Tokyo: Renangan bertenaga kuak kupu-kupu dari Caeleb Dressel membantu Amerika Syarikat (AS) mencatat rekod baru dunia dan meraih emas dalam acara 4x100 rampaian sebentar tadi. Kuartet AS yang dibarisi Ryan Murphy, Michael Andrew, Dressel dan Zach Apple menamatkan saingan dengan catatan tiga minit 26.78 saat (s) untuk memecahkan rekod lama 3:27.28s yang dicatatkan pada Kejohanan Dunia 2009. Tempat kedua diraih Britain melalui catatan masa 3:27.51s dan tempat ketiga pula milik Itali, 3:29.17s. AS ketinggalan pada 200m pertama ketika Andrew melakukan disiplin kuak dada menentang Adam Peaty dari Britain namun sebaik saja Dressel masuk ke dalam kolam renang semuanya berubah. Dia berjaya merampas kembali kedudukan pendahulu sebelum membiarkan Apple menyelesaikan tugas untuk mencatat kejuaraan. Ia adalah emas kelima buat Dressel di Olimpik kali ini, selepas meraih yang keempat sebelum itu dalam acara 50m gaya bebas dengan mencatat rekod baru Olimpik 21.07s Dia yang juga pemegang rekod dunia dalam acara berkenaan berjaya mengetepikan perenang Perancis, Florent Manaudou (21.55s) dan Brazil, Bruno Fratus (21.57s). sumber : HMetro
|