Edited by NormanJB at 19-4-2017 05:22 PM
Foto: Cik Petir
Bagi mereka yang bekerja dalam bidang perkhidmatan termasuk perkongsian kereta, Grab dan Uber, adalah menjadi keutamaan untuk memastikan setiap pelanggan atau penumpang yang menggunakan servis mereka menerima layanan terbaik.
Tetapi, apa yang akan berlaku sekiranya penumpang itu adalah individu yang sangat anda kenali, seperti suami anda sendiri? Adakah anda akan tetap ‘memberikan layanan terbaik’ atau sebaliknya?
Pengalaman tersebut berlaku kepada seorang pemandu Uber wanita apabila dia terkejut penumpang yang membuat tempahan untuk menggunakan perkhidmatan tersebut rupa-rupanya suaminya sendiri.
Menerusi status yang dimuat naik di laman Twitter semalam, seorang wanita dikenali sebagai Cik Petir (@OwToTheZie) memaklumkan telah menerima permintaan di kawasan sekitar rumahnya.
“Tunggu punya tunggu sekali suami sendiri sebokla nak ikut aku mana aku nak pergi!!! Kau bayar eh,” tulisnya dalam entri tersebut yang sehingga kini mendapat ‘retweet’ lebih 27,000 kali.
Cik Petir turut memuat naik sekeping gambar menunjukkan reaksi wajah suaminya yang tersenyum sinis di tempat duduk belakang, sementara dia pula kelihatan seolah ‘tidak berpuas hati’ apabila mengetahui penumpang tersebut adalah suaminya.
Malah, apa yang lebih menggelikan hati rata-rata pengguna media sosial adalah respon yang diberikan oleh Cik Petir terhadap komen-komen netizen mengenai insiden tersebut.
Antara komen paling ‘win’ adalah apabila Cik Petir mengadu bahawa ‘penumpang’ tersebut begitu ‘cerewet’ seperti meminta supaya pendingin hawa dikuatkan, berhenti untuk membuang air kecil serta ‘merembat’minumannya.
Namun, Cik Petir mengakui bahawa dia dan suaminya suka bergurau.
Jadi, kami berharap bayaran yang diterma Cik Petir pada hari tersebut adalah berbaloi, dan mungkin insiden lucu Cik Petir ini layak diberikan anugerah ‘pasangan paling meletop’.
|