View: 3494|Reply: 0
|
Layan selut, laluan curam
[Copy link]
|
|
Hafiz Ithnin
[email protected]
ANTARA laluan menurun yang curam perlu ditempuhi.
"JALAN seperti di atas 'bubur' jadinya!," kata seorang rakan pendaki sebaik kami menamatkan pendakian yang awalnya dijangkakan boleh ditamatkan kurang 14 jam bagi kelajuan biasa, tetapi akhirnya hampir ke 18 jam!
Bagi pendaki, nama Trans Naning yang merentas dua daerah iaitu Rembau dan Tampin di Negeri Sembilan mencakupi tujuh puncak sejauh 21 kilometer.
Penulis bersama tujuh rakan pendaki dari Geng Bersatu Hati (GBH) rata-ratanya rakan editorial di The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) sebenarnya jauh sekali menjangkakan laluan denai untuk menamatkan tujuh puncak itu begitu 'rumit' pada musim hujan.
Kami memulakan pendakian dengan menjadikan Gunung Datuk di Rembau sebagai puncak pertama diikuti pendakian ke puncak Rembau, Gagak, 701, 705, Tampin Utara dan mengakhiri ke Tampin Selatan.
Seawal sekitar jam 4.30 pagi, kami semua sudah bersedia untuk memulakan pendakian ke puncak Gunung Datuk yang dihidangkan dengan laluan denai agak santai, tetapi mencanak untuk ke puncak setinggi 884 meter itu.
Sebaik penulis tiba di puncak sekitar 30 minit pendakian, angin menderu kencang bersulam rasa sejuk. Di dalam hati mula rasa menyesal kerana terlalu cepat untuk tiba ke puncak apatah lagi jaket nipis yang menjadi pelindung ibarat gagal berfungsi. ditambah hanya bercelana pendek.
Tatkala sebelum azan Subuh bergema, tujuh ahli kumpulan kami sudah lengkap semuanya tiba di puncak Datuk. Menghirup kopi panas dan mengisi perut dengan makanan ringan bagaikan kepuasan pada awal pagi itu.
PESERTA bersedia sejak awal pagi untuk mendaki Trans Naning.
MENITI pokok balak tumbang yang menjadi igauan ngeri kepada pendaki. Ketika jarum jam menghampiri 7 pagi, kami semua bergerak ke puncak Rembau dan perjalanan menuju ke destinasi itu mula dihidangkan dengan laluan sedikit berbecak yang sebenarnya adalah mukadimah laluan seterusnya lebih berselut!
Dari puncak Rembau perjalanan semakin berselut menuju ke puncak Gagak yang ternyata lebih mencabar apabila perlu melalui laluan menurun yang licin.
Apatah lagi ketika kami mendaki terdapat beberapa kumpulan pendaki lain juga melakukan aktiviti pendakian ke Trans Naning.
Pastinya antara satu sama lain ingin mengelak daripada berada dekat demi menjaga keselamatan masing-masing dan menjaga prosedur operasi standard (SOP). Walaupun agak mencabar, SOP tetap perlu dijaga.
Dari puncak Gagak, perjalanan diteruskan lagi menuju ke puncak 701 iaitu ketinggiannya (701 meter) yang daripadanya nama diberikan.
Ternyata dari puncak Gagak laluan menurun lebih menduga kecekapan kaki untuk tidak tergelincir akibat kasut sudah habis berkubang sepenuhnya.
Tidak sekadar laluan yang berselut perlu ditempuhi malah, laluan itu juga seingat penulis banyak pokok berduri. Jika tergelincir dan tersilap berpaut pasti mengundang kecederaan.
Pada awal jadual pendakian kami menjangkakan dapat tiba di destinasi makan tengah hari selepas puncak 701 iaitu Camp Ultra selewat-lewatnya pada jam 1 tengah hari.
PENDAKIAN menjelang waktu gelap lebih mencabar Namun, unjuran masa itu meleset sepenuhnya apabila kami tiba di Kem Ultra yang terletak jauh menurun dari puncak 701 hanya sekitar jam 3 petang.
Perjalanan turun ke Kem Ultra seakan-akan tiada akhirnya. Apatah lagi terdapat pokok tumbang yang menghalang laluan denai ketika menurun.
Penulis dimaklumkan terdapat air sungai di Kem Ultra, namun perjalanan turun hampir 30 minit tidak kedengaran langsung sebarang bunyi air.
Rakan pendaki penulis yang setia berada di belakang sudah kelihatan letih melayan laluan denai itu. Apatah lagi, perut sudah 'berlagu' untuk diisi.
Sebaik tiba di Kem Ultra, kami mengambil masa hampir sejam untuk berehat kerana keletihan melayan laluan denai yang begitu berbecak.
Cuaca masih suram dan berangin seperti di puncak Datuk, akhirnya berderai hujan. Cepat-cepat kami semua menyarung baju hujan dan meneruskan perjalanan mendaki ke puncak 705 pula.
Seperti dikatakan penunjuk arah dari Kem Ultra ke puncak 705, mendaki seakan-akan tiada penghujung dan nyata benar belaka. Lebih mencabar apabila terdapat banyak 'longkang' besar yang perlu dilalui dengan berhati-hati.
Jam sudah menunjukkan hampir 5.30 petang dan akhirnya penulis tiba di puncak 705. Penulis mengelak untuk berada terlalu lama di puncak itu kerana ingin mengelak daripada berjalan pada sebelah malam.
ANTARA ahli Geng Bersatu Hati yang menyertai pendakian ke Trans Naning. Namun, ia tidak berlaku kerana ketika tiba di puncak Tampin Utara jam sudah menghampiri 7 malam dan ketika itu ada juga rakan pendaki daripada kumpulan lain yang ditemui penulis sudah keletihan.
Sehinggakan ada antaranya ingin melelapkan mata di atas laluan denai yang basah seketika kerana terlalu penat melayan laluan mencabar pada hari itu.
Hampir 7.30 malam, baru penulis tiba di puncak Tampin Selatan dan dalam kepala hanya ingin keluar secepat mungkin dari hutan belantara itu kerana khuatir laluan berselut dan gelap pasti boleh memberi lebih cabaran.
Akhirnya sekitar jam 8.30 malam, penulis bersama seorang rakan pendaki tiba di pintu keluarnya dan rupanya cabaran belum berakhir kerana persekitarannya begitu berangin, sejuk serta tiada tempat untuk berlindung.
Menunggu pengangkutan mengambil kami untuk ke kaki Gunung Datuk amat mencabar. Akhirnya kami mengambil keputusan berjalan turun.
Dalam meredah jalan gelap, penulis dan seorang rakan pendaki terserempak sebuah kenderaan dan meminta memaklumkan kepada pengangkutan yang diberi tugas membawa pendaki turun untuk bersedia di atas kerana khuatir jika ada yang cedera.
Ternyata pendakian pada musim hujan di Trans Naning bukan perkara mudah walaupun ia adalah lokasi latihan untuk si pelari denai.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|