|
PENUH. Sebahagian orang ramai beratur membuat bayaran selepas berbelanja di Malakat Mall, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2020.
CYBERJAYA – Menerima persepsi negatif pada awalnya khususnya lokasi yang dianggap tempat ‘jin bertendang’ namun aura produk bumiputera di Malakat Mall mempesonakan ramai pengunjung sejak mula beroperasi Jumaat lalu.
Pengasas pusat beli-belah berkenaan, Mohd. Fadzil Hashim berkata, Malakat Mall ternyata menerima sokongan pelanggan daripada pelbagai negeri bukan sahaja Selangor dan Lembah Klang.
“Bukan sebab kita tidak jemput orang berniaga di sini tetapi sebelum ini ramai yang tidak mahu. Ada yang anggap lokasinya tidak strategik, ada yang kata tempat ‘jin bertendang’
“Peniaga yang masuk cuma ada bazaraya yang kiosk lebih kurang 35 dengan kedai kita ada tiga. Itu sahaja buat masa ini. Yang kedai lain itu saya punya sendiri, kenapa kita terpaksa buat sendiri sebab tidak ada orang nak masuk menyewa, ramai orang tidak yakin tapi tidak mengapa,” ujarnya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Raudhah City Sdn. Bhd, Mohd Fadzil Hashim bercakap di Malakat Mall, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2020.
Bagaimanapun, sejak dirasmikan Jumaat lalu, Malakat Mall bukan sahaja menerima sambutan yang sangat memberangsangkan meskipun tanpa iklan dan promosi besar-besaran.
Difahamkan, semalam kesesakan jalan raya berlaku selama dua jam di Cyberjaya gara-gara Malakat Mall.
Deretan kereta pengunjung yang diletak di bahu jalan bagi di Malakat Mall, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2020.
“Ada yang datang naik bas dari Perak, dari Johor, Kedah. Mungkin sekarang cuti sekolah. Sekarang ni Covid-19 orang tidak keluar jauh sangat yang berdekatan kena juga berbelanja kan,” katanya lagi.
“Kita pun tidak sempat activate marketing, bunting, roadshow (untuk iklankan) kita tidak sempat buat sebab bukan sekadar bukan pusat beli belah tetapi kita sedia juga produk sendiri,” kata Mohd. Fadzil.
Tanpa niat untuk mencetuskan sentimen perkauman namun beliau sememangnya mahu membantu usahawan bumiputera dan produk golongan itu seterusnya membangunkan ekonomi Islam di negara ini.
“Kita harap pembukaan Malakat Mall ini memberi semangat kepada muslim ini adalah tahun kita maju, tahun kebangkitan Islam dalam konteks tidak mengganggu gugat kaum lain,” ujarnya.
Optimis dengan pusat beli belahnya yang sulung itu, beliau menyasarkan untuk membuka 100 cawangan Malakat Mall di seluruh negeri dalam tempoh 10 tahun.
Dalam pada itu tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata pengunjung yang pertama kali ke Malakat Mall berpuas hati dengan produk yang ditawarkan di Raudhah Grocer.
Pengunjung juga lega kerana Malakat Mall menyediakan ruang bagi orang ramai bersolat dengan selesa.
Orang ramai turut menunaikan solat fardu semasa membeli belah di Malakat Mall, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2020.
Selain dapat mengenali pelbagai produk bumiputera buat pertama kali, seorang pengunjung, Rahil Ibrahim, 39, juga teruja untuk mencuba barangan muslim yang tidak pernah digunakan.
Pengunjung, Rahil Ibrahim, 39, bercakap semasa membeli belah di Malakat Mall, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2020.
“Malakat Mall ini sangat menarik menerujakan saya untuk menyokong produk Muslim, BMF (Buy Muslim First). Produknya pun bagus juga, banyak yang kita tidak pernah jumpa sebelum ini jadi kita berpeluang untuk mencuba,” katanya.
Bagi Khadijah Ibrahim, 62, yang kelihatan sangat gembira selepas berbelanja barangan keperluan rumahnya di Raudhah Grocer.
Pengunjung, Khadijah Ibrahim, 62, bercakap semasa membeli belah di Malakat Mall, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2020.
Jelas beliau, ini kerana Khadijah tidak perlu risau dengan dengan kandungan barangan mentah khususnya apatah lagi barangan keluaran muslim.
“Ini pertama kali saya suka sangat pasar raya Raudhah dan pusat membeli belah begini. Macam Raudhah Grocer sendiri saya tidak perlu membaca kandungan lagi, senang untuk kita orang Muslim, harga pun sangat berpatutan, murah dari pasaraya lain,” tambahnya.
Bagi Hasan Abdul Rahman, 55, bukan hanya keunikannya memasarkan produk muslim di Raudhah Grocer malah Malakat Mall menyediakan harga yang lebih berpatutan jika dibandingkan dengan pasar raya lain.
Pengunjung, Hasan Abdul Rahman, 55, bercakap semasa membeli belah di Malakat Mall, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2020.
“Harga saya rasa ada barangan yang murah dari pasar raya. Kalau banyak pusat beli belah macam ini lagi bagus, sebab ramai pelanggan sekarang tidak banyak pilihan. Macam saya tinggal di Bangi walaupun ia kawasan Melayu tetapi tidak ramai peniaga Melayu yang buka pusat beli belah seperti ini.
“Raudha Grocer ini pun konsepnya bersih dan cantik, saya berpuas hati berbelanja di sini. Kena tambah lebih banyak barang lagilah,” ujarnya.- MalaysiaGazette
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|