|
Metz: Bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray mara ke suku akhir ATP buat kali pertama selepas dua tahun, apabila mencatat kemenangan straight set ke atas wakil Kanada, Vasek Pospisil di Terbuka Moselle.
Murray, yang sekarang ini menduduki ranking ke-113 dunia, meraih kemenangan 6-3, 6-3, dan akan berdepan sama ada pilihan utama, Hubert Hurkacz dari Poland atau pemain Perancis, Lucas Pouille bagi memburu tempat ke separuh akhir.
Ia adalah penampilan pertama Murray di suku akhir sejak meraih kejuaraan ke-46 sepanjang kariernya di Antwerp pada Oktober 2019.
Murray, 34, yang menjalani dua pembedahan di bahagian pinggul sepanjang tempoh tiga tahun lalu, berjaya mematahkan servis pemain ranking ke-66 dunia, Pospisil sebanyak empat kali dalam aksi yang berlangsung selama satu jam 24 minit untuk meraih kemenangan kelima selepas enam pertemuan dengan pemain berkenaan.
Sebelum ini, Murray mengalahkan pemain Perancis yang berada di ranking ke-26 dunia, Ugo Humbert 4-6, 6-3, 6-2 di pusingan pertama.
"Setakat ini sudah banyak kejohanan saya beraksi dan badan saya pun sudah dapat menyesuaikan diri, cuba saya perlu mendapat sedikit keyakinan dalam setiap perlawanan.
"Ada masa pada tahun-tahun sebelum ini di mana saya agak keliru dan tidak dapat melihat bagaimana untuk mempertingkatkan pungutan mata.
"Di mana bagi saya ia adalah kekuatan saya sebelum ini dan ia membuatkan saya kurang selesa apabila berada di dalam gelanggang jika mempunyai perasaan seperti itu.
"Saya mula untuk mendapat semula kelebihan itu dan keputusan positif pula menyebelahi saya, permainan tenis saya juga semakin bagus," kata Murray yang juga juara Grand Slam sebanyak tiga kali. - HMetro
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|