CARI Infonet

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CARI Infonet Portal Misteri & Sejarah Lihat artikel

Sejarah Perkhidmatan Bomba - Logo Jabatan Bomba Dan Penyelamat

17-12-2013 05:44 PM| Diterbitkan: admin9| Dilihat: 17265| Komen: 0

Description: Topi Keledar Dan Kapak Bersilang Bermaksud Keselamatan Kepada Personel Jabatan Yang Memberikan Perkhidmatan Yang Professional. Bunga Padi Melambangkan Kuasa Untuk Melaksanakan Akta 341 Dan Juga Kemakm ...

Keterangan:

Bahagian atas logo Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terdapat bentuk bulan sabit dan bintang yang membawa makna bahawa nilai-nilai Islam dan nilai-nilai murni diserapkan ke dalam budaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Topi keledar dan kapak bersilang bermaksud keselamatan kepada personel Jabatan yang memberikan perkhidmatan yang professional. Bunga padi melambangkan kuasa untuk melaksanakan Akta 341 dan juga kemakmuran negara.

Warna merah melambangkan semangat keberanian yang tinggi, melambangkan Jabatan menawarkan perkhidmatan yang berkualiti ("a golden service") kepada pelanggan dan warna biru melambangkan air yang digunakan sebagai media utama pemadaman kebakaran.



Perkhidmatan
Pada tahun 1883, pasukan bomba (sukarela) yang pertama di Malaya dan Selangor telah ditubuhkan dengan dianggotai seramai 15 orang yang diketuai oleh H. T. Bentley. Pasukan ini dilengkapi dengan pam angkut kuasa wap yang ditarik oleh kuda.

Pada tahun 1883, pasukan bomba (sukarela) di Selangor [Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur)] telah ditubuhkan. Pasukan ini dianggotai seramai 13 orang dan diketuai oleh H. F. Belleny. Pasukan ini dilengkapi dengan sebuah pam tangan yang diletakkan di atas kereta sorong.

Pada tahun 1895 pula pasukan bomba (sukarela) di Selangor [Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur)] telah menempa sejarah dengan menjadi pasukan bomba tetap (bergaji) yang pertama di Malaya. Pada ketika itu, kebanyakan pasukan bomba ditadbir di bawah kuasa Kerajaan Tempatan, hanya Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu sahaja meletakkan pasukan bomba di bawah kuasa Lembaga Kebersihan.

Terdapat dua kuasa di bawah Kerajaan Tempatan, iaitu:

Majlis Perbandaran/Bandaran (Municipality)
Contoh: Majlis Perbandaran Kota Melaka
Lembaga Luar Bandar (Rural Board)
Contoh: Alor Gajah Rural Board
Majlis Perbandaran merancang dan menyediakan peralatan dan keanggotaan pasukan bomba. Lembaga Luar Bandar hanya merancang dan menyediakan peralatan sahaja manakala kakitangan diambil dari pasukan polis. Pada tahun itu juga, penggunaan pam bomba yang ditarik dengan menggunakan jentera bomba diperkenalkan buat pertama kalinya di Malaya.

Berikutnya, pada tahun 1898, pasukan bomba (sukarela) yang pertama ditubuhkan di Pulau Pinang. Pasukan ini ditubuhkan oleh Syarikat Hutternberg & Co. Ltd. dengan anggota seramai 10 orang. Pasukan in dilengkapi dengan pam kuasa wap yang ditarik oleh empat ekor kuda.

Seterusnya, pada tahun 1902, pasukan pasukan bomba (sukarela) Pulau Pinang telah diambil alih oleh kerajaan negeri dan diletakkan di bawah pentadbiran pasukan polis.

Selanjutnya, pada 1908, pasukan bomba (sukarela) Pulau Pinang diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran.

Pada tahun 1927, pasukan bomba yang pertama ditubuhkan di negeri Perak.

Pada tahun 1930-an, pasukan bomba ditubuhkan di negeri Melaka dengan nama "Civil Defence". Anggota-anggotanya terdiri daripada 15 hingga 16 orang anggota polis dan dilengkapi dengan sebuah jentera bomba jenis Dennis dan sebuah motosikal.

