untuk mencuba. Selepas menandatangi kontrak, saya terus diberi peluang untuk merakamkan album.

“Bagaimanapun, selepas muncul dengan album yang pertama pada tahun 2005, nama saya masih tidak dikenali. Lebih-lebih lagi pada tahun yang sama, Akademi Fantasia musim yang kedua sedang ditayangkan dan menjadi fenomena dalam kalangan penggemar muzik tempatan.
“Jadi, dengan rasa berat hati, saya terpaksa melihat impian untuk bergelar penyanyi terus terkubur di situ,” katanya yang selepas itu mengambil keputusan untuk menyanyi di kelab malam di Hotel Thistle, Johor Bahru setelah album yang dirakamkan tidak mendapat sambutan.

Percubaan kedua
Selepas gagal untuk melepasi ‘piawaian popular’ dunia hiburan buat kali yang pertama, Indah sekali lagi memberanikan diri mencuba nasib menerusi uji bakat AF2013 yang dijalankan sekitar dua tahun yang lalu.

INDAH RUHAILA sudah mula menyanyi sejak usia 17 tahun, namun bakatnya hanya mula dipandang pada usianya kini 28 tahun.


Walaupun pada ketika itu dia sudah cukup selesa dengan kerjayanya sebagai penyanyi kelab, namun, Indah tetap memberanikan diri untuk mencari peluang sebagai penyanyi komersial.

Ternyata, tuah berpihak kepadanya. Selepas sepuluh minggu beraksi di pentas konsert, Indah akhirnya dipilih oleh penonton sebagai pemenang tempat keempat bagi program yang telah masuk musim kesebelas penganjurannya itu.
Namun, langkah yang disangka mudah diatur selepas tamatnya AF2013 jauh meleset. Bagaikan deja vu, Indah seperti kembali merasai keperitan masa lampaunya ketika percubaan pertama untuk bergelar penyanyi tidak berjaya.

“Tiga bulan selepas tamatnya AF2013, saya langsung tidak mendapat sebarang tempahan menyanyi. Ketika itu, jiwa saya bagaikan retak yang menanti belah. Perasaan putus asa pernah datang beberapa kali, tetapi, apa yang mampu saya lakukan pada waktu itu hanyalah menguatkan semangat dan yakin bahawa peluang itu akan sentiasa datang.
“Memang sukar hidup di Kuala Lumpur lebih-lebih lagi tanpa pendapatan yang tetap. Namun, nasib saya agak baik apabila ramai kawan-kawan yang sentiasa ada dan sudi untuk membantu,” ujar Indah.

Begitupun, kelangsungan bakatnya perlahan-lahan disedari penonton apabila single yang dinyanyikan ketika konsert akhir AF2013, Percayalah mula mendaki tangga-tangga carta radio tempatan.

“Saya bernasib baik apabila diberi peluang untuk menyanyikan lagu itu secara duet bersama Asmidar pada Anugerah Bintang Popular (ABP) dua tahun yang lalu. Sejak muncul dengan persembahan tersebut, lagu saya terus dimainkan di radio dan pendengar mula kenal saya sebagai penyanyi kepada lagu itu.

“Bertitik tolak daripada persembahan tersebut juga, saya mula dipanggil untuk menyanyi dan rezeki yang datang juga tidak pernah putus. Alhamdulillah, berkat peluang yang diberikan, karier saya sebagai penyanyi semakin stabil sekarang,” kongsinya sambil tersenyum.
Lebih istimewa, lagu yang dicipta oleh Ayman dan lirik hasil nukilan Mohd. Atlas itu turut berjaya melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) yang akan berlangsung pada 18 Januari ini.

Bagaikan mimpi, Indah mengakui masih terkejut apabila lagu Percayalah terpilih ke peringkat final. “Walaupun saya tidak sangka dapat ke peringkat akhir, namun, saya percaya pada lagu itu. Jika tidak menang sekalipun, saya berasa cukup berbangga dapat merakamkan lagu tersebut,” katanya.

KATA Indah, dia tidak akan pernah mengalah untuk berjuang sebagai penyanyi.


