CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2726|Reply: 15

FLAT EARTH : BAYYAN LINNAS

[Copy link]
Post time 18-2-2019 10:03 PM | Show all posts |Read mode
BAYAN LINNAS SIRI 166: POLEMIK FLAT EARTH: SISI PANDANG ISLAM
ButiranDimuatnaik oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad Diterbitkan: 17 Februari 2019
pautan asal:http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/3127-bayan-linnas-siri-166-polemik-flat-earth-sisi-pandang-islam?fbclid=IwAR2ZHyVONcih_WYXPeDwLZcoLwvqnQcdhw0t3hZsrSChzsH-kZgQiafxlY8


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 18-2-2019 10:04 PM | Show all posts
Mukadimah

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.

Pertamanya, kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada akhir-akhir ini dihujani dengan isu yang sedang menular dikalangan masyarakat terutamanya disampaikan melalui media-media massa berkenaan isu bumi datar (flat earth). Hasil daripada carian kami menerusi media massa, kami melihat isu ini semakin hari semakin menjadi barah dalam kalangan masyarakat.

Perbahasan ini secara langsung dibincangkan oleh masyarakat awam yang sebahagiannya menyokong dan sebahagiannya pula tidak menyokong berkenaan konsep flat earth ini. Ini membuktikan bahawa manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang terikat dengan keterbatasan. Kefahaman manusia dalam memahami sesuatu perkara seperti alam sekitar adalah berbeza-beza kerana hanya terhad dengan apa yang disahkan oleh pancaindera terutamanya mata kasar. Namun begitu, perkembangan dan evolusi ilmu sains dan teknologi telah banyak membantu manusia dalam memberi penjelasan yang lebih tuntas bagi kehidupan manusia, bahkan ia juga merupakan penyumbang di dalam sumber rujukan agama seperti penetapan hukum ke atas sesuatu perkara

Justeru, Bayan Linnas pada kali ini menjelaskan berkenaan dengan tajuk Polemik Flat Earth: Sisi Pandang Islam. Semoga pencerahan ini dapat meredakan kefahaman kita semua sehingga menemui satu natijah serta titik kebenaran berkenaan hakikat bentuk sebenar bumi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-2-2019 10:06 PM | Show all posts
Kita Beriman, Bumi Adalah Ciptaan Tuhan

Ini merupakan satu perkara yang tidak dapat dinafikan lagi secara badihi (self-evident) bahawa bumi dan seluruh galaksi ini adalah ciptaan Allah SWT. Hal ini berdasarkan banyak nas, antaranya:

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّـهُ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah".

Surah al-Zumar (38)

Syeikh al-Maraghi berkata: Sebenarnya orang musyrik itu mengakui adanya Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Bijaksana, kerana buktinya sangat jelas dan terang. Buktinya, apabila mereka ditanya, “Siapa yang mencipta bumi dan langit,” Dengan spontan mereka menjawab, “Allah yang telah menciptakan.” Sebaliknya mereka tetap menyembah selain daripada Allah SWT dan di sinilah kejahilan serta kedunguan mereka. Padahal mereka memang terkenal bijak dan berfikiran cerdas. Mereka tidak mahu mengikut akal mereka yang sihat tetapi hanya mengikut hawa nafsu mereka.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/5898)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-2-2019 10:06 PM | Show all posts
Ciptaan Langit dan Bumi Menjadi Tanda Bagi Yang Berilmu

Allah SWT berfirman:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

Surah Ali Imran (190)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Dimaksudkan dengan orang yang berakal ialah mereka yang menggunakan akal fikiran, cekap mengambil manfaat, mengikut petunjuk dan merenungkan segala kebesaran Allah SWT, mengingatkan tentang kebijaksanaan-Nya, rahmat-Nya, keagungan nikmat-Nya dalam segala keadaannya, sama ada ketika dia berdiri, duduk atau berbaring. Kesimpulannya, sepanjang menjalani kehidupan, mereka tidak pernah lupa kepada Allah SWT, malahan mereka sering mengingati Allah SWT dengan hati yang terang dan menyedari sepenuhnya bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi dirinya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1056)

