Kuala Lumpur: Permulaan yang kurang cemerlang buat pemain golf negara, Gavin Green apabila dia sekadar mencatatkan 74 pukulan 3 di atas par untuk berada di kedudukan ke-58 keseluruhan dalam saingan hari pertama di Kelab Golf Kasumigaseki hari ini. Jelas, pemain golf negara itu masih lagi mencari rentak dalam usaha mencatatkan keputusan terbaik di lapangan golf itu, yang terletak 65 kilometer dari Tokyo. Gavin melakukan pukulan bersama peserta dari China dan Jerman, sekadar membenam 2 birdie di lubang kelapan dan ke-11 dan mencatat lima bogey secara keseluruhan. Sememangnya ia permulaan kurang sempurna buat Gavin susulan gagal melakukan catatan di bawah par pada hari pertama. Pemenang pingat perak Sukan Sea Myanmar 2013 itu akan turun sekali lagi esok bagi mengharungi pusingan kedua. Gavin yang hanya mempunyai empat hari persiapan sebelum berlepas ke Tokyo masih lagi untuk mencapai sasaran peribadinya, iaitu memperbaiki kedudukan ke-47 yang dilakukannya lima tahun lalu. sumber : HMetro
|