|
Oleh : SHANIKA ABDULLATIB
Santapan warisan bangsa ke persada antarabangsa
BUKAN sekadar popular, keistimewaan dan kepercayaan masyakat terhadap sesuatu makanan dapat ditonjokan menerusi masakan. – Gambar hiasan
SEJAK zaman berzaman, makanan tradisi telah lama menjadi identiti sesuatu kaum kerana keistimewaannya. Daripada lauk-pauk, kuih-muih hinggalah makanan pembuka selera, ia turut merentasi budaya dan bangsa di negara ini.
"Setiap kaum mewarisi makanan turun temurun masing-masing. Malah cara penyediaan yang kadangkala unik turut menambah 'perisa' masakan tersebut," ujar Pengarah Bahagian Warisan Seni Budaya, Siri Neng Buah.
Justeru, pengisytiharan 100 makanan sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara pada Disember lalu cukup signifikan dalam membudayakan masyarakat terhadap satu lagi warisan negara.
Jelas Siri lagi, pihaknya tidak mahu keistimewaan sesuatu masakan yang diwarisi oleh bangsa tertentu, hilang begitu sahaja terdedah kepada makanan barat.
"Antara kriteria utama pemilihan makanan tersebut ialah semua agama, kaum dan bangsa di Malaysia ini boleh menikmati makanan tersebut.
"Ini secara tidak langsung perkongsian terhadap makanan itu tidak hanya berlaku semasa perayaan," katanya.
Malahan, makanan tersebut juga menonjolkan populariti masakan tersebut dalam masyarakat Malaysia yang muhibah.
"Contohnya sate, nasi lemak, kuih bakul serta cendol. Semuanya dinikmati oleh semua kaum. Malah kemahiran penyediaannya juga tidak terhad pada satu bangsa saja.
"Bukan sekadar itu, keistimewaan serta kepercayaan sesuatu masyarakat terhadap masakan juga menjadi antara kriteria makanan itu dipilih. Sebagai contoh, bubur pedas Sarawak yang dikatakan bagus untuk memulihkan demam," katanya.
Lebih menarik, makanan warisan ini bukan saja dimasak dan dimakan oleh rakyat tempatan malah telah melangkaui sempadan antarabangsa.
Dan tidak lama lagi, pelbagai masakan tradisional terpilih akan menjadi santapan pegawai tertinggi di pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
"Respons yang cukup menakjubkan diterima apabila kami menyediakan makanan tengah hari buat pegawai asing Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris.
"Malah ada yang ternanti-nanti hidangan seperti kuih muih dan bubur," jelas Siri.
Mengimbau pula pengalaman pakar masakan terkenal negara, nyatanya naskhah-naskhah masakan warisan ini harus terus dipelihara.
"Bukan sekali tetapi lapan kali saya mencuba resipi kuih tukil sebelum ia menjadi," seloroh chef selebriti terkenal, Norzailina Nordin ketika dihubungi.
Ujarnya, teknik, resipi serta acuan yang digunakan dahulu cukup unik. Malah ada antaranya tidak wujud lagi pada masa sekarang terutamanya melibatkan masakan pribumi.
Cerita Norzailina lagi, pengalamannya sendiri dalam menyediakan masakan tradisi seperti baulu, wajik, rendang dan pelbagai jenis gulai menyedarkan dia mengenai pelbagai nilai di sebalik setiap ramuan yang digunakan.
"Biarpun banyak makanan tradisional telah dikomersialkan, saya yakin masih ramai yang tetap mencari resipi asal bagi sesuatu masakan. Ini kerana kesedapannya cukup berbeza," jelas Norzailina. yang berpengalaman sebagai tukang masak selama 16 tahun.
Beliau yang menggemari wajik menjelaskan, masakan warisan bangsa ini selamanya tidak akan jemu dijamah dan dihidangkan.
"ergilah ke majlis mana pun, pasti anda akan menjumpai paling tidak sambal belacan," ujarnya bersahaja dan yakin, masakan warisan ini tidak akan pupus.
---------------
aku paling suka makan apom lenggang. belah² utara bnyak jual. sedapnya kalau makan panas² ngan ayaq kopi..
[ Last edited by selipar_hijau at 13-1-2009 11:31 AM ] |
|