Kedua-dua ayat al-Qur’an ini memberi kita satu kefahaman bahawa penciptaan bumi dan seisinya adalah untuk manusia berfikir tentang kekuasaan-Nya, rahmat-Nya dan keagungan-Nya. Bumi bukan hanya wujud secara tiba-tiba tanpa pencipta dan tujuannya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-2-2019 10:08 PM | Show all posts
Bumi Sebagai al-Ardh

Ibn Manzur berkata al-ardh (الأَرْض) adalah tempat tinggal manusia dalam bentuk feminin (أُنثى) yang merupakan kata nama kolektif yang merujuk kepada kelas (اسم جنس). (Lihat Lisan al-Arab, 7/11). Di dalam al-Qamus al-Muhit, (m. 820) disebut: Al-Ardh (الأرضُ) adalah feminin (مؤنث), kata nama kolektif yang merujuk kepada kelas (اسم جنس) atau himpunan yang bukan satu. Justeru, tidak dinamakan ardhah (أرْضَةٌ). Perkataan al-Ardh (الأرضُ) ini memberi makna:

Setiap yang bawah seperti di bawah tapak kaki haiwan.
Ia juga memberi makna perkampungan seperti kita katakan ardhu Nuh (أرضُ نُوحٍ) iaitu sebuah perkampungan yang terletak di Bahrain.
Apabila kita sebut seseorang itu dengan Ibnu Ardhin (ابنُ أرْضٍ), ia memberi makna orang asing.
Begitu juga Ibnu Ardhin (ابنُ أرْضٍ), ia memberi maksud tumbuhan seperti bulu yang dimakan.
Kami cenderung untuk berpandangan bahawa kekeliruan golongan penyokong flat earth yang beragama Islam adalah salah faham dalam memaham kalimah al-ardh. Apabila Allah SWT menyebutkan al-ardh, ianya menunjukkan kepada tanah tempat kita berpijak yang kita lihat disekeliling kita. Ianya tidak merujuk kepada planet bumi seperti yang difahami oleh mereka. Hal ini juga bertepatan dengan kaedah memahami al-Qur'an seperti yang digariskan oleh Imam Ibn Kathir dalam mukadimah tafsirnya. (Lihat Tafsir al-Qur'an al-'Azim, m. 4-5)

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-2-2019 10:09 PM | Show all posts
Kondisi Bumi Dalam al-Qur’an

Kami dapati, Allah SWT menyebut tentang bumi dengan beberapa sebutan sebagai sifat atau gambaran. Terdapat beberapa perkataan yang digandingkan dengan bumi seperti “kami hamparkan” (Surah al-Hijr: 19), “hamparan/bentangan (Surah al-Naba’: 6, Surah al-Baqarah: 22, Surah Nuh: 19, Surah al-Nazi’at: 30) dan “dihamparkan”(Surah al-Ghasyiah: 20).

Allah SWT berfirman:

الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً

Maksudnya: Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya);

Surah al-Baqarah (22)

Allah SWT berfirman:

وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ شَيْءٍ مَّوْزُونٍ

Maksudnya: Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya.

Surah al-Hijr (19)

Allah SWT berfirman:

وَهُوَ الَّذِي مَدَّ الْأَرْضَ وَجَعَلَ فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنْهَارًا

Maksudnya: Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir).

Surah al-Ra’d (3)

Allah SWT berfirman:

وَالْأَرْضَ بَعْدَ ذَٰلِكَ دَحَاهَا ﴿٣٠﴾ أَخْرَجَ مِنْهَا مَاءَهَا وَمَرْعَاهَا

Maksudnya: Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya), - Ia mengeluarkan dari bumi itu: airnya dan tumbuh-tumbuhannya;

Surah al-Nazi’at (30-31)

Allah SWT berfirman:

وَإِلَى الْأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ

Maksudnya: Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?

