Tokyo: Juara dunia dua kali, Yulimar Rojas dari Venezuela mencipta rekod baru dunia ketika memenangi pingat emas Olimpik dalam acara lompat kijang wanita, hari ini. Yulimar melakukan lompatan 15.67 meter (m) dalam lompatan keenam dan terakhir di Tokyo, mengatasi rekod terbaik sebelum ini 15.50m dilakukan oleh atlet Ukarine, Inessa Kravets pada 1995. Ia adalah rekod dunia pertama dalam acara olahraga di Olimpik Tokyo. Atlet Portugal, Patricia Mamona memenangi pingat perak dengan catatan terbaik kebangsaan 15.01m. Peserta Sepanyol, Ana Peleteiro melakukan lompatan 14.87, juga rekod kebangsaan, dalam cubaan kelimanya untuk menafikan atlet Jamaica, Shanieka Ricketts merangkul gangsa dengan perbezaan tiga sentimeter. Yulimar memenangi kejuaraan dunia pada 2017 dan 2019 serta memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016. sumber : HMetro
|