View: 24038|Reply: 14
|
Berita Pancing Dunia Dan Tempatan ...
[Copy link]
|
|
Boleh paste kat sini berita2 dunia atau tempatan berkaitan pancing. |
|
|
|
|
|
|
|
Pangkalan Kempas pusat 50 lubuk
Oleh Osman Lisut
JETI Sungai Kempas menjadi tumpuan kaki pancing.
KUALA LUMPUR: Sebut saja udang galah (Macrobrachium rosenbergii), pasti kaki pancing akan terbayang beberapa lokasi menarik di sungai utama yang menjadi lubuk si sepit biru itu. Antaranya Bukit Kepong di Sungai Muar, Kedaik (Sungai Rompin), Kampung Kuantan (Kuala Selangor), Teluk Intan (Sungai Perak) dan lain-lain.
Bagaimanapun tidak dinafikan Sungai Kempas dan Sungai Timun di Port Dickson turut menjadi kunjungan kaki pancing dalam memburu udang galah. Malah, rata-rata pemancing yang pernah ke situ mengakui udang galah di kedua-dua sungai berkenaan adalah antara terbaik.
Untuk mendapatkan tangkapan lumayan, pemancing disarankan memancing di atas bot. Ini memudahkan mereka bergerak dan mencari lubuk sesuai. Berbanding memancing di atas tebing sungai, ia adalah terhad dan pemancing tidak merasai pengalaman sebenar.
Bagi mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Sungai Kempas, terdapat sebuah jeti di hadapan Pekan Pangkalan Kempas sebagai kemudahan penduduk tempatan, nelayan dan kaki pancing mencari rezeki. Jeti kayu bertiang batu konkrit itu dibina lebih daripada 10 tahun lalu oleh kerajaan negeri bagi merangsangkan ekonomi penduduk setempat.
Bagi pengusaha bot, Ah Lam, dulu terdapat sebuah jeti kayu dibina penduduk tetapi roboh akibat dipukul arus deras Sungai Kempas terutama musim tengkujuh apabila air naik hingga ke tebing sungai.
“Jeti inilah yang menjadi sumber pendapatan kami bagi menyewa bot kepada pemancing dengan kadar RM15 sehari bagi bot gentian kaca sepanjang 13 kaki dan RM25 (19 kaki). Selain memancing, beberapa pengusaha lain turut menyewa bot untuk orang ramai bersiar-siar melihat hutan bakau serta alam semula jadi di sepanjang kedua-dua sungai itu.
“Saya difahamkan orang bandar (Kuala Lumpur, Selangor dan Singapura) selalu datang ke sini untuk melihat keindahan kerlipan kunang-kunang kepada pelancong di Sungai Timun. Kebiasaannya mereka naik bot waktu senja dan pulang tiga atau empat jam kemudian. Ada juga datang mahu tengok buaya,” katanya.
Kehadiran kaki pancing di sini ialah untuk menduga kira-kira 50 lubuk menarik yang dihuni udang galah di sepanjang Sungai Kempas iaitu yang menganjur tiga kilometer ke selatan dari jeti Pangkalan Kempas sehingga ke simpang tiga ke Sungai Timun dan dua kilometer ke utara.
Antaranya ialah lubuk Datuk Keramat yang dikatakan menjadi lokasi kemestian kaki pancing untuk menambat bot bagi mencuba nasib. Kebiasaannya selepas lima atau enam ekor udang galah besar dinaikkan, sang bedal akan muncul tidak jauh daripada bot dan pemancing yang memahaminya akan meninggalkan lubuk berkenaan.
Hendak memancing di Sungai Kempas perlu mengetahui keadaan cuaca dan jangan sesekali turun ke sungai sekiranya Bandar
Seremban hujan kerana air yang mengalir akan masuk ke sungai itu. Air yang membawa lumpur menyebabkan sungai berkeladak serta sejuk. Akibatnya udang galah lebih suka bersembunyi di sarang.
Selain udang galah, ikan baung dan belukang turut menghuni sungai berkenaan. Sekiranya air pasang pemancing turut memperoleh gelama.
Mereka yang ingin memancing di Sungai Kempas boleh menghubungi Ah Lam: 019-3954606. |
|
|
|
|
|
|
|
Semilang Sungai Lukut pilih udang pasar
Oleh Zahari Jaafar
LUKUT: Tepat jam 11.30 pagi, penulis menerima pesanan SMS daripada Ardy yang memberitahu beliau bersama Farid dan Wak Jamil hendak memancing di Lukut, Negeri Sembilan. Pada mulanya penulis tidak mengindahkannya tetapi beliau kemudian menelefon dan beriya-iya mengajak ke sana.