Surah al-Ghasyiyah (20)

Adakah hamparan atau bentangan itu semestinya bermaksud datar dan rata?

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di mentafsirkan (وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا) dengan maksud: Kami luaskan (lapangkan) bumi dengan seluas-luasnya agar manusia dan haiwan-haiwan seluruhnya dapat berjalan sampai ke segenap pelosok dan mencari rezeki-rezekinya, dan dapat tinggal di sudut-sudutnya.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, hlm. 1/347)

Apabila kita meneliti kalimah (دَحَاهَا) pula, para salafussoleh terbahagi kepada dua kumpulan:

Qatadah, al-Suddi dan Sufyan al-Thauri memahaminya dengan maksud menghamparkan.
Ibn ‘Abbas, Ibn Juraij dan Ibn Zaid memahaminya dengan maksud mengeluarkan air dan ternakan hasil bumi. (Lihat al-I’jaz al-‘Ilmi: Ila Aina?, 120-121)
Menurut Syeikh Ibn 'Asyur ketika mentafsirkan kalimah ( بِسَاطًا) dalam Surah Nuh ayat 19:

Kalimah al-bisat bermaksud apa yang dibentang di atasnya untuk tidur dan duduk daripada pakaian atau permaidani. Perkhabaran bahawa bumi bersifat seperti hamparan adalah merupakan satu penyerupaan dalam ilmu balaghah, iaitu seperti hamparan. Sifat yang menjadi letak kesamaan (wajh syabah) bersesuaian dengan langit di setiap bahagiannya, tidak meletihkan kaki orang yang berjalan dan tidak pula melenguhkan lambung orang yang berbaring. Ia tidak bermaksud Allah menjadikan bentuk bumi ini seperti datar, kerana bentuk bumi ini adalah sfera. Ia ditegaskan dengan sebab yang nyata dalam ayat ini iaitu kalimah untuk kamu (لَكُمُ). Dan ia sesuai dengan sebab yang tidak disebut iaitu supaya kamu supaya kamu dapat berjalan. Kedua-dua sebab ini adalah petunjuk kepada nikmat-nikmat yang diperolehi oleh manusia daripada langit ke atas bumi seperti haiwan ternakan dan tanam-tanaman, sehinggalah kepada nikmat yang khusus iaitu dapat berjalan di bumi

Justeru, perkataan-perkataan yang difahami sebagai datar, rata dan lain-lain yang semakna dengannya tidak boleh difahami hanya dengan literal semata-mata kerana ia mempunyai maksud yang tersendiri.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 18-2-2019 10:10 PM | Show all posts
Pendapat Ulama’ Tafsir Berkenaan Bulatnya Bumi

Para ulama’ telah bersetuju bahawa sifat bumi adalah bulat. Adapun kebulatannya bukanlah dalam erti kata bulat keseluruhan tetapi boleh jadi bulat yang berbentuk sfera atau bulat seperti sebiji telur. Ini semua boleh dilihat menerusi penemuan moden.

Kami nukilkan di sini pendapat beberapa tokoh tafsir berkenaan dengan sifat bulatnya bumi. Antaranya:

Imam Fakhruddin al-Razi berkata:
“Bahawa telah sabit dengan dalil-dalil bahawa bumi adalah sfera, maka bagaimana (seseorang itu masih) boleh mukabarah (degil tidak mahu menerima kebenaran) dalam hal ini?" (Lihat Tafsir Mafatih al-Ghaib, 19/5)

