|
Cucur udang menjadi sajian kegemaran ramai di kala minum petang sambil menikmati rancangan kegemaran di televisyen. Serius, memang enak dijamah sampai tak sedar pinggan dah kosong!
Yang dibeli di luar saja kadang-kalanya langsung tiada seekor udang pun! Nama saja cucur udang, tapi yang ada serbuk udang kering. Huh! Udang jugalah, tapi kalau masuk mahkamah memang kalah. Kalau macam tu, jom buat sendiri di rumah. Gerenti puas hati dengan resipi yang menghasilkan cucur udang gebu gebas.
Memang kalau nak cucur yang tembam, kena diletakkan sedikit yis. Alah, guna sahaja yis segera atau dikenali sebagai 'ibu roti' oleh mak-mak kita.
Yis ni manja, kalau terkena garam dia terus kojol atau tak aktif. Jadi, jangan sekali-kali bagi yis menyentuh garam. Kalau nak letak terus dalam tepung, kena gaul tepung dengan garam terlebih dahulu. Bila dah sebati, baru masukkan yis, okey.
Cucur udang gebu gebas, sentiasa digemari ramai
Cucur udang merupakan satu bahan wajib kalau nak makan rojak atau pasembur. Macam-macam boleh dicampurkan. Selain udang, daun kucai, taugeh dan cili merah, ada orang suka letak jagung (ini dipanggil bakwan di Indonesia). Kalau nak bagi kulit luar cucur lebih rangup, kena tambah tepung beras. Kalau tak suka daun kucai, boleh tambah daun bawang atau daun sup tapi rasanya memang lain.
Ada orang tambah ubi kentang atau kubis yang didadu halus juga bawang besar yang dihiris memanjang. Ini boleh menyebabkan bentuk cucur jadi 'berakar' dan selalunya bahagian itu lebih garing dan rangup. Ubi kentang pula menambah lemak pada cucur. Cakap pasal lemak, ada juga orang letak telur.
Enak tak terkata kalau dicecah dengan sos cili atau kuah kacang
Foto: ResepiBonda
Jadi, kreativiti memang tak terbatas. Hanya kalau dah letak macam-macam mungkin cucur dah tak nak menggebu lagi. Nasiblah, boleh cuba lagi. Pencecah cucur semestinyalah sos cili dalam botol (kalau malas atau nak cepat) atau sos yang dikisar sendiri. Kalau nak cecah dengan kuah kacang, lagi sedap. Paling koman mungkin cecah dengan kuah kari atau asam pedas semalam, gerenti tak cukup sepinggan cucur!
Kalau nak guna senduk untuk dapatkan bentuk cucur yang sekata (jika dibandingkan dengan sudu), senduk itu jangan dibasuh selepas diguna, hanya perlu dilapkan saja. Inilah petua yang diamalkan penjual cucur. Terpulang nak ikut atau tidak. Yang penting, senduk acuan hendaklah dipanaskan dalam minyak panas barulah sudukan adunan cucur ke dalamnya. Kemudian, barulah diturunkan semula ke dalam minyak panas. Cucur selalunya akan tanggal sendiri.
Bahan murah, mudah dicari dan hasilnya, sedap dimakan
Foto: Fiza'sCooking
Bancuh dulu air suam dalam anggaran 4/5 cawan, letak 1/2 sudu teh gula dan kacau. Bila dah larut, baru masukkan yis dan kacau. Biar di tempat hangat sampai nampak yis berbuih dan kembang. Kalau tak naik atau kembang, maknanya yis dah mati dan perlu digantikan dengan yis yang baru. Selalunya yis mati atau tak aktif sebab dah masuk angin. Atau tarikh luput dah lepas.
Senduk khas untuk goreng cucur saja, jangan digunakan untuk masakan lain
Foto: JuicyCafe
CUCUR UDANG GEBU GEBAS
Bahan-bahan:
1-1/2 sudu teh yis segera
1-4/5 cawan air (lihat cara aktifkan yis, di atas)
2 cawan tepung gandum, diayak
3 sudu besar tepung beras, diayak
1 cawan taugeh, dibuang ekor
6 tangkai kucai, dipotong 2cm
Sedikit garam dan serbuk kunyit
Udang sedang, dibuang kulit
Cara:
1. Gaulkan tepung, garam, serbuk kunyit dengan bancuhan yis.
2. Bila adunan sebati, masukkan semua bahan lain. Kacau rata.
3. Cedok dengan sudu atau guna senduk dan goreng sehingga keperangan.
Tip: Jika suka, boleh letakkan seekor udang di atas adunan sebelum digoreng.
Selepas ini, tiada lagilah cucur udang yang leper tak menarik sebab dah tahu macam mana nak buat dia menjadi gebu. Jom cuba! - CARI
|
|