Beliau yang tinggal di kawasan perumahan yang sama dengan penulis di Taman Bangi 3, seberapa daya memujuk supaya mengikuti beliau memancing. Penulis tidak begitu teruja kerana tarikh yang dimaksudkan adalah 15 Zulhijjah dan ini bermakna masa itu air pasang besar. Namun atas dasar persahabatan dan cuti umum sempena Hari Krismas, penulis pun bersetuju.
Walaupun air pasang, ikan semilang tetap boleh dipancing berbanding ikan lain. Sebenarnya Ady ialah Pengerusi Sawit Anglers Team.
Jam 7 pagi Ady sudah terpacak di hadapan rumah dengan keretanya. Turut serta ialah Wak Jamil. Kereta segera dipandu menuju ke rumah Farid di Seksyen 2, Bangi.
Sebelum ke Lukut, kami singgah di pasar segar membeli udang sebagai umpan kerana bekalan umpun-umpun hanya boleh dibeli seawal jam 1 tengahari.
Ketiadaan umpun-umpun menyebabkan kami sedikit resah kerana merasakan peluang menaikkan ikan menjadi sukar. Namun kami optimis dengan udang yang kami bawa tetap mampu memujuk mangsa memakannya. Hampir satu jam perjalanan, kami akhirnya tiba di jeti Lukut.
Pemilik bot segera menyambut kami. Segala barangan diangkut ke dalam bot. Air pasang memenuhi tebing memudahkan kami bergerak ke dalam bot. Farid bertindak sebagai jurumudi manakala Wak Jamil dengan rela hati menjadi penarik sauh.
Terdapat beberapa bot lain di sepanjang laluan kami yang turut sama mencuba nasib. Sepuluh minit kemudian, kami tiba di cabang tiga sungai. Sauh segera dilabuhkan oleh Wak Jamil. Masing-masing segera melabuhkan umpan ketika air bergerak deras sehingga menghanyutkan ladung.
Kami terus bergerak jauh ke dalam anak sungai. Apabila tiba di satu lokasi yang kelihatan menarik, sauh segera dilabuhkan. Air masih bergerak deras dan turut membawa sampah sarap.
Ady menyentap joran beliau apabila hujungnya bergerak-gerak ditarik ikan. Seekor ketuka dinaikkan sebagai rezeki membuka tirai sesi memancing. Selang beberapa minit, Farid menaikkan seekor gelama tetapi segera dilepaskan semula kerana saiznya tidak mengizinkan untuk dijadikan lauk. Lama menanti ikan seolah-olah tidak sudi menjamah umpan yang disediakan. Kami mengambil keputusan berpindah lubuk.
Kawasan teluk menjadi lokasi pilihan. Air di situ kelihatan air agak. Di lubuk baru ini, Ady sekali lagi membuka sesi memancing apabila berjaya menaikkan seekor semilang. Ketika mengambil gambar beliau, joran penulis pula bergerak-gerak. Penulis segera disentap dan seekor lagi ikan sembilang dinaikkan. Kemudian kami tidak menang tangan menaikkan semilang. Wak Jamil berjaya menaikkan seekor semilang karang yang agak sukar ditemui. Ia sedikit berbeza dengan semilang biasa iaitu mempunyai dua jalur putih di badannya manakala kepalanya agak bulat.
Sebaik saja sembilang dinaikkan, sengatnya hendaklah segera dibuang untuk mengelakkan terkena tangan. Menjelang tengahari, kami kembali semula ke jeti untuk mengambil umpun-umpun yang dijanjikan. Kami sekali lagi kembali ke lokasi berteluk terdahulu. Farid terlebih dulu menaikkan seekor semilang yang memakan umpun-umpun. Sekali lagi kami diserang kumpulan semilang apabila umpan terus dimakan sebaik mencecah dasar. Ini mungkin disebabkan ketika itu air bergerak pasang maka ikan begitu galak memakan umpan.
Nampaknya saiz ikan semilang di sebelah petang lebih besar berbanding di sebelah pagi. Walaupun umpun-umpun digunakan tetapi nampaknya semilang lebih berminat dengan udang pasar.
Apabila air sudah mula memenuhi tebing, ikan semakin kurang memakan umpan. Walaupun masa memancing singkat ketika waktu air pasang besar, namun kami masih mampu menaikkan 42 ekor ikan sembilang. Selain itu, ikan gelama, tetanda dan gerut-gerut turut tumpas.
Kesimpulannya, walaupun air pasang besar kita tetap boleh memancing dan meraih hasil lumayan sekiranya kita tahu membaca pergerakan air dan mencari lokasi yang sesuai.
TIP
UMPUN-UMPUN (perumpun) adalah umpan terbaik memancing ikan di muara yang dasarnya berselut. |
|
|
|
|
|
|
|
Hafiz kecil-kecil cili padi
Oleh Tamizan Abd Karim
PELABUHAN KELANG: Tangisan di saat akhir memberikan lampu hijau buat adik Mohamad Hafiz apabila bapanya terpaksa mengalah bagi membenarkan beliau turut serta dalam trip ke Selat Melaka. Memandangkan lubuk yang dilawati di tengah Selat Melaka kawasan laluan kapal dagang, bapanya tidak menggalakkan beliau turut serta kerana faktor keselamatan dan keselesaan.