Abu Hayyan al-Andalusi menukilkan kenyataan Abu Abdillah al-Darani yang berkata:
" Telah thabit dengan dalil bahawa bumi adalah bulat (sfera). Dan ini tidak bercanggah dengan firman Allah SWT: (مَدُّ الأَرْضِ) “bumi terbentang”. Ini kerana sesungguhnya bumi adalah suatu jisim yang besar. Dan (sememangnya) bentuk bulat (sfera) jika terlalu besar, maka suatu bahagian daripadanya akan kelihatan seperti rata terhampar". (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/346)

Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti
Semasa mentafsirkan Surah al-Nazi’at ayat 30-31, guru kami Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti menekankan keperluan untuk merujuk kepada pakar astronomi dalam kalangan umat Islam, yang bersepakat menyatakan bahawa bentuk bumi ini adalah bulat atau sfera. (Lihat Adwa’ al-Bayan, 8/425)

Syeikh Ibn ‘Asyur
Berkata Ibn ‘Asyur dalam mentafsirkan kalimah (يُكَوِّرُ) dalam Surah al-Zumar ayat 5:

Al-Takwir bermaksud menggulung dan melingkar. Dikatakan kawwara al-‘Imamah dengan maksud menggulung dan melilit serban. Diumpamakan takwir di sini dengan fenomena pertukaran siang ke malam pada satu bahagian di permukaan bumi, dan sebaliknya, secara bergilir seperti perbuatan melilit serban, iaitu pertukaran malam berlaku ke atas pertukaran malam yang sebelumnya. Ini merupakan satu analogi yang unik dan boleh diterima, bahawa bumi itu ibarat bentuk kepala. Dan dianalogikan pertukaran siang dan malam ke atas bumi itu, ibarat pergerakan lilitan serban ke atas kepala yang bulat. Ini juga merupakan sebahagian daripada mu‘jizat saintifik al-Qur’ān. Kalimat takwir merujuk juga kepada kurrah yang bermaksud sfera, iaitu objek yang berbentuk bulat yang sama tiap penghujungnya. Justeru bumi ini adalah sfera. Fakta ini tidak diketahui oleh bangsa Arab dan manusia, sehinggalah al-Qur’ān memberikan isyarat dengan dua elemen, iaitu pertukaran secara giliran iaitu gelap kepada terang atau malam kepada siang.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir: 23/238)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di
Beliau berkata: Ketahuilah bahawa hamparan yang dimaksudkan (di sini) tidaklah menafikan bulatnya bumi itu bulat (sfera) yang dilingkupi dan dikelilingi oleh pelbagai bintang-bintang dari pelbagai sisi-sisinya sebagaimana yang ditunjukkan oleh dalil naqli, akal, pancaindera dan kesaksian, yakni sebagaimana yang makruf disebutkan kebanyakan manusia khasnya pada zaman ini di mana ramai orang mampu mencapai pelbagai penjuru-penjuru wilayah yang jauh dengan pelbagai alat-alatan yang diberikan oleh Allah yang menjadi sebab untuk mendekatkan yang jauh. Kerana suatu hamparan hanyalah menafikan suatu jisim berbentuk bulat yang kecil, yang mana kalau dibentangkan tidak lagi berbentuk bulat. Adapun bentuk bumi, ianya amat besar dan luas. Maka menjadilah bentuk bumi itu dalam keadaan bulat (sfera) yang terhampar, dan tidak pula menafikan satu sama lain sebagaimana yang diketahui dari pengalaman para ahlinya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 2/211-212)

