Melaka: Tanpa sedar laluan takdir Aaron Chia ke temasya Olimpik sebenarnya bermula pada usianya empat tahun apabila acap kali mengikuti ayahnya Chia Boon Foo ke gelanggang badminton, sekali gus memutikkan minat untuk menceburi sukan itu sehingga mula mewakili negeri Melaka pada umur 11 tahun. Malah di gelanggang badminton jua, anak kedua daripada tiga beradik itu belajar mengenal erti kegigihan dalam menghadapi setiap kejohanan dan lawan tanpa rasa takut dan berputus asa. Ini termasuklah buat pertama kalinya anaknya itu kecewa kerana gagal terpilih memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) namun menasihatkan atlet itu supaya tidak berputus asa dan terus berusaha untuk menunjukkan prestasi terbaik, jelas Boon Foo yang kini berusia 62 tahun. "Akhirnya pada umur 14 tahun dia berjaya memasuki SSBJ dan semasa Tingkatan 5, Aaron mula mendapat latihan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM). "Selama empat tahun ini Aaron sangat fokus dan sibuk dengan latihan serta jadual yang amat padat, nyata kegigihan dan pengorbanannya selama ini membuahkan hasil dan kami berharap mereka terus mencapai kejayaan pada kejohanan akan datang," katanya pada sesi temu bual bersama media melalui aplikasi zoom yang dihoskan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong di sini hari ini. Mengimbau saat menonton perlawanan secara langsung menerusi televisyen bersama isterinya, Chan Mee Kee, 62, serta beberapa ahli keluarga yang lain, Boon Foo mengakui tidak dapat menahan sebak dan menjerit kegembiraan melihat kejayaan yang diukir dalam usaha membutirkan pingat pertama Malaysia bagi temasya edisi kali ini. "Kami sangat berdebar melihat perlawanan yang sangat sengit itu dan sedar ia bukan satu perkara yang mudah tetapi kami sangat percaya dengan kemampuan mereka. "Lebih istimewa, ia adalah penampilan pertama mereka dalam temasya berprestij itu dan kejayaan ini amat bermakna kerana bukan sahaja mengharumkan nama negara malah menyatupadukan rakyat Malaysia yang turut memberi sokongan tanpa berbelah bagi," katanya. Lebih membanggakan, kemenangan semalam turut menyaksikan Aaron dan pasangan regunya, Soh Wooi Yik berjaya menebus kekalahan kepada gandingan nombor dua dunia itu dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini. Dalam saingan merebut pingat gangsa semalam, gandingan Aaron-Wooi Yik yang sebelum itu ketinggalan pada set pertama 17-21, bangkit pada set seterusnya sekali gus menewaskan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dengan mata 21-17, 21-14. Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya turut menitipkan ucapan syabas dan tahniah buat pasangan beregu lelaki negara itu. Beliau berkata kejayaan menghadirkan pingat gangsa yang juga pingat pertama itu amat ditunggu-tunggu rakyat Malaysia selepas menewaskan gandingan handalan Indonesia. "Bagi saya cukup membanggakan dan tidak kurang juga penuh debarnya. Saya juga tumpang bangga kerana Aaron, anak muda 24 tahun ini berasal dari Melaka dan nampaknya, Melaka sekali lagi 'pencetus' pingat di Sukan Olimpik Tokyo!," katanya. sumber : HMetro
|