SEORANG blogger kecantikan yang mempunyai muka berjerawat mendakwa telah dimalukan oleh syarikat kosmetik L’Oreal selepas namanya digugurkan daripada kerjasama yang dirancang dengan syarikat itu disebabkan masalah kulit.Kadeeja Khan, 21, yang mempunyai 124,000 pengikut dalam laman Instagram emeraldxbeauty, merupakan seorang blogger yang terkenal kerana menayangkan gambar-gambar wajahnya tanpa ubahsuai.
Menurut Kadeeja, ketika itu dia sudah hampir bersetuju untuk mengambil bahagian dalam lawatan ke Paris bagi pelancaran rangkaian pewarna rambut vegan yang baru, apabila tiba-tiba mendapat emel dari pekerja L’Oreal.
Dia terkejut apabila dimaklumkan: “L’Oreal tidak boleh terlibat dengan mereka yang mempunyai isu kulit (persoalan peraturan) dan itu sebabnya mereka memutuskan untuk menukarnya projek itu pada saat akhir.’’
Keadaan itu, katanya adalah sesuatu yang memalukan.
“Saya sukakan L’Oreal dan produknya. Saya sangat teruja apabila mereka mahu bekerjasama dengan saya.
“Namun selepas saya menaruh harapan, ia punah sama sekali dan saya dimalukan dengan alasan kenapa mereka tidak mahu bekerja dengan saya. “Ia menunjukkan L’Oreal hanya mahu bekerjasama dengan mereka yang mempunyai kulit yang sempurna. Mereka mempromosikan imej kecantikan yang tidak nyata,’’ kata Kadeeja.
Menurut Kadeeja, pihak berkenaan sepatutnya sudah tahu mengenai gambar-gambarnya yang tidak diubahsuai dalam media sosial sebelum menghubunginya. Susulan itu Kadeeja mahu memberikan kesedaran mengenai penolakan yang kejam ini lalu dia memilih untuk berkongsi dengan pengikutnya. – MYNEWSHUB.CC
|