|
Nairobi: Juara Olimpik 2004, Justin Gatlin masih belum memikirkan soal persaraan di sebalik hanya menamatkan saingan acara pecut 100 meter (m) di kedudukan ketiga di saingan jelajah benua Olahraga Dunia.
Pelari Amerika Syarikat (AS) berusia 39 tahun itu yang dua kali digantung kerana kesalahan doping, gagal layak beraksi di Olimpik Tokyo dan berharap dapat melakukan kebangkitan di Kenya.
Bagaimanapun dia tidak dapat menandingi rakan senegara, Trayvon Bromell dan sensasi baharu pecut Kenya, Ferdinand Omanyala.
"Saya hadir ke sini selepas pulih daripada kecederaan dan berharap dapat menang di sini," kata Gatlin.
"Sama-sama kita nantikan apakah yang akan berlaku pada musim baharu nanti," tambahnya ketika ditanya jika dia bercadang untuk bersara.
Gatlin berkata dia akan mengambil cuti rehat panjang untuk menentukan masa depannya.
Bromell yang sudah pun mencatat masa terpantas 100m pada tahun ini, memperbaiki catatannya dengan 9.76s manakala Omanyala 9.77s, catatan sama dilakukan Bromell pada April lalu.
Bagi kebanyakan atlet yang bersaing, Nairobi adalah kemuncak saingan kepada musim yang panjang termasuk Olimpik dan Diamond League selepas beberapa kejohanan lain dibatalkan pada tahun lalu berikutan pandemik Covid-19. - HMetro
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|