
STAKAN: Program Kepolisan Komuniti dapat mewujudkan serta memperkasakan Jawatankuasa Bertindak (First Response Team) di peringkat kampung bagi menangani isu-isu komuniti setempat.
Residen Bahagian Samarahan Brahim Lumpu yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud berkata, objektif program berkenaan adalah bagi mendedahkan kepada peserta tentang perkongsian pengalaman Biro keselamatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam mengawal penularan jangkitan COVID-19 di kawasan kampung.
Menurutnya, program tersebut juga berkongsi isu wabak Rabies dengan masyarakat setempat, kesedaran berkenaan masalah sosial seperti dadah di kalangan masyarakat.
“Program sama juga memberi kesedaran kepada penduduk yang enggan menerima vaksin tentang kepentingan vaksin untuk melindungi diri dan komuniti.
“Sebagai sokongan berterusan kepada usaha kerajaan, dengan adanya program ini maka dapatlah kita meningkatkan kesedaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kawalan kendiri serta amalam norma baharu dalam kalangan masyarakat,” katanya semasa Majlis Perasmian Kepolisan Komuniti (Community Policing) di DUN Stakan pada Selasa.
Sementara itu, beliau berkata, usaha berterusan kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, peranan masyarakat di peringkat kampung dan rumah panjang turut ditagih bagi melaksanakan langkah-langkah pencegahan.
“Setiap ketua kampung seharusnya peka dengan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa dan menyalurkan maklumat itu kepada masyarakat setempat bagi meningkat lagi pematuhan,” katanya.
sarawakvoice.com/2021/09/29
|