MALANG menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang meninggal dunia selepas dipatuk oleh seekor ular tedung ketika sedang tidur di rumahnya di Thailand.
Ketika kejadian, Prapawee Prawat tidur di atas tilam yang dibentangkan di atas lantai simen di rumahnya di Surat Thani pada pukul 7.30 malam. Kematiannya hanya disedari oleh keluarganya pada keesokan pagi. Dia dipatuk di jari memandangkan hanya bahagian berkenaan tidak ditutup dengan selimut. Ketika pihak polis dan paramedik tiba di tempat kejadian, mereka melihat ada kesan merah pada jarinya. Sementara ular itu ditemui masih berada di bawah tilam. Ia dipukul sampai mati oleh penduduk di situ. “Saya masuk ke biliknya kerana mahu mengejutkan dia bangun untuk ke sekolah. Dia tidak bernafas atau bergerak menyebabkan saya terpaksa panggil bantuan. “Dia tinggal dengan saya selepas ibu bapanya bercerai. Saya sangat sedih, dia sangat muda, sepatutnya saya yang berada di tempatnya,’’ kata neneknya yang sangat sedih dengan kematian cucunya itu. Dalam pada itu, polis memaklumkan kanak-kanak berkenaan telah meninggal dunia lapan jam sebelum mayatnya ditemui.
|