|
Bruges: Tony Martin menamatkan kariernya dengan cukup istimewa apabila membantu Jerman untuk muncul juara ujian masa berpasukan campuran di Kejohanan Dunia di Flanders.
Martin, Max Walscheid dan Nikias Arndt berjaya mencatat masa kedua terpantas untuk sesi pelumba lelaki sebelum Lisa Brennauer, Lisa Klein dan Mieke Kroeger beraksi dengan lebih baik bagi meraih emas sekali gus keenam-enam mereka berjaya menyarung jersi pelangi.
Jerman berjaya mengatasi Belanda dengan kelebihan 12 saat, manakala Itali menduduki tempat ketiga, lima saat lebih pantas mengatasi Switzerland.
Bagaimanapun, skuad Itali berjaya mencatat masa terpantas dalam aksi pembukaan sejauh 22.5 kilometer (km) di mana tiga pelumba lelaki memulakan kayuhan terlebih dulu sebelum diikuti dengan tiga pelumba wanita sebaik saja mereka melintasi garisan penamat.
"Terima kasih kepada pelumba wanita, mereka yang membuatkan catatan ini menjadi lebih baik. Saya dengan jujur mengakui memang kami meletakkan sasaran untuk menang, berharap dapat raih pingat emas. Sekarang kami akan meraikan kejayaan ini dan saya akan pergi bercuti dengan keluarga saya.
"Keputusan untuk bersara masih lagi baru dibuat, jadi kita akan lihat apa yang akan terjadi seterusnya," kata Martin.
Pelumba wanita, Lisa Klein yang terjatuh akibat keletihan selepas melintasi garisan penamat di Bruges berkata, ia memang sangat menyakitkan ketika mereka mengakhiri perlumbaan dengan kemenangan.
"Ia sangat memberi makna dan ia memang sangat menyakitkan dalam perlumbaan ini, saya rasa kami sudah melepasi had yang sepatutnya.
"Ia sangat istimewa menjadi sebahagian daripada pasukan ini. Tahniah kepada Tony untuk perlumbaan terakhirnya, jadi ia satu penghormatan buat kami untuk sama-sama berjuang bagi mencatat kemenangan," katanya. - HMetro
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|