Hiasan di halaman rumah Razali Paiman yang menggunakan barang-barang terbuang dan lusuh sehingga membolehkannya dinobatkan sebagai Halaman Tercantik melalui Sambutan Hari Landskap Kampung Parit Semarang di Ayer Hitam. FOTO ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim
[email protected]
Ayer Hitam: Mungkin ramai yang tidak menyangka basikal lama, kuali bocor, dapur gas rosak dan barang mainan boleh dimanfaatkan untuk menghias laman rumah hingga menjadi tarikan kepada orang ramai.
Itu yang dilakukan Razali Paiman, 48, bersama anak perempuannya, Noorsyafidatul Amira, 23, di rumah mereka di Kampung Parit Semarang, di sini.
Menurut Razali, pada mulanya idea untuk menghias laman hanya membabitkan penggunaan barang yang sudah lama dan tidak digunakan selain rosak dan lusuh.
Katanya, dia dan anak bongsunya itu kemudian membuat beberapa penambahan dan mengecat semula barang berkenaan agar lebih cantik.
"Antara barang yang paling menarik adalah penimbang atau dacing lama yang sememangnya tidak digunakan lagi masa kini serta basikal pertama yang digunakan oleh Amira ketika dia memasuki sekolah menengah kira-kira 10 tahun lalu.
"Selain laman rehat yang diberi nama Laman Penyamin, saya juga membuat satu laman yang dikhususkan untuk tanaman pertanian dengan nama Laman Tani serta ruang rehat untuk bersantai dengan dua anak ketika waktu lapang," katanya.
Razali berkata demikian selepas diumumkan sebagai pemenang katogari Laman Tercantik sempena Sambutan Hari Landskap Kampung Parit Semarang yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Samsolbari Jamali, hari ini.
Menurutnya, mereka sekeluarga tidak menyangka muncul pemenang kerana pada asalnya kerja-kerja terbabit dilakukan untuk memenuhi masa lapang serta mencantikkan halaman rumah. |