View: 2179|Reply: 0
|
Terrorist: Tingkap Disangka Pintu
[Copy link]
|
|
Terrorist: Tingkap Disangka PintuDecember 27, 2018
OLEH: Abu Amru Radzi Othman
AKHIRNYA ada juga orang Melayu yang meletupkan dirinya dengan ledakan bom dalam sebuah acara dipanggil jihad.
Sungguh tak sangka tetapi perkara ini tidak mustahil berlaku lantaran dunia semakin mengecil dan komunikasi semakin meranjah jauh hingga ke pojok paling hujung.
Idea dan fahaman yang pelbagai versi sangat mudah untuk tersebar sebagaimana mudahnya wabak menjangkit. Mungkin lelaki yang membunuh diri di Syria itu menganut fatwa daripada kelompok Hizbi (golongan yang menjadikan politik sebagai matlamat dakwah) yang menghalalkan ‘bom bunuh diri’.
Seperti fatwa yang diucapkan dalam Fatawa Mu’ashirah oleh Dr Al-Qaradhawi daripada jemaah Ikhwanul Muslimin (IM). Malah ternyata kebanyakan suspek yang diburu pihak polis baru-baru ini menyanjung tinggi kerangka fikir IM.
Kemudian sebuah kejadian terjadi namun dalam masa sama ia dilihat sebagai kegagalan.
Agamawan yang sepatutnya membasmi kegiatan pengganas mengaitkan golongan yang mengharamkan ‘bom letup diri’ sebagai golongan tadi!
Bukankah ia satu tindakan kurang tepat. Lalu mengaitkan faham Salafi dengan kegiatan pengganas adalah perbuatan gelabah, atau tindakan manusia jahil atau memang sengaja dilakukan kerana niat jahat.
Jelas golongan ulama salafi terutamanya dari Arab Saudi telah lama mengeluarkan fatwa mengenai haramnya bom bunuh diri ini sejak tahun 90-an.
Antara yang berfatwa tentang keharaman hal tersebut adalah Syeikh Ibn Uthaimeen, Syeikh Muqbil bin Hadi (1998), Syeikh Saalih Al-Fawzaan (2003), Syeikh Ahmad An-Najmee (2004). Malah Syeikh Al- Fawzaan adalah seorang daripada anggota Majlis Tertinggi Ulama Saudi mengulangi sekali lagi fatwa ini hingga dilaporkan oleh Berita Harian pada 9 Januari 2011.
Sesungguhnya ulama salafi di setiap belahan dunia - apakah di Saudi, atau di Yaman, atau di Jordan, atau di Pakistan, hatta di Malaysia dan Indonesia – semuanya sepakat mengatakan jihad (qital) itu wajid di bawah panji penguasa negara.
Ketika mana pemimpin negara tidak membenarkan rakyatnya terlibat dalam sesebuah pertempuran maka haram hukumnya seorang ahlul sunnah melanggar arahan tersebut.
Semuanya bermuara kepada prinsip yang selalu ditekankan oleh salafiyun iaitu ketaatan kepada penguasa Muslim yang terkandung dalam konsep Wala’ wal Bara’. Prinsip ini dibahaskan dalam kerangka aqidah ahlul sunnah zaman berzaman seperti yang tercatat dalam kitab
Aqidah ahlul sunnah seperti dalam Ushul Al-Sunnah karya Imam Ahmad dan juga Aqidah At-Thahawiyah oleh Imam At-Thahawi sebagaimana beliau berkata: “Haji dan jihad adalah dua hal yang tetap wajib dilaksanakan bersama pemimpin kaum Muslimin, yang baik mahupun yang zalim, sehingga hari kiamat”.
Sikap salafi
Sikap salafi dalam ketaatan kepada penguasa Muslim (dengan catatan dalam hal yang baik dan benar) telah diketahui umum sehingga golongan Hizbi sering memanggil mereka sebagai anjing penjilat penguasa, syaitan bisu, ulama kerajaan dan pelbagai gelar yang semuanya menunjukkan bahawa golongan salafi adalah pendukung kerajaan Muslim.
Bertambah pelik lagi adalah golongan agamawan yang dibebankan tugas membasmi pengganas telah menetapkan Al-Qaedah, ISIS dan seumpamanya sebagai salafi dan dalam masa yang sama agamawan ini juga mengatakan salafi merupakan mazhab rasmi Arab Saudi.