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-2-2019 10:11 PM | Show all posts
  • Pendapat Ulama’ Berkenaan Bentuk Bumi
  • Selain daripada ulama’ tafsir yang membicarakan isu ini, kami juga mengkaji tokoh-tokoh ulama’ terdahulu dengan pendapat mereka. Antaranya:
  • Ibnu Hazm al-Zahiri
  • “Mereka berkata: Sesungguhnya bukti-bukti telah mengesahkan bahawa bumi adalah bulat, sedangkan masyarakat awam mengatakan sebaliknya. Dan jawapan kami (taufiq hanya daripada Allah): Sesungguhnya seorang daripada imam-imam para muslimin yang berkelayakan untuk digelar imam dalam ilmu (semoga Allah meredai mereka) tidak mengingkari bulatnya bumi. Dan tidak dihafaz (tidak dijumpai suatu nas atau nukilan) satu kalimah pun daripada salah seorang daripada mereka dalam menolak perkara tersebut. Bahkan bukti-bukti daripada al-Quran dan Sunnah telah datang membuktikan bulatnya bumi.” (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa' wa al-Nihal, 2/78)
  • Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah
  • Pendapat bumi bulat telah dinukilkan oleh Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah daripada Abi al-Husain al-Munadi yang berkata: "Ulama' ijma' bahawa bumi ini dengan semua pergerakannya sama ada di laut atau di darat seperti bulatan.” (Lihat Majmu' al-Fatawa, 25/195)
  • Kata beliau lagi dalam kitabnya (5/150): "Ketahuilah bahawasanya mereka (para ulama) telah bersepakat mengatakan bahawa sesungguhnya bumi berbentuk sfera.”
  • Muhammad ibn Ahmad Syams al-Din al-Maqdisi
  • “Adapun bumi, maka sesungguhnya ia adalah seperti bola (sfera) yang terletak di tengah falak, sama seperti putih telur yang terletak di dalam telur. (Lihat Ahsanul Taqasim fi Ma'rifah al-Aqalim, 1/58)


  • Ibn Khardazabah
  • Abu al-Qasim Ubadililah bin Abdillah yang lebih dikenali dengan nama Ibn Khardazabah berkata: “Sifat bumi adalah bulat seperti kebulatan bola atau guli. Terletak di rongga falak sama seperti putih telur yang terletak di dalam telur.” (Lihat al-Masalik wa al-Mamalik, hlm. 4)


  • Ahmad bin Yahya bin Fadhl al-'Umari Syihab al-Din
  • Beliau menukilkan daripada al-Syarif al-Idrisi dalam muqaddimah kitabnya, Masalik al-Absar fi Mamalik al-Amsar: "Kata al-Syarif (al-Idrisi): walaupun bumi adalah sfera, namun ia tidaklah benar-benar bulat (maksudnya bujur sedikit)"


  • Abu Bakr bin Yahya al-Suli
  • Ibn Khallikan menyebut di dalam kitabnya bahawa Abu Bakr bin Yahya al-Suli berkata: "Maka sesungguhnya, bulatnya bentuk bumi adalah perkara yang maklum mengikut kaedah geometri. Ia sejarak 8000 farsakh. Jika kita letakkan hujung tali di atas mana-mana tempat di bumi, dan kita lilitkannya di atas bumi, kita akan akhiri hujung tali yang kedua di tempat yang sama dan akan bertemulah kedua-dua hujung tali tersebut". (Lihat Wafayat al-A'yan, 4/359)


  • Abu al-Faraj Ibn al-Jawzi Rahimahullah
  • Beliau berkata: "Dan begitu juga mereka ijma’ mengatakan bahawa bumi dengan semua jirimnya daripada air beku adalah seperti bulatan (sfera). (Lihat al-Muntazam fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam, 1/184)


  • Imam Syams al-Din al-Zahabi
  • Katanya: “Bumi di tengah langit adalah seumpama tembikai dalam rongga tembikai, dan langit meliputi bumi dari segenap arah.” Beliau kemudiannya berkata: "Dan bukti perkara tersebut ialah: jika kita andaikan seorang musafir bermusafir di atas bulatnya bumi, daripada timur ke barat, dan (kemudian) dia meneruskan lagi perjalanan, maka pastilah dia akan berjalan ke arah tempat di mana dia mulakan perjalanan.” (Lihat Mukhtasar al-'Uluw li' al-'Aliy al-Ghaffar oleh al-Zahabi, hlm. 74-76)