Penulis bersama Kamal dan dua lagi termasuk Hafiz bergerak ke lokasi dengan sampan gentian kaca berenjin 60 kuasa kuda. Ini kali kedua kami berkunjung ke lokasi yang sama dalam masa dua minggu. Trip terdahulu lima ekor ikan jenahak ditewaskan dan kali ini berazam untuk menambah jumlah hasil tangkapan berdasarkan persiapan lebih rapi.
Perjalanan mengambil masa 50 minit untuk sampai di lokasi. Sementara menunggu malam, kami memancing menggunakan umpan sotong kurita dan hirisan ikan. Petang itu ombak agak kuat dan langit mendung disusuli tompok awan hitam. Tanpa menghiraukan persekitaran aktiviti memancing di lakukan seperti biasa. Hafiz yang berada di tengah sampan memancing menggunakan kekili Abu Ambasseduer 7000C milik bapanya.
Selepas 20 minit berlalu penulis terlebih dulu menerima sentapan. Umpan sotong kurita berjaya memperdayakan seekor jenahak skala 2 kilogram. Selepas ikan pertama naik, tidak banyak aksi berlaku sehingga menjelang tengah malam.
Hafiz kemudiannya menukar taktik daripada memancing dasar kepada mencandat sotong. Mencandat adalah acara tumpuan beliau kerana ianya lebih seronok dan tak perlu hulur tali lebih jauh. Sotong yang dicandat Hafiz dijadikan umpan untuk memancing dasar.
Umpan sotong segar menjadi kelebihan apabila bermula daripada saat itu satu-persatu kami menerima sentapan. Apabila gian melihat kami bertarung, Hafiz sekali sekala turut berhempas pulas menarik ikan jenahak dari dasar yang kedalaman lebih 65 meter tanpa bantuan kami.
”Hafiz pun dapat jugak,” katanya berseloroh sebaik saja jenahak 3 kilogram timbul di permukaan. Malah kerana kerajinan beliau mencandat sotong bekalan umpan segar di malam itu terjamin hingga pagi. Seawal pagi kami masing-masing keletihan melayan serangan ikan yang hampir 15 ekor kesemuanya tidak termasuk yang putus dan terlucut di pertengahan jalan semasa bertarung.
Selain jenahak, merah, gegerut dan pari ikan talang turut sama menghentam umpan sotong yang dilabuhkan di dasar. Seekor pari anggaran belasan kilogram dibiarkan putus sebaik saja timbul di permukaan kerana ia terlalu agresif dan merbahaya mengendalikan ia di saat itu. Kali pertama kami memperolehi talang ketika memancing dasar.
Keesokannya pula kami terus memancing sambil menghabiskan bekalan umpan yang dibawa. Tinggal beberapa ekor bakal digunakan untuk memancing di siang hari pula. Sambil tidur-tidur ayam kami hulurkan seekor sotong untuk setiap joran. Manakala Hafiz yang semalaman berjaga kelihatan terlena di haluan sampan.
Sejam sebelum mengakhiri trip, sekali lagi penulis menerima 2 kejutan sekali gus. Kedua-dua joran melentur serentak. Mohamand Amirul datang membantu menangani satu joran lagi. Selepas kami berdua berhempas pulas bertarung akhirnya muncul 2 ekor jenahak berskala 5 kilo dan 3.5 kilo setiap satu.
Ikan yang mengelumpur di lantai sampan mengejutkan Hafiz yang lena sambil tersenyum memandang kami. Memang lasak dan semangatnya kental ketika mengharungi aktiviti memancing yang begitu mencabar di kawasan yang sentiasa beralun ini. |
|
|
|
|
|
|
|
Temalian gergasi menyerah kalah waktu malam
Oleh Osman Lisut
Shaari memapah temalian seberat 20 kilogram dari Sungai Pahang, baru-baru ini.
TEMERLOH: Kisah seekor temoleh gergasi atau temalian (Probarbus jullieni) seberat 33 kilogram yang tewas di tangan seorang pemancing, Mahusin Tan, tahun lalu masih subur dalam ingatan penduduk Kampung Tanjung Kubu dekat Kuala Krau, di sini.
Justeru, tidak hairan musim tengkujuh kali ini memang dinantikan dengan harapan akan tercipta satu lagi peristiwa besar menewaskan temalian gergasi.
