|
FAIZAL menjual sosej halal diimport dari negara jiran Thailand. FOTO Faizal Saari
Kuala Lumpur: Kelincahannya di tengah padang sudah terbukti namun kini penyerang sensasi skuad hoki kebangsaan Faizal Saari terpaksa ligat mencari sumber pendapatan sampingan menerusi platform atas talian.
Faizal, 30, pada mulanya berasa agak malu tetapi akhirnya melenyapkan perasaan itu kerana berasakan apa yang dilakukannya betul selain rezeki yang dicarinya adalah halal.
Bintang serangan Terengganu Hockey Team (THT) itu sering mempromosi sosej halal diimport dari negara jiran Thailand secara atas talian menggunakan platform Facebook Live sejak empat bulan lalu bagi menambah pendapatan.
"Sekarang nama saya tolak ke tepi, malu pun saya tolak ke tepi sebab saya nak cari rezeki, nak tanggung keluarga cari nafkah untuk anak dan isteri. Saya cari rezeki yang halal untuk menambah pendapatan, duit poket.
"Saya tengok artis dan bekas atlet mereka tolak tepi perasaan malu, nama tolak tepi, saya pun buat benda yang sama. Mula-mula memang ada rasa malu tapi selepas dua tiga hari berniaga semuanya tu saya tolak tepi dan saya jadi biasalah."
Faizal berkata, lagipun sebelum ini dia sering mengikut emaknya berniaga sejak kecil jadi pengalaman itu membantunya dalam usaha mencari rezeki ketika penularan wabak Covid-19 menjejaskan pendapatan dan pekerjaan rakyat bukan saja di negara ini malah di seluruh dunia.
"Keluarga saya pun memang berniaga. Saya selalu ikut emak saya berniaga sejak kecil lagi jadi saya pun sebenarnya sudah biasa berniaga."
Baru-baru ini, Faizal berkongsi di Facebook perasaannya yang agak terkejut ketika menjual secara 'live' tiba-tiba legenda sukan negara Datuk Lee Chong Wei, atlet para Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan kakak iparnya bekas pemain boling negara Syaidatul Afifah Badrul Hamidi turut menyertai sama-sama mempromosikan jualannya itu.
"Jual sosej sekali legenda-legenda masuk... terima kasih Syaidatul Afifah, Wan dan Dato' Lee Chong Wei... speechless boss," tulisnya dalam status.
Selain mempromosi jualan di media sosial, Faizal turut menjual sosej di platform atas talian terkenal Shopee dengan nama 'SausageThaiHalal' dan secara 'car booth' di sekitar Sungai Besi, Bandar Tasik Permaisuri dan Puncak Jalil ketika mempunyai masa terluang.
Faizal yang mewakili negara sejak 2009 pada usia 18 tahun dan kini mempunyai lebih 200 'caps' antarabangsa, mengemudi kejayaan Malaysia meraih pingat perak pada temasya Sukan Asia Guangzhou 2010 dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Dia berkahwin dengan atlet pelapis skuad boling negara Syaidatul Afyna Badrul Hamidi pada 2015 dan dikurniakan dua cahayamata Faleeq Jafran, 5, dan Lenora Latisya, 2. - HMetro |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|