
BAU: Dua orang lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah ditahan polis menerusi Op Tapis pada Jumaat.
Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 33 dan 28 tahun merupakan warga tempatan berasal dari Kampung Blimbin dan Taman Mutiara, Bau.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau terdiri dari dua pegawai dan enam anggota telah menjalankan Op Tapis yang bermula jam 9 malam bagi mengesan individu yang terlibat dalam sebarang aktiviti dadah di Daerah Bau.
Katanya, tangkapan pertama melibatkan suspek berusia 33 tahun, berhampiran hotel bajet di pekan kecil Jambusan.
Beliau berkata, suspek berkenaan telah diperiksa dan tidak menemukan sebarang bahan dadah berbahaya.
“Sementara, tangkapan kedua di pekan Bau, suspek, 28 tahun. Ketika ditahan, suspek memberikan pelbagai alasan untuk mengelak ditangkap.
“Kedua-dua lelaki berkenaan dibawa ke Pejabat Narkotik IPD Bau untuk menjalani ujian saringan awal air kencing dan keduanya dikesan positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tersebut bergiat aktif dalam pengambilan dadah atas pengaruh rakan dan dadah yang diperolehi dibeli melalui rakan lain.
Tambahnya, kedua-dua suspek cuba mengelak daripada disiasat manakala semakan rekod mendapati kedua-dua mempunyai kesalahan lampau.
Beliau berkata, kedua-dua suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Poge berkata, pasukan operasi telah membuat pemeriksaan di kawasan pasar Bau iaitu di sebuah kedai bistro.
“Sejurus selepas itu pasukan operasi telah pergi ke kawasan Pekan Siniawan membuat satu lagi pemeriksaan di sebuah kedai restaurant terbuka.
“Hasil kedua-dua pemeriksaan tersebut tiada tangkapan dijalankan dan tiada unsur aktiviti dadah ditemui,” jelasnya.
Katanya, pemeriksaan juga meliputi kawasan tasik biru yang terkenal dengan kawasan riadah pada waktu malam hari.
Beliau berkata, beberapa orang ramai turut diperiksa dan dinasihatkan supaya tidak berada di dalam kelompok mereka-mereka yang terjebak dengan aktiviti dadah.
Tambahnya, tiada tangkapan dibuat dikawasan tersebut.
Pemeriksaan tamat sekitar jam 12.30 malam
sarawakvoice.com/2021/10/10
|