Tokyo: Rakan sejak kecil, Lee Yang dan Wang Chi-lin memenangi pingat emas badminton beregu lelaki di Tokyo 2020, hari ini, yang juga pingat pertama Taiwan dalam sukan itu di temasya Olimpik. Mereka menewaskan beregu China, Li Junhui dan Liu Yuchen 21-18, 21-12 di final yang hanya berlangsung 34 minit. China sebelum itu menang beregu campuran, semalam dan berharap menyapu bersih emas acara badminton di Tokyo 2020. Tetapi, Lee dan Wang yang juga gandingan nombor tiga dunia jelas terlalu kuat dan memenangi emas selepas menewaskan beregu nombor satu dan dua dunia ketika melangkah ke final. Beregu Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menang gangsa. Taiwan berpeluang menang satu lagi emas dalam acara perseorangan wanita apabila pemain nombor satu dunia, Tai Tzu-ying menewaskan pemain India, P V Sindhu di separuh akhir, hari ini. Tai menewaskan juara dunia itu 21-18, 21-12 dan akan bertemu pemain China, Chen Yufei di final. "Saya bermain dengan baik hari ini," kata Tai. "Saya tidak banyak membuat silap, jadi saya kurang tertekan." Sindhu menyasarkan kilauan pingat lebih baik selepas menang perak di Rio 2016, tetapi dia berpeluang menang gangsa apabila menentang pemain China, He Bingjiao, Ahad ini.
|