Bagi Shaari Ariffin, yang turut membantu Mahusin menaikkan ikan berkenaan, nyata terbakar semangatnya dan ketibaan tengkujuh tahun ini seakan-akan memberi tuah kepadanya apabila spesies sama tewas kepadanya. Walaupun beratnya hanya 30 kilogram, ia sudah cukup membuatkan beliau cemas melayan penghuni Sungai Pahang itu.
Rakannya, Said Kamal Shah, berkata Shaari langsung tidak menduga dapat menaikkan ikan berkenaan kerana pada awalnya sasaran mereka ialah hendak memancing ikan patin di tepi sangkar ternakan milik penduduk kampung Tanjung Kubu.
“Dalam kegelapan malam itu, Shaari dan beberapa rakan lain begitu asyik memegang joran masing-masing dengan mengharapkan ada mangsa di bawah dasar sungai di tepi sangkar meragut umpan perut ayam. Tambahan pula, kawasan berkenaan sering menjadi tumpuan ikan liar yang memakan sisa makanan ikan dalam sangkar.
“Berbekalkan loceng yang dipasang pada hujung joran D.A.M. tiba-tiba ia berbunyi kuat. Dengan serta merta juga tali berkekuatan 50 paun keluar laju daripada kekili Shimano. Tanpa berlengah, Shaari terus menyambar dan berlaku adegan tarik menarik antara beliau dengan mangsa,” katanya ketika dihubungi JORAN.
Kata Said Kamal, menyedari mangsa bukan calang-calang dan rasa tarikan datangnya daripada ikan bersaiz besar, Shaari menjerit kepadanya untuk membantu menarik bot gentian kaca bagi membolehkan beliau mengikut arah tuju larian mangsa yang belum diketahui spesies.
“Kami ditarik hampir 500 meter dari sangkar ikan ke hulu sungai. Pergerakan menentang arus air Sungai Pahang itu bagai tidak menjadi masalah kepada mangsa untuk mengheret bot gentian kaca itu dan Shaari terpaksa berhati-hati. Pengalamannya membantu Mahusin digunakan sebaik mungkin untuk melemahkan mangsa.
“Dengan bantuan lampu suluh, ikan berkenaan akhirnya dapat dibawa berhampiran bot dan ditarik naik. Apabila sampai di sangkar, ikan berkenaan dikerumuni orang ramai untuk melihatnya lebih dekat lagi. Apabila ditimbang, beratnya 30 kilogram mengatasi tangkapan lalu iaitu 22 kilogram,” katanya.
Tangkapan berkenaan turut menyamai rekod seekor ikan yang sama seberat 30 kilogram ditumpaskan seorang pemancing tempatan selepas pertarungan aksi berat selama empat jam, iaitu beberapa minggu sebelum Mahusin dan Shaari menaikkan temoleh gergasi seberat 22 kilogram itu.
Said berkata, dalam nyawa-nyawa ikan, Shaari membawa temalian berkenaan kepada pekan Kuala Krau dan dijual kepada seorang peraih.
Menurut Said lagi, kebiasaannya temalian akan mudik ke hilir sungai apabila air besar terutama pada musim tengkujuh dan dikatakan sering singgah di tepi sangkar yang diusahakan penduduk kampung untuk mencari sisa makanan ikan ternakan.
Fakta Temalian
# Dikenali sebagai Jullien's Golden Carp
# Nama lain ialah kap sungai gergasi, ikan minnow
# Berwarna coklat keemasan.
# Mudah dikenali kerana terdapat tujuh jalur di badannya.
# Disenaraikan spesies yang dilindungi di Kemboja ,Laos, Malaysia, Thailand, Vietnam. |
|
|
|
|
|
|
|
Berita Umum : Buru cermin di karang celah pulau | |
MERSING: Perairan di sini ada pulau yang indah dan menjadi daya tarikan pelancong termasuk kaki pancing. Di celahan pulau itu terdapat batu karang yang menjadi sarang spesis buruan pemancing.
Penulis berpeluang mengikut rombongan yang dikemudi oleh Ah Chai sebagai tekong selain Ah Kow, Ah Foo, Mail, Ramli, Adnan dan terutama Soani yang tidak pernah mengerti mabuk laut. Itulah trip terakhir sebelum musim tengkujuh
Bot Barracuda 2 itu pantas membelah ombak menuju ke tempat yang ditanda dalam GPS. Keadaannya cukup memuaskan, lengkap dengan keperluan asas. Sejurus tiba, tekong mengarahkan umpan dihulurkan. Terdengar suara riuh apabila Ah kow mula menaikkan ikan cermin bersaiz 1 kilogram (kg). Adnan,Ramli dan Mail mula mendaratkan kerapu. Seketika kemudian, keadaan mula lengang kerana tiada lagi spesies yang meragut umpan.
Tekong memberi isyarat ikan galak meratah umpan menjelang malam. Ungkapan itu benar selepas lembayung senja lenyap dari penglihatan. Amukan ganas mula terasa.