Pada tahun 1930-an, pasukan bomba yang pertama ditubuhkan di negeri Kelantan dengan anggota-anggota terdiri daripada anggota polis dan pasukan bomba sukarela. Pasukan ini diketuai oleh Ketua Pemeriksa Perkhidmatan Bomba, Leftenan Kolonel F. F. C. Watkins. Pasukan ini dilengkapi dengan sebuah pam trailer.

Pada tahun 1935, pasukan bomba yang pertama di Negeri Sembilan ditubuhkan.

Pada tahun 1940, perkhidmatan bomba bantuan yang pertama di Malaya telah ditubuhkan di Pulau Pinang semasa pemerintahan British Military Administration dengan anggota seramai 150 orang dan diketuai oleh A.J. Brown.

Selepas Perang Dunia Kedua, pegawai daerah mengambil alih kuasa mentadbir pasukan bomba sehinggalah tahun 1946.

Selepas tahun 1946, pasukan bomba ditadbir di bawah kerajaan pusat, kecuali Pulau Pinang dan Melaka. Pasukan ini dikenali sebagai Malayan Union Fire Service. Pada 14 Mei 1946, Flight Lt. W. J. Bromen telah dilantik sebagai pengarahnya yang pertama dengan beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Pada 1.1.1947, pasukan bomba yang pertama di Terengganu telah ditubuhkan. Pasukan ini diletakkan di bawah kerajaan negeri dan diketuai oleh E. L. Saunder sebagai "Regional Fire Officer". Pada tahun 1948, apabila perjanjian ke arah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani, pentadbiran perkhidmatan bomba diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran dan Lembaga Luar Bandar.

Pada tahun 1949, bot bomba pertama kali diperkenalkan di Persekutuan Tanah Melayu (Terengganu) bagi mengawal pulau-pulau di sekitarnya.

Pada tahun 1950, Majlis Perbandaran Kota Melaka mengambil alih pentadbiran pasukan bomba daripada British Military Administration dan diberi nama "Malacca Fire Bridge".

Pada tahun 1952, Jemaah Pemeriksa Perkhidmatan Bomba telah ditubuhkan di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar. Ia berfungsi memberi nasihat kepada kerajaan negeri mengenai hal kebombaan, termasuk latihan kepada anggota dan orang awam. Ia juga berfungsi memperbaiki bahagian pencegahan dan membuat cadangan mengenai pencegahan dan pengawasan perlindungan kebakaran.

Pada tahun 1956, anak Persekutuan Tanah Melayu yang pertama, Encik Othman Hj. Abd. Manan telah dilantik sebagai Ketua Jemaah Pemeriksa Perkhidmatan Bomba.

Pada tahun 1956, peraturan pencegahan kebakaran yang pertama diluluskan di Sabah. Kemudian pada tahun 1957, pusat latihan bomba yang pertama telah ditubuhkan di Gombak.

Pada tahun 1969, Kementerian Tempatan dan Perumahan telah meminta bantuan daripada Rancangan Colombo agar membuat kajian untuk memajukan Perkhidmatan Bomba dan sistem perlindungan kebakaran di negara ini. Salah satu cadangan hasil daripada kajian tersebut ialah, supaya Perkhidmatan Bomba Malaysia disatukan.

Pada 31.7.1971, Enakmen penubuhan Perkhidmatan Bomba yang pertama diluluskan di Sabah.

Pada 1.1.1976, Perkhidmatan Bomba di negeri-negeri telah disatukan dibawah pentadbiran kerajaan pusat, iaitu di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Pada masa itu, Bab X, Akta Kerajaan Tempatan, Akta 171 telah diguna pakai bagi semua negeri kecuali Sabah dan Sarawak, iaitu mulai 1982.

Pada 1.1.1977, Perkhidmatan Bomba Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka telah disatukan di bawah kerajaan pusat.

Pada I5.5.1981, Perkhidmatan Bomba negeri Sabah dan Sarawak disatukan di bawah kerajaan pusat.

