|
Kuala Lumpur: Nama Kevin Cordon hanya terpahat di hati peminat badminton seluruh dunia selepas berakhirnya temasya Sukan Olimpik Tokyo. Sebelum itu, tiada siapa yang mengendahkannya apatah lagi dia berasal dari Guatemala, negara yang langsung tidak dikenali dalam sukan itu.
Namun pemain berusia 34 tahun itu, yang dilatih bekas pemain Kelab Badminton Djarum, Muamar Khadafi dari Indonesia, mengejutkan ramai dengan pencapaian mengagumkan layak ke separuh akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik.
Tidak hairan sambutan yang diterima sekembalinya Cordon ke Guatemala City apabila beribu-ribu peminat sukan menyambutnya di lapangan terbang selain persatuan badminton negara itu mengadakan sambutan besar-besaran dan diarak di jalanan bagaikan seorang wira bola sepak, sukan paling popular di negara Amerika Tengah itu.
Cordon melakar sejarah negara itu apabila dia muncul atlet pertama layak ke separuh akhir Sukan Olimpik. Kemenangan ke atas pemain Korea Selatan, Heo Kwang Hee membolehkannya layak ke separuh akhir sebelum tumbang di tangan pemenang pingat emas, Viktor Axelsen dari Denmark.
Sayangnya pada perlawanan penentuan pingat gangsa, Cordon gagal memenuhi impian peribadinya untuk meraih pingat pada temasya itu apabila dia tewas 11-21, 13-21 kepada pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting.
"Kevin memang tidak tertekan langsung. Tujuan kami ke sini untuk mengambil bahagian dan menikmati permainan," ujar Muamar.
"Kami sedar fokus kami bukan seperti Indonesia, China, Jepun dan negara kuat badminton yang fokusnya memburu pingat. Kami fokus untuk mengambil bahagian, menikmati permainan dan memberikan yang terbaik semampu adanya."
Kini, pada usia yang agak lanjut, Cordon dikhabarkan akan bersara dan mungkin beraksi kali terakhir pada Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol hujung tahun ini.
Muamar juga tidak akan menyambung kontraknya bersama persatuan negara itu. "Saya memutuskan untuk selesai tugas dengan Guatemala, maksudnya tidak sambung lagi," katanya dalam satu temuramah YouTube.
HMetro
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|