Joran yang digenggam Soani mula melendut cantik. Wajahnya mula terpancar ceria sambil mengepam joran yang diragut mangsa. Selama 15 minit masa dicatatkan. Kaci 5 kg didaratkan. Ah Kow dan Ah Foo berselang seli melayan cermin dan sagai.
Kedengaran jeritan di belakang bot. Adnan melayan kerenah pari yang enggan mengalah. Jorannya gagal dipam pada peringkat awal. Dia hanya dapat bertahan dan terpaksa melepaskan tali apabila menerima asakan padu. Kira-kira 30 minit kemudian, pari hampir 20 kg didaratkan.
Tiba giliran penulis menerima sentapan ganas. Joran melentur cantik sambil kekili menjerit nyaring laju memuntahkan tali sulam keluar dari gelendung.
Kami meneka spesies yang membelasah umpan yang dilabuhkan. Tali sulam berkekuatan 30 paun tidak diyakini dapat bertahan namun penulis tetap bertawakal kerana perambut 60 paun disambung dengan sejengkal wayar kabel dan berumpankan sotong segar. Hampir 20 minit masa berlalu, barulah si jemuduk muncul di permukaan laut.
Rasanya ingin menjerit sekuat hati kerana terlalu ceria hingga tidak ada perkataan yang sesuai untuk diungkapkan. Keadaan tenang seketika, tiba-tiba Mail riuh dengan kaci seberat 3 kg. Giliran tekong menunjukkan kemahiran dengan menundukkan seekor lagi jemuduk seberat 12 kg setelah melayan hampir 15 minit. Kekuatan tali yang tinggi menolongnya memendekkan masa berjuang dengan spesies itu.
Trip hampir berakhir, namun nasib menyebelahi Mail apabila beliau dipaksa berjuang menentang haruan tasik yang sememangnya diketahui ganas dengan berumpan anak selar hidup. Umpan disambar ganas dan dipaksa berjuang hampir 30 minit untuk menaikkan haruan tasik seberat 18 kg.
Trip kali ini berjaya menaikkan spesies kasar yang kami tidak menduga sama sekali. Oleh itu jangan kita sesekali memperlekehkan tempat yang belum kita ketahui bisanya.
ihsan daripada Joran
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Hadiah juara RM28,000 tunai Hadiah juara RM28,000 tunai
Pertandingan memancing anjuran Team Tuna Biru dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang ini menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai sebanyak RM54,000.
IKAN keli hanya diletakkan dalam kategori khas pada pertandingan kali ini. - Gambar hiasan
CABARAN memancing di Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi menjadi pembuka tirai tahun baru 2009. Seperti tahun sebelumnya, acara ini diadakan khusus untuk kaki pancing berhimpun untuk 'memanaskan badan' setelah selesai segala urusan musim persekolahan yang baru bermula pada awal tahun ini.
Bagi kaki pancing, biasanya mereka tidak memilih kedudukan lokasi, asalkan dapat memenuhi minat atau hobi mereka dalam aktiviti tersebut. Justeru itu, pastinya mereka tidak mahu melepaskan tarikh keramat pertandingan ini yang akan diadakan pada 25 Januari 2009 (Ahad) bermula pukul 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari selama empat jam.
Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM28,000 berserta sijil penyertaan dan hamper.
Tempat kedua menerima hadiah wang tunai RM12,000 dan ketiga RM4,000 manakala tempat keempat pula berjumlah RM2,000.
Bagi pemenang di tempat kelima hingga ke-40, mereka tidak pulang dengan tangan kosong, sebaliknya hadiah wang tunai tetap menunggu mereka.
Menurut kenyataan pihak penganjur, Aziz Safar, 44, dari Team Tuna Biru, Taman Tasik Cempaka cukup sinonim kepada penduduk Bangi untuk menjalankan aktiviti riadah ringan seperti berjoging, selain menikmati keindahan landskap dan panorama alam semula jadi yang damai.
Pada tahun lalu, di lokasi yang sama, lebih 1,200 peserta mengambil bahagian dalam acara yang sama.
Dalam pertandingan tersebut, Usop Mohd Saufi dari Serdang dinobatkan sebagai juara setelah berjaya menaikkan ikan keli seberat lima kilogram.
Tidak seperti tahun lalu, spesies ikan keli diletakkan dalam kategori khas pada tahun ini manakala ikan daripada spesies patin, pacu, tongsan dan rhu bakal menunggu joran kaki pancing untuk dinaikkan ke darat sekali gus dinobatkan sebagai juara tahun 2009.
Dengan lokasi yang strategik, tiada masalah bagi anda untuk sampai ke sini sama ada dari arah Kuala Lumpur atau Melaka. Mereka boleh melalui tol Bandar Baru Bangi atau tol Kajang sebagai panduan anda untuk ke lokasi.