Lalu bagaimana akal waras dapat menerima kontradiksi ini? Fatwa rasmi Kerajaan Saudi telah lama keluar tentang kesesatan Osama Ben Laden dan jemaah takfirinya itu. Juga umum mengetahui bagaimana tanah Saudi telah bergegar dengan ledakan bom, bukan sekali malah berbelas kali. Dan umum mengetahui bagaimana Al-Qaedah menganggap kerajaan Saudi sebagai thaghut dan Isis menganggap Raja Saudi itu orang kafir sehingga merancang untuk melanggar Saudi baru-baru ini.
Apakah agamawan ini mahu mengatakan penganut salafi ingin membunuh Mufti Salafi dan Raja Salafi? Sungguh ini sebuah perkara lucu yang hanya difikirkan oleh otak tumpul.
Melalui postulat yang salah ini iaitu menetapkan bahawa faham salafi mengancam keselamatan negara dan mereka adalah pengganas maka para agamawan tersebut menghalang kuliah dan dakwah salafi.
Berlaku banyak siri tangkapan dengan alasan ‘tiada tauliah mengajar’ dalam usaha golongan agamawan ini membendung penyebaran mazhab salaf.
Nyata mereka menangkap golongan yang mengajak rakyat menasihati pemimpin secara rahsia, mendoakan hidayah kepada pemimpin dan membantu pemimpin dalam hal yang makruf serta mempertahankan pemimpin ketika ada golongan yang cuba mematahkan tongkat kesatuan umat.
Siapa Penentang Kerajaan?
Sementara itu agamawan ini membiarkan golongan hizbi berleluasa dan bergerak dengan bebas merata-rata. Lihat sahaja selepas solat Jumaat; terpacak syabab Hizbut Tahrir di pintu masjid bagi menyebarkan Sautun Nahdah; makalah yang sering mengajak untuk keluar dari ketaatan kepada pemimpin dan juga memuatkan pemikiran sesat mu’tazilah.
Mereka membiarkan pemikiran Ikhwanul Muslimin tumbuh bagai cendawan walhal pemikiran mengkafirkan penguasa Muslim yang tidak melaksanakan hudud ini boleh di dapati dalam jemaah tersebut. Sampai satu ketika dahulu, Sayed Qutub telah menggegaskan kelompok radikal yang bangkit menentang kerajaan Islam menggunakan senjata. Ini fakta yang tidak mampu ditutup oleh sesiapa.
Hanya kekadang masyarakat keliru dalam mengenal pasti golongan Salafi sebab ada persamaan dengan golongan Hizbi: Pertamanya, terdapat beberapa tokoh Hizbi yang menentang taklid dan mengajak untuk mempraktikkan ibadah seperti amalan Nabi Muhammad SAW.
Keduanya, banyak tokoh Ikhwanul Muslimin pernah berlindung di Saudi daripada buruan Gamal Naser lalu mereka mengajar di sana sehingga tersebar pemikiran hizbi tersebut di negara yang menjadikan mazhab salaf sebagai pegangan rasmi. Lahirlah Muhammad Surur, Osama dan beberapa tokoh lain. Semua mereka ini dilihat memiliki tatacara ibadah yang persis seperti salafi tetapi kerangka fikir dan keyakinan mereka berbeza dengan salafi.
Lantas ulama Salafi bangun menentang kelompok yang lahir di Saudi atas tarbiyah golongan hizbi. Kelompok hibrit ini disebut sebagai Sururi, di ambil dari nama tokoh utama mereka iaitu Muhammad Surur; menggabungkan tatacara ibadah sunnah tetapi keyakinan khawarij.
Sungguh betapa banyak fatwa daripada ulama salafi telah bertebaran tentang kesesatan serta bencana daripada kelompok Sururi ini.
Oleh itu masyarakat selalu anggap kelompok Hizbi seperti IM atau Al-Qaedah atau Sururi sebagai salafi, walhal mereka bukan salafi. Pembeza utama antara mereka dengan salafi adalah tidak ada salafi yang berkeyakinan dibolehkan menentang pemimpin negara selagi mana mereka melakukan solat serta golongan salafi berpegang kepada kaedah menasihati pemimpin secara rahsia.
Diambil dari Sinar Harian: http://www.sinarharian.com.my/rencana/terrorist-tingkap-disangka-pintu-1.304016
|
|
|
|
|
|
|
| |
|