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 18-2-2019 10:12 PM | Show all posts
Edited by mbhcsf at 18-2-2019 10:15 PM

Pendapat Mufti Wilayah Persekutuan

Kami tegaskan di sini bahawa sifat bumi adalah bulat seperti perbahasan di atas. Antara hujah yang menunjukkan kebulatan bumi berdasarkan firman Allah SWT:

يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya);

Surah al-Zumar (5)

Syeikh al-Maraghi berkata: Bukankah telah kita ketahui, bahawa bumi ini berbentuk bulat berputar di atas paksinya (orbit). Akibat orbit bumi ini, sudah tentu bahagian bumi yang menghadap matahari mengalami siang. Manakala siang bergerak dari sebelah timur ke barat dengan menuju ke daerah-daerah yang tadinya mengalami malam. Begitulah seterusnya seperti seseorang mengilas kainnya. Begitu juga dengan waktu, iaitu bergerak seperti berlakunya siang tadi. Oleh itu, antara siang dan malam itu saling melengkapi secara gantian. Ayat di atas mengandungi petunjuk, iaitu bumi ini adalah bulat dan kedua-duanya menyatakan bahawa bumi ini berputar di atas paksinya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/5863)

Imam al-Raghib al-Asfahani berkata: Perkataan “ كَوْرُ الشيءِ” adalah melingkari sesuatu, atau penggabungan di antara hujung sesuatu kepada hujung yang lain, seperti "كور العمامة" lingkaran atau gulungan serban (yang melingkari dan membungkus kepala). Dan firman-Nya " يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ" (Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya), maka ini adalah isyarat akan peredaran matahari pada mathla'nya (pada tempat terbit dan terbenamnya, serta orbit/falak edarannya), dan isyarat pada berkurang atau bertambahnya malam dan siang. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 729)

Imam Ibn Hazm pula berkata: Ayat ini adalah penerangan yang paling jelas (bahawa siang dan malam) digulung sebahagian atas sebahagian yang lain. Diambil daripada (perkataan yang semakna, yakni) menggulung serban, ia menggulung dengan cara dibungkus mengelilinginya. Maka ini adalah nas yang menunjukkan bulatnya bumi dan berputar serta matahari berpusing. (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa wa al-Nihal, 2/78)

Bahkan dinyatakan oleh Abd al-Qahir al-Baghdadi: “Mereka berijma' bahawa bumi penghujungnya daripada semua penjuru akan bertemu pada titik yang sama.” (Lihat al-Farqu baina al-Firaq, hlm. 318)

Ini disahkan lagi oleh kenyataan angkasawan negara Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang menyatakan “Bumi berbentuk sfera atau lebih tepat, berbentuk geosfera. Tidak seperti bola tetapi seakan-akan bentuk telur.”[1]

Justeru, kami nyatakan bahawa penafian sifat bulatnya bumi adalah pendapat yang tersilap sementelahan lagi ia bertentangan dengan ijma' yang tidak boleh dibangkangnya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-2-2019 10:12 PM | Show all posts
Edited by mbhcsf at 18-2-2019 10:14 PM

Penutup

Alhamdulillah, setelah kami menelaah beberapa kitab dalam masa beberapa hari ini, makanya kami mendapati ulama silam telah lama membahaskan isu ini. Bahkan sebahagian mereka telah membincangkan isu ini lebih dari seribu tahun. Justeru kefahaman kami menunjukkan Islam telah memimpin dunia dari sudut keilmuan dan makrifah alam jauh mendahului mana-mana negara yang hebat di muka bumi hatta empayar Parsi, Rom, Mesir Kuno, Ethopia, India, China dan Greek.

Keterbatasan pancaindera kita membuatkan kita tidak mampu untuk memahami ayat ini hanya dengan merujuk teks atau terjemahan semata-mata tanpa melihat tafsiran para ulama’ dan juga fakta-fakta dari sudut ilmu falak dan astronomi. Apatah lagi berhujah semata-mata dengan apa yang kita lihat di hadapan mata kita yang sudah tentu sangat jelas keterbatasannya.