Menariknya pada acara pembuka tirai tersebut, dianggarkan lebih 2,000 kaki pancing dari seluruh negara akan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Selain itu, sebanyak 500 helai baju-t telah disediakan untuk peserta yang mendaftar awal.
Dengan keluasan tasik yang boleh menampung lebih 2,000 peserta dalam satu masa, seramai 70 krew akan bertugas memantau perjalanan pertandingan tersebut.
Acara ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perwakilan Penduduk Zon 23, Bangi.
Yuran penyertaan adalah RM100 satu joran dengan dua mata sahaja dibenarkan dan umpan organ haiwan tidak dibenarkan.
Hanya ikan terberat dipertandingkan manakala spesies ikan keli hanya layak untuk kategori khas yang menawarkan hadiah juara sebanyak RM200, kedua RM100 dan ketiga RM70.
Sebanyak dua hadiah bonanza iaitu motosikal turut menunggu peserta yang bertuah.
Menurut Aziz, pertandingan kali ini bertemakan 'mesra pemancing' dan ia akan menghimpunkan semua kaki pancing termasuk menggalakkan orang ramai menjadikan memancing sebagai satu aktiviti atau hobi yang sihat.
"Peserta layak memenangi lebih daripada satu hadiah dan ini dilakukan bagi memberi kepuasan kepada para peserta yang bertanding," katanya dalam kenyataan kepada Kosmo!.
Selain itu, katanya, hampir dua tan pelbagai spesies ikan antaranya patin dan pacu akan dilepaskan pada Ahad ini (esok) untuk 'santapan' peserta kaki pancing yang akan menyertai pertandingan itu.
Menurutnya, hadiah wang tunai setiap satu jam pertandingan turut disediakan kepada para peserta yang berjaya menaikkan ikan mengikut berat yang mana, tempat pertama RM200, kedua RM100 dan ketiga RM70.
"Selepas empat jam berlalu, hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM1,480 akan menjadi habuan para pemancing yang bertuah. Hadiah ini adalah bonus kepada para pemancing, selain hadiah utama yang ditawarkan," katanya.
Apa lagi, jom pancing ke Tasik Cempaka dan lihat, siapakah bakal juara pertandingan memancing itu.
Sebarang maklumat lanjut, hubungi urus setia pertandingan di talian 016-6215641 (Paus) atau 019-2213223 (Belitung). |
|
|
|
|
|
|
|
International Game Fish Association (IGFA)
January Hot Catches
by Pete Johnson / Johnson Communications
http://newsdrive.fishingworld.co ... 8426IM_145X145.jpeg
USA\’s James River, J. Parks Rountrey, Mechanicsville, Va, landed a flathead catfish (Pylodictis olivaris) on August 27, weighing13.38 kg (29 lb 8 oz).
Photo by Courtesy IGFA
http://newsdrive.fishingworld.co ... 8427IM_145X145.jpeg
A 15 year-old IGFA all-tackle record may be broken by Medellin, Columbia angler Alejandro Linares, who landed a caranha pacu (Piaractus mesopotamicus) weighing in at 10.21 kg (22 lb 8 oz)
Photo by Courtesy IGFA
(Jan. 14, 2009 - Dania Beach, FL)... World records coordinator Rebecca Wright of the International Game Fish Association provides highlights of 11 selected documented fish catches made across the globe recently submitted for IGFA world records. All are now before the world records committee:
Fly fishing with 2 kg (4 lb) tippet on Richmond, Virginia, USA’s James River, J. Parks Rountrey, Mechanicsville, Va, landed a flathead catfish (Pylodictis olivaris) on August 27, weighing13.38 kg (29 lb 8 oz). Rountrey used a streamer fly and took 15 minutes to finesse it to the bank. He may tie the current IGFA record which was established just a month earlier on July 27, also on the James River.
A 15 year-old IGFA all-tackle record may be broken by Medellin, Columbia angler Alejandro Linares, who landed a caranha pacu (Piaractus mesopotamicus) this past September 28. He used a spinner and spent 40 minutes to land the fish weighing in at 10.21 kg (22 lb 8 oz) while fishing the boulder banks of the Rio Tarija in Bolivia. The current IGFA record is 21 lb 2 oz (9.58 kg), caught in1993 on the Parana River in Paso de la Patria, Argentina.
A day after she caught what may become an IGFA record for a Pacific jack crevalle, Kamila Hampl, Cartago, Costa Rica, guided by Capt. Bobby McGuinness, landed a mullet snapper (Lutjanus aratus) on October 14, weighing 1.75 kg (3 lb 13 oz) on women’s 2 kg (4 lb) class line. The angler and guide were fishing the waters off Golfito, CR. Like she did previously with the jack, she enticed the snapper with a live sardine and took an hour and 15 minutes to reel it in. The current IGFA women’s line class record for the mullet snapper is 2lb 12oz ( 1.27kg), caught on October 24, 2003, also off Golfito.