Struktur Jabatan Bomba Sebelum Penyatuan
Perkhidmatan Bomba sebelum penyatuan (sebelum tahun 1976) adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Penguasa Tempatan. Secara umumnya struktur Perkhidmatan Bomba terbahagi kepada tiga peringkat.

Rajah 1.1: Struktur organisasi Jabatan Perkhidmatan Bomba sebelum penyatuan

Jemaah Pemeriksa Perkhidmatan Bomba, berpejabat di Kuala Lumpur dan berfungsi sebagai badan penasihat mengenai kebombaan kepada kerajaan.
Jabatan Bomba di bawah kuasa Kerajaan Negeri.
Jabatan Bomba di bawah kuasa Majlis Perbandaran (Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka Tengah).
Struktur organisasi perkhidmatan bomba sebelum penyatuan adalah seperti pada Rajah 1.1.

Fungsi Jemaah Pemeriksa Perkhidmatan Bomba pada amnya adalah untuk memajukan mutu pengawalan dan pencegahan kebakaran di seluruh negara. Sehubungan itu, tugas-tugas yang dilaksanakan adalah:

Mengadakan kemudahan latihan melawan kebakaran, pengawalan dan pencegahan kebakaran yang diselaraskan dengan kehendak-kehendak pembangunan negara.
Memberikan nasihat mengenai pengawalan dan pencegahan kebakaran dan pentadbiran kepada pihak berkuasa bomba dan jabatan kerajaan.
Menyelenggara pemasangan-pemasangan, menjaga dan mengganti peralatan melawan kebakaran.
Menyediakan undang-undang dan kod-kod bomba serta piawaian bagi bangunan, bahan-bahan bangunan dan alat melawan kebakaran.
Merancang dan merangka peraturan kebombaan, keperluan dan kerjasama dengan jabatan lain.
Manakala Perkhidmatan Bomba di bawah Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran bertugas untuk memadam kebakaran dan menyelamatkan nyawa.

Penghargaan
     
Rajah 1.1 : Struktur organisasi Jabatan Perkhidmatan Bomba sebelum penyatuan

Laporan
Dengan terdapat ramai penguasa yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan bomba sebelum penyatuan dengan pelbagai pentadbiran, susunan, mutu dan kaedah latihan, kelengkapan, tangga gaji dan skim perkhidmatan serta perkara-perkara lain, maka perkhidmatan bomba telah menerima pelbagai cadangan dan laporan. Laporan-laporan yang diterima adalah daripada Laporan L. J. Harun Hashim, Rancangan Colombo, Laporan Dato Rama Iyer, Laporan Dato Yahya dan lain-lain yang kebanyakkannya mencadangkan supaya perkhidmatan bomba di satukan di bawah satu pentadbiran.

1. Rancangan Colombo

Pada tahun 1969, atas permintaan Menteri Perumahan dan Pembangunan seorang pakar dari Rancangan Colombo, Encik G.S. Leader, telah ditugaskan mengkaji dan memberi cadangan bagi meningkatkan perkhidmatan bomba dan perlindungan kebakaran. Pakar tersebut telah mencadangkan supaya perkhidmatan bomba di satukan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

2. Laporan Pasukan Bertugas ke Atas Pencegahan dan Pengawalan Kebakaran (Laporan Dato Rama Iyer)

Pada 5 Mac 1976, satu laporan oleh Pasukan Petugas ke atas Pencegahan dan Pengawalan Kebakaran telah dikeluarkan. Laporan ini lebih dikenali sebagai Laporan Dato Rama Iyer kerana Pasukan Petugas yang menyediakan laporan ini diketuai oleh Tan Sri Dato G. K. Rama Iyer, Ketua Setiausaha Kementerian Perancangan dan Penyelidikan Sosio Ekonomi pada masa itu. Cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam laporan ini ialah:

