Aidah (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada wakil murid tujuh sekolah di Bandar Muadzam Shah, Pahang, baru-baru ini. - Foto TNB
KUALA LUMPUR: Seramai 50 pelajar dari tujuh sekolah rendah di Bandar Muadzam Shah, Pahang menerima sumbangan kelengkapan sekolah dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS TNB).
Sumbangan dua pasang pakaian seragam, sepasang kasut, beg sekolah, botol air, tuala muka dan wang saku itu disalurkan melalui program Back to School 3.0, anjuran PELITAWANIS TNB Kebangsaan dan PELITAWANIS TNB Cawangan Muadzam Shah.
Yang Dipertua PELITAWANIS TNB Kebangsaan, Datin Seri Aidah Abu, berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban ibu bapa membuat persiapan menjelang persekolahan tahun depan, terutama dalam kalangan keluarga B40 yang turut terkesan lantaran penularan COVID-19.
"Usaha kami ini adalah selari dengan aspirasi TNB sendiri yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sosialnya," katanya yang juga isteri kepada Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
PELITAWANIS TNB adalah persatuan wanita yang dianggotai seramai 6,900 ahli terdiri daripada warga kerja wanita dan pesara wanita TNB, selain isteri serta balu kepada warga kerja lelaki TNB.
Majlis penyerahan di Dewan Milenium Lestari UNITEN Muadzam itu turut dihadiri Amir Hamzah dan Naib Canselor UNITEN, Prof Dato Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha. |