Dave Chermanski, Merritt Island, Fla., USA, may beat a decade old IGFA record after catching a redbreast sunfish (Lepomis auritus) fly-fishing Florida, USA’s Econlockhatchee River using 4 kg (8 lb) tippet. He landed the fish weighing .71kg (1 lb 9 oz) on a DC Gilinator fly Nov. 27. The current IGFA fly record is 1 lb 0 oz (.45 kg), caught on Sept. 30, 1998 in Leechburg, Penn., USA. |
|
|
|
|
|
|
|
Baung Lubuk Bisul hidu belacan
Oleh Nordin Misnan
SLIM RIVER: Musim hujan yang tidak menentu kebelakangan ini sama sekali tidak membataskan aktiviti kaki pancing Taman Beringin, Kepong.
Kalau sebelum ini laut sering menjadi lokasi pilihan, kini mereka beralih ke sungai dengan menjadikan baung sebagai sasaran.
Bagi Amir Beringin, Mat Segambut dan penulis sudah pasti anak sungai di Slim River, menjadi tumpuan kerana didakwa banyak terdapat ikan bermisai yang enak jika dimasak lemak cili padi itu.
Jadi, tidak hairan perjalanan dari ibu kota ke sini yang memakan masa dua setengah jam dianggap ‘alah bisa tegal biasa’. Lebih-lebih lagi, cerita rakan pemancing yang pernah ke sini dan membawa pulang hasil lumayan cukup untuk membakar semangat kami untuk memburunya.
Menjejaki baung liar tidak mudah seperti disangkakan. Kami terpaksa meredah semak samun di tepi sungai dan paling mencabar mencari lubuk sesuai. Sudah pasti di mana terdapat batang kayu tenggelam di sungai, reba pokok dan naungan rimbunan pokok menjadi pilihan baung berkampung.
Begitu juga umpan ciptaan sendiri berasaskan organ haiwan dicampur sedikit bahan masakan dari dapur pastinya memikat sang misai. Walaupun baunya amat meloyakan bagi sesetengah pemancing namun ia umpan terbaik untuk memperdaya baung.
Jika tiada berpengalaman memancing baung, pasti akan pulang dengan tangan kosong. Anda perlu mengetahui habitat selain masuk umpan, masa dan waktu paling sesuai untuk memburunya. Bagi baung Slim River lewat malam adalah paling sesuai untuk memancing. Anda juga dinasihatkan tidak membuat bising kerana ia amat sensitif.
Nyata usaha kami yang terpaksa meredah perjalanan jauh tidak sia-sia kerana lebih daripada 10 ekor baung Lubuk Bisul menyerah diri.
Bermula jam lapan malam hingga 12 tengah malam, satu demi satu umpan pada joran kami diragut baung. Amir paling bertuah kerana baung seberat 2 kilogram yang diperoleh jam 8 malam adalah tangkapan terberat dalam misi kali ini Yang lain purata 1.2 hingga 1.7 kilogram seekor.
“Woi! Aku dah dapat... kalau macam ni, lumayan tangkapan kita,” kata Amir kepada penulis yang masih sibuk mencari kedudukan yang sesuai.
“Bertuahlah... awal-awal lagi sudah dapat lesen,” kata Mat Segambut sambil mengikat mata kail.
“Mujarab juga umpan kita ni... aku ingat baung hanya suka umpan tapa, organ haiwan campur belacan pun dia bedal. Ini sudah kira bagus,” sampuk penulis.
Apabila memancing baung, anda perlu berhati-hati dan mengawasi keadaan sekeliling, terutama tebing sungai kerana kebiasaannya menjadi sarang ular sawa ataupun tedung. Jangan terlalu khayal memancing tanpa memikirkan keselamatan diri apatah lagi dalam keadaan gelap.
Semakin malam berlabuh satu-persatu kami mendaratkan ikan baung dan jam 2 pagi ia kembali sunyi.
Tip memancing baung, selepas 10 minit anda memancing di satu lubuk dan tiada tindak balas, eloklah berpindah. Kebiasaan dalam tempoh itu baung pasti menyambar umpan dan ia datang berkumpulan.
Sepanjang enam jam memancing di Lubuk Bisul, masing-masing memperoleh lima atau enam ekor baung antara 1.2 hingga 2 kilogram. Ini cukup memuaskan hati. |
|
|
|
|
|
|
|
Perodua Nautica, Viva tunggu jagoan GP 2009
Oleh Osman Lisut dan Helmi Hamzah
SEBUAH Perodua Nautica dan Perodua Viva, bakal dimiliki masing-masing juara Kategori Laut serta Kategori Pantai, tahun depan.