Penyatuan perkhidmatan bomba di bawah Kerajaan Pusat (Persekutuan).
Meningkatkan keupayaan pengawalan kebakaran sesuai dengan kemerbahayaan kebakaran.
Membuat pindaan ke atas Undang-undang Kecil Bangunan Seragam, sesuai dengan keadaan semasa serta memasukkan pematuhan oleh bangunan sedia ada.
Tempat pendaratan helikopter di bangunan-bangunan tinggi.
Pemeriksaan berkala ke atas peralatan elektrik.
Sambungan terus ke balai bomba.
Jawatankuasa tetap pegawai-pegawai yang terdiri daripada badan-badan professional dan jabatan yang berkaitan bagi mengkaji dan membuat cadangan berkaitan dengan keselamatan rekabentuk, pembinaan bangunan dan peraturan meminimumkan kemerbahayaan kebakaran.
3. Laporan Suruhanjaya DiRaja Mengenai "Remuneration" dan Syarat-syarat Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun (Laporan Ketua Hakim, Harun Hashim)

Laporan yang dikemukakan pada tahun 1975 ini mencadangkan supaya :

Diadakan satu undang-undang berkenaan dengan pencegahan kebakaran yang komprehensif.
Penstrukturan semula Jabatan Bomba.
Penyatuan perkhidmatan bomba di bawah seorang Ketua Pengarah.
Kadar gaji hendaklah selaras dengan kadar gaji anggota polis dan penjara.
Kebajikan berkaitan dengan kecederaan dan kematian hendaklah selaras dengan polis.
Kemasukan lulusan universiti dalam bidang sains ke dalam perkhidmatan bomba.
Pembentukan tiga gred penguasa.
Pembentukan tiga gred pengarah.
Kursus rekrut di Sekolah Pusat latihan Bomba sebelum kemasukan ke perkhidmatan bomba.
Kadar gaji Suffian dibayar kepada semua anggota bomba.
Kadar gaji baru untuk Leading Fireman dan Pemandu Jentera Bomba.
Penyatuan jawatan Kerani Bilik Awasan, Hose Binder, Penguji Pili Bomba dan Penguji Alat Pemadaman Api kepada Ketua Ahli Bomba dan juga gaji barunya. Jawatan Ketua Ahli Bomba juga merupakan jawatan kenaikan pangkat bagi Leading Fireman dan juga pemandu jentera bomba.
Penyatuan jawatan Junior Sub-Officer dan Ketua Pemandu kepada Sub-Officer serta gaji barunya. Jawatan ini merupakan jawatan kenaikan pangkat bagi jawatan Ketua Ahli Bomba.
Penghapusan jawatan Pemandu Mekanik dan Pembantu Mekanikal. Jawatan ini diganti dengan Junior Technician serta gaji barunya.
Peraturan : perlanggaran disiplin.
Perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain.
Kuasa Ketua Pengarah dan Pengarah Negeri.
Umur persaraan.
Kemudahan perumahan percuma.
4. Laporan Tan Sri Alwi Jantan

Ekoran kebakaran Kompleks Campbell di Kuala Lumpur pada tahun 1976, Tan Sri Alwi Jantan telah mengemukakan laporan tentang perlunya perkara-perkara pencegahan kebakaran dalam bangunan dikuatkuasakan. Seterusnya beliau mencadangkan supaya perkhidmatan bomba disatukan.

5. Laporan Dato Yahya

Dato Yahya Abd. Wahab, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengemukakan laporan khas tentang perlunya peralatan, latihan, balai bomba, bomba sukarela dan siasatan punca kebakaran. Laporan ini mencadangkan juga tentang perlunya Akta Bomba dan Akta Perlindungan Kebakaran.- Kesimpulan      
   
Hasil daripada Rancangan Colombo dan Laporan Dato Rama Iyer, pada 1 Januari 1976, Perkhidmatan Bomba Negeri telah disatukan di bawah pentadbiran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Perkhidmatan Bomba Bandar Raya seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka pula turut serta pada 1 Januari 1977 diikuti oleh Perkhidmatan Bomba Sabah dan Sarawak pada 15 Mei 1981 berdasarkan Laporan Tan Sri Alwi Jantan dan Laporan Dato Yahya

1

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 08:51 AM GMT+8 , Processed in 0.049811 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top