Tuah The Lomas
Pepatah Inggeris ada mengatakan, apabila rezeki mula datang menjengah, ia akan datang bertimpa-timpa. Pepatah tersebut jelas sekali menggambarkan perjalanan seni Indah sekarang.
Menurutnya, selepas kejayaan lagunya itu terpilih ke pentas final, dia kini sedang sibuk merakamkan single terbaharu menerusi projek khas bersama kumpulan The Lomas.

Dianggotai oleh rakan-rakan seperjuangannya ketika berada di AF2013; Aisyah Aziz, Nabila Razali dan Amira Othman, kumpulan yang pada asalnya ditubuhkan bagi menyanyikan lagu runut bunyi Bila Larut Malam untuk biopik Saloma yang pernah ditayang oleh Astro tahun lalu, tanpa disangka mempunyai kelompok pengikut tersendiri.
Ujar Indah, sejak lagu saduran itu mula menjadi siulan ramai, mereka banyak menerima undangan nyanyian yang menginginkan keempat-empat rakan baik itu menyanyi di atas pentas yang sama.

“Kami tidak menyangka lagu Bila Larut Malam begitu diminati ramai. Walhal, ia merupakan lagu rakaman semula yang dimuatkan dalam album runut bunyi untuk biopik Saloma.
“Melihat kepada sambutan yang menggalakkan, kami diberi peluang oleh pihak Astro untuk merakamkan sebuah single baharu yang bagi memenuhi permintaan peminat selain mengukuhkan kehadiran The Lomas dalam industri nyanyian.
“Lagu ciptaan Azlan The Typewriter yang masih belum diberi judul itu mengekalkan konsep retro dan funk yang ada dalam Bila Larut Malam. Jadi, peminat yang gemarkan lagu Pabila Larut Malam pasti akan menyukai lagu baharu kami,” jelas Indah yang mengakui turut menggemari genre muzik seperti lagu berkenaan.

Dituduh diva
Bagaikan sudah menjadi adat dalam dunia seni, apabila seseorang itu sudah berjaya mencipta nama dan dikenali, maka banyaklah tiupan khabar angin dan cakap-cakap nakal yang mula kedengaran.
Tidak terkecuali, Indah turut menerima tempias yang sama apabila dia dituduh mula berlagak diva dan dikatakan meminta pelbagai perkara yang tidak munasabah daripada pihak penganjur sebuah majlis baru-baru ini.

Tegas Indah, sepanjang memenuhi undangan nyanyian, dia tidak pernah meminta perkara yang bukan-bukan apatah lagi berlagak diva setiap kali sebelum melakukan persembahan.

“Saya begitu terkejut apabila dikhabarkan tentang perkara tersebut. Saya tidak pernah terfikir mahu demand atau minta layanan kelas atasan.
“Bagi saya, tuduhan berkenaan tidak masuk akal sama sekali. Setiap kali saya hadir memenuhi undangan nyanyian, saya pasti datang tepat pada masanya. Selain itu, saya juga membawa kelengkapan sendiri seperti minus one. Justeru, tiada isu yang mengatakan saya meminta perkara yang bukan-bukan,” tegas Indah.

Kahwin

Melanjutkan bicara mengenai perihal peribadi, terutama tentang hubungan dengan tunangnya, Indah berkata, mereka masih lagi belum menentukan sebarang tarikh untuk mengikat tali pernikahan.
Ujar Indah, tunangnya itu sungguh memahami kerjayanya dan tidak mahu tergesa-gesa mendirikan rumah tangga memandangkan kerjayanya sebagai penyanyi baru sahaja bermula.
“Sejak mengenali antara satu sama lain, tunang saya begitu memahami kerjaya saya sebagai seorang penyanyi. Dia jugalah yang beriya-iya meminta saya untuk pergi ke uji bakat AF2013 dulu.
“Memandangkan saya masih lagi bertatih dalam bidang seni, kami tidak merancang untuk berkahwin dalam masa yang terdekat,” tutur Indah sambil memberitahu, jejaka berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pengurus akaun di sebuah syarikat swasta di Johor itu juga turut terlibat dengan sebuah band muzik di sana.


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

16-4-2024 10:56 PM GMT+8 , Processed in 0.074984 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top