|
Pemilik hotel diminta memastikan kakitangan masing-masing melakukan ujian saringan sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memastikan mereka bebas COVID-19.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun, berkata perkara itu penting dalam memastikan keselamatan orang ramai terpelihara dan dapat menginap di hotel yang bebas daripada virus itu.
"Bagi ahli-ahli kami yang terbabit dalam industri perhotelan, saya sarankan agar mereka menyaring pekerja-pekerja dengan saringan kendiri sekurang-kurangnya seminggu sekali.
"Ini juga diguna pakai bagi semua penggiat pelancongan yang berdepan dengan orang ramai, bagi memastikan tempat penginapan dan lokasi pelancongan mereka bebas COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan atas kebenaran merentas negeri mulai esok yang diumumkan Perdana Menteri, hari ini.
"Syabas juga kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang bertungkus lumus mahu menghidupkan kembali industri pelancongan negara.
"MATA memandang inilah peluang bagi penggiat industri pelancongan bernafas kembali setelah lebih dua tahun lumpuh akibat pandemik COVID-19," katanya.
Justeru, katanya beliau yakin hotel dan pelancongan di bawah MATA akan mula beroperasi kembali seperti biasa esok dengan norma baharu serta mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Mengulas mengenai program MyTravelPass, Mohd Khalid berkata pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkannya kerana ia menyulitkan pengembara rakyat Malaysia yang mahu ke luar negara atas urusan perniagaan, pengajian dan sebagainya.
"MATA juga ingin menyarankan orang ramai untuk melakukan ujian saringan kendiri COVID-19 sebelum memulakan perjalanan sama ada dalam mahupun luar negara.
"Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, dinasihatkan untuk menangguhkan dahulu perjalanan masing-masing," katanya.
Mohd Khalid berkata berikutan segala kelonggaran yang diberikan kerajaan itu, orang ramai dituntut untuk terus mematuhi SOP selain meningkatkan penilaian kesihatan kendiri demi melindungi semua pihak.
credit
|
|