|
Kuala Lumpur: Jurulatih kebangsaan, Datuk Rashid Sidek tidak berhadapan masalah diberikan tanggungjawab melahirkan lebih ramai jaguh perseorangan badminton paralimpik negara pada masa hadapan.
Rashid berkata, kejayaan pemenang pingat emas temasya paralimpik, Cheah Liek Hou baru-baru ini boleh dikatakan memberi inspirasi kepada pemain badminton paralimpik lain untuk lebih komited dan berusaha untuk mempamerkan aksi terbaik di peringkat lebih tinggi. Beliau berkata, ketika ini beliau menyerahkan perkara terbabit kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam menentukan hala tujunya dalam melatih pemain perseorangan badminton paralimpik negara.
"Jika ada lebih ramai pemain berbakat lebih bagus dan saya tidak berhadapan masalah untuk fokus melatih mereka dengan rela hati," katanya.
Sebagai rekod, Rashid yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 mula menjadi jurulatih kepada Liek Hou pada penghujung 2019.
Selain itu, Rashid berkata, beliau akan mengadakan perbincangan Bersama MSN membabitkan kontraknya yang akan tamat pada hujung tahun ini.
"Saya dengan MSN sampai hujung tahun ini namun belum ada lagi perbincangan bersama pihak terbabit. Mungkin bulan depan akan mengadakan perbincangan namun ketika ini fokus adalah melatih Liek Hou," katanya.
Sementara itu, berkaitan status akademi badminton miliknya, Rashid berkata ketika ini hanya fokus kepada beberapa pemain saja termasuk individu yang akan menyertai Sukan Malaysia (Sukma) kelak.
"Selain Liek Hou, saya turut melatih pemain perseorangan lelaki Liew Daren dan pemain perseorangan wanita Soniia Cheah serta beberapa pemain muda lain. Mungkin saya akan buka akademi bulan depan namun bergantung kepada situasi semasa terutama pandemik Covid-19 dan arahan pihak berkaitan," katanya. - HMetro
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|