PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy mengaku lelaki berambut panjang yang hadir ke Majlis Angkat Sumpah Ahli Dewan Negara di Parlimen, kelmarin mempunyai hubungan persaudaraan dengannya.
Waytha Moorthy berkata, lelaki yang dikenali dengan nama Arunachalanandaji itu adalah warga Singapura dan kini menetap di India serta disifatkan sebagai seorang individu mengabdikan sebahagian dirinya kepada alam.
"Dia adalah saudara yang saya anggap seperti abang. Saya terkejut dengan pelbagai andaian berhubung perkara ini dan kita tidak boleh prasangka buruk dengan hanya melihat imej seseorang.
"Beliau mendedikasikan lebih 30 tahun hidupnya kepada alam dengan tinggal di kawasan pergunungan. Saya amat menghormatinya, oleh sebab itu beliau dipelawa hadir ke majlis angkat sumpah dan ingin memberi sokongan atas pelantikan saya sebagai Senator," katanya selepas Majlis Taklimat Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.