Pancaindera semata-mata tidak akan mampu membantu kita menggapai kebenaran. Lihatlah kritikan al-Ghazali kepada golongan yang hanya berpegang kepada ilmu melalui pancaindera untuk mencapai kebenaran. Beliau mengarahkan untuk melihat bintang-bintang di langit yang mungkin sangat kecil seperti syiling dinar dengan pandangan mata. Tetapi, dengan panduan daripada pengiraan geometri membuktikan bahawa kebenaran tidak cukup dicapai hanya dengan pancaindera dan pada hakikatnya, ia lebih besar daripada bumi. (Lihat al-Munqiz min al-Dhalal, 112-113). Hujah ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa dalam isu ini, kemampuan pancaindera kita adalah terbatas dan amat memerlukan kepada teknologi di sampai panduan utama daripada wahyu.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-2-2019 10:14 PM | Show all posts
Kami nukilkan satu pandangan yang tuntas daripada almarhum Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi yang berkata dalam menafsirkan ayat 5 dari Surah al-Zumar:

يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya);

Surah al-Zumar (5)

Syeikh Sya'rawi berkata: Rasulullah SAW mengetahui rahsia kurniaan Quran tidak akan terhenti. Justeru, beliau tidaklah menafsirkan keseluruhannya. Bahkan beliau menjelaskan mengikut kadar kemampuan akal semasa supaya mereka tidak berpaling daripada agama. Kalaulah ayat al-Quran mengungkapkan ketika itu bahawa bumi bersifat bulat dan mengelilingi matahari, adakah seseorang boleh mempercayainya? Sedangkan sehingga sekarang, masih ada yang mengingkarinya. Justeru, kami dapati Quran menggunakan isyarat bahasa yang amat ringan sehinggalah dapat meluaskan akal untuknya lantas Allah berfirman dengan ayat ini. Oleh kerana malam datang di belakang siang hari dan siang datang selepas malam, maka ia menjadi bukti sifat bumi seperti bulatan. (Lihat Tafsir al-Sya'rawi, 6/3785)

Marilah sama-sama kita menginsafi untuk meyakini betapa bumi sebagai tempat tinggal manusia hendaklah diiisi dengan acara ibadat, ketaatan dan kepatuhan kepada Allah, pada saat yang sama menjauhkan daripada perdebatan yang boleh membawa pertelingkahan serta perkataan nista sesama sendiri.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah semoga kita sentiasa diberi taufiq dan hidayah serta petunjuk dalam mencari kebenaran dan kami tutup dengan doa ini:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ


Maksudnya: Ya Allah! Tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikanlah kami jalan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami jalan untuk menjauhinya.

_______________________

[1] Lihat http://www.utusan.com.my/berita/ ... -muka-bumi-1.841332
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-2-2019 10:16 PM | Show all posts
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ



Maksudnya: Ya Allah! Tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikanlah kami jalan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami jalan untuk menjauhinya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-2-2019 10:17 PM | Show all posts
selamat  membaca dan menaakul segala maklumat
Reply

Use magic Report

Post time 19-2-2019 04:02 PM | Show all posts
terima kasih...
Reply

Use magic Report

Post time 24-2-2019 04:49 PM | Show all posts
TY TT :-)
Reply

Use magic Report

Post time 27-2-2019 04:14 PM | Show all posts
kerana itu nak baca quran sejak zaman ulama dahulu wajiblah seseorg murid tu mendalami dahulu NAHU SOROF , BALAGHAH, mantiq sekurang kurangnya...

bukan main2 alquran, lari sedikit pengertian makna...lompat landasan terjun pergi kolam lain..
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-12-2024 07:30 PM GMT+8 , Processed in 0.219042 second(s), 28 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list