Kuala Lumpur: Siapa kata berhijab akan mengganggu atlet olahraga terutama dalam acara pecut 100 meter (m) dan dua atlet membuktikan mereka tetap mampu berlari pantas di pentas Olimpik Tokyo 2020. Dua atlet berhijab yang mencuri tumpuan dunia itu ialah pelari Iran, Farzaneh Fasihi Alshammari dan atlet negara, Azreen Nabila Alias, hari ini. Kedua-duanya mengejutkan pesaing lain dalam saringan kedua pusingan kelayakan 100m wanita apabila Farzaneh dan Azreen berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan satu dan dua untuk mara ke pusingan pertama. Pemakaian hijab itu langsung tidak mengganggu rentak larian kedua-dua gadis itu yang cukup comel dan sopan, selain tampil berseluar 'tight' panjang. Malah, mereka berdua dilihat selesa dengan penampilan itu dan ia diterjemahkan menerusi satu larian bertenaga dan pantas. Farzaneh merekodkan 11.76 saat diikuti Azreen dengan 11.77s, manakala Mudhawi dari Kuwait ketiga dengan catatan 11.82s. Catatan Azreen, 21, yang berasal dari Kuala Terengganu itu adalah rekod peribadi terbaiknya, sekali gus memadamkan catatan 11.81s yang dilakukannya ketika di Sukan Malaysia (Sukma) 2018 lalu. sumber : HMetro
|