SESUNGGUHNYA pemilik tubuh kecil bernama Nur Suhada Jebat, 25, atau Ayda Jebat ini tidak pernah sunyi daripada kontroversi cintanya dengan selebriti lelaki tempatan. Setiap kali Ayda terbabit dengan projek baharu, setiap itulah ada saja timbul gosip cinta dengan lelaki yang digandingkan bersamanya.
Menariknya, formula cinta di lokasi sebegitu tidak pernah disanggah kasar oleh Ayda malah dilayan secara baik oleh artis yang mesra media ini. Tidak pernah melenting dengan setiap kritikan berhubung formula kerjanya yang dilihat lebih selesa menampilkan isu percintaan, kekalnya populariti Ayda hari ini sedikit sebanyak bergantung kepada faktor yang sama.
Bermula dikaitkan bercinta dengan aktor berbadan kekar, Zul Ariffin diikuti penyampai radio Era.FM, Radin Amir Effendi dan pelakon Redza Rosli, Ayda tidak pernah gagal mempamerkan babak romantik di khalayak seperti mana mengikut ‘skrip projek’ mereka.
Antara tiga selebriti itu, hanya Zul seorang sahaja yang dipercayai benar-benar mempunyai hubungan istimewa dengan Ayda. Walaupun projek drama Rindu Awak 200% yang digandingkan bersama mereka sudah berakhir empat tahun lalu namun kisah keintiman mereka masih kekal diperkatakan hingga ke hari ini.
Ditambah dengan ‘kerja’ kedua-dua peminat sentiasa setia menggabungkan perkembangan terkini antara dua pelakon berkenaan dalam laman sosial dan sentiasa mengimbas paparan romantik antara keduanya, itu sudah cukup membuktikan Ayda masih relevan ‘bercinta’ dengan Zul.
Lama kelamaan tanda disedari, ada usaha untuk menyemarakkan lagi gelombang cinta Ayda dan Zul apabila mendapat sokongan padu daripada kedua-dua peminat yang masih merindui gandingan romantis mereka hingga ke hari ini.
Ini kerana selepas drama Rindu Awak 200% itu berakhir, kedua-duanya dikhabarkan tidak lagi berhubung antara satu sama lain. Mudah kata, masing-masing membuat haluan sendiri dan larut dalam kesibukan kerja mengikut haluan yang ditentukan.
Zul pada waktu itu juga mendedahkan sudah bertemu dengan teman wanita baharu, pelakon Zahirah MacWilson, 22, selepas dikatakan putus cinta dengan Gayatri Su-Lin Pillai manakala Ayda pula masih belum berjumpa pengganti baharu.
Yang jelas masing-masing tidak berhubung antara satu sama lain hinggalah ketika terserempak di belakang pentas majlis anugerah bintang popular pada Mei lalu. Tanpa semena-mena kedua-duanya dilihat saling menegur antara satu sama lain sambil disaksikan beberapa mata kelab peminat Ayda, AJ Screamer.
Keadaan itu amat memeranjatkan kerana selama ini, boleh dikatakan hubungan Ayda dan Zul agak dingin lantaran aktor berkenaan sudah mempunyai komitmen cinta baharu. Bahkan gambar mesra antara mereka berdua dalam drama Rindu Awak 200% didapati turut dipadamkan dalam akaun Zul selepas itu.
Hubungan dingin bertukar menjadi mesra apabila baru-baru ini Zul mengirimkan klip video yang mendoakan kejayaan Ayda apabila drama yang dilakonkan bersama aktor Syafiq Kyle berjudul Dekatkan Jarak Kita akan ditayangkan tidak lama lagi.
Ayda turut membuat perkara yang sama pada Zul yang kini sedang hangat dengan drama Titian Cinta yang kini sedang ditayangkan. Kedua-dua video berkenaan turut dimuat naik di Instagram. Ada yang beranggapan, mereka bagai kembali berasmara dengan perkembangan baharu ini. Tidak mustahil sebenarnya untuk itu berlaku.
Namun bagi Ayda, dia menyerahkan masa depan kepada takdir.
“Hubungan kami berjalan secara profesional. Kami bukan pasangan bercinta pun sejak dulu sampai sekarang. Cuma Zul adalah hero terbaik buat saya. Gandingan paling serasi untuk setiap drama dijayakan.
“Terlalu banyak maklum balas peminat dari dulu sampai sekarang. Masing-masing tetap memperkatakan kehebatan Rindu Awak 200% biarpun drama itu sudah empat tahun berlalu.
“Selepas ditimbang tara, saya berbesar hati untuk berlakon dengan dia kalau ada projek baharu pada masa akan datang. Senang kerja, masing-masing dah tahu keserasian,” kata Ayda keperibadian Zul yang gemar mengusik dan berjenaka.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/hiburan/selebriti/dia-tetap-hero-terbaik-saya-1.535206#ixzz4uvDJ7Ui8
© Utusan Melayu (M) Bhd