KUALA LUMPUR: Sebuah Perodua Nautica dan satu lagi Perodua Viva, itulah yang bakal dipandu pulang masing-masing juara Kategori Laut serta Kategori Pantai bagi siri GP Joran 2009.
Nilai seunit Nautica di atas jalan ialah RM89,900 manakala RM40,200. Habuan ini pasti berbaloi untuk peminat setia dan peserta baru GP Joran 2009 yang juga bakal dianjurkan dengan skala kemeriahan berbeza - lebih besar, lebih banyak penaja serta lebih menghiburkan.
Pembabitan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) selaku penaja utama untuk tahun kelima berturut-turut itu diumumkan oleh Pengarah Urusannya, Datuk Syed Hafiz Abu Bakar, selepas menyerahkan dua unit Perodua Viva kepada juara GP Joran 2008 masing-masing Husin Awang (Kategori Laut) dan Zuraidi Mohamad (Kategori Pantai) di Balai Berita di sini, Selasa lalu.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mustapa Omar; Pengarang Eksekutif (Berita) Berita Harian, Mahfar Ali; dan Pengarang Joran/Projek Khas, Kamal Ahmad.
Setakat ini, Perodua sudah menaja empat Kembara dan empat unit lagi Viva sejak muncul sebagai penaja utama mulai 2005.
Kenderaan pacuan empat roda, Perodua Nautica sesuai digandingkan dengan aktiviti luar termasuk memancing yang memerlukan ruangan luas untuk membawa peralatan seperti tong ikan, joran, khemah serta perkakasan lain. Malah aksesori tambahan boleh dipasang di atas bumbung untuk mengusung bot gentian kaca.
Kenderaan terbaru keluaran Perodua itu cukup lasak untuk membawa pemancing meredah kawasan semak atau pantai mahupun laluan belukar dan ‘off-road’ lain.
Nautica digerakkan enjin 1500cc. Ia sudah pasti memberi pengalaman baru untuk mereka yang mengharapkan pemanduan yang selesa apabila mengharungi laluan selain jalan normal.
Perodua Viva pula model gantian bagi Kancil dan Kelisa membawa maksud ‘cantik
dipandang sepanjang hayat’. Ia didatangkan dalam tiga kapasiti enjin iaitu 660cc dan 850cc untuk enjin transmisi manual, manakala varian 1,000cc didatangkan dalam transmisi manual serta automatik.
Ketiga-tiga varian enjin itu dipadankan dengan aci sesondol berkembar (DOHC), Injap Boleh Ubah Berjujukan Dinamik (DVVT) dan suntikan bahan api elektronik (EFi) sekali gus menawarkan prestasi enjin lebih baik serta penjimatan minyak.
Syed Hafiz berkata, penajaan Nautica dan Viva itu sokongan Perodua dalam mempromosi aktiviti sihat yang berteraskan pelancongan kembara serta menjadi pemangkin kepada orang ramai bagi menyertai siri GP Joran 2009.
“Ia adalah satu aktiviti dan hobi yang sihat serta bersih yang dapat mengumpulkan ramai orang dari serata tempat selain menjadi tempat mereka bertukar-tukar pandangan. Saya melihat usaha Berita Harian bagi menganjurkan pertandingan berkenaan amat menggalakkan dan Perodua tidak ada sebab untuk tidak terus memberi sokongan.
“Ia juga adalah kesinambungan kerjasama syarikat kami (Perodua) dengan Berita Harian terhadap penganjuran aktiviti luar seperti pertandingan memancing GP Joran,” katanya
Sementara itu, Anthony Firdauz berkata, Berita Harian bercadang membesarkan skala penganjuran GP Joran tahun depan dengan bakal menyaksikan pembabitan lebih banyak syarikat bagi menaja pertandingan memancing berprestij itu.
“Nama GP Joran itu sendiri sangat kukuh di pasaran dan pastinya karnival GP Joran yang turut dimeriahkan dengan pelbagai hiburan artis popular, jualan dan promosi oleh syarikat penaja serta pelbagai acara yang mampu menarik kehadiran ratusan ribu pengunjung.
“Sebagai permulaan pada tahun depan, kita mensasar untuk mendapatkan penajaan berjumlah RM3 juta. Selain membawa pertandingan ini ke bandar kecil dan menganjurkan aktiviti pantai lain yang difikirkan sesuai untuk menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
SPESIFIKASI
Perodua Nautica
# Enjin: 4 silinder selari DOHC DVVT 1,495cc.
# Kuasa maksimum: 107.3hp @ 6,000rpm.
# Tork maksimum: 141Nm @ 4,400rpm.
# Transmisi: 4-kelajuan auto 4WD.
# Ciri keselamatan: ABS, EBD, beg udara.
# Harga: RM89,900 atas jalan dengan insurans.
Perodua Viva 1.0L EZ
# Enjin: EJ-VE 989cc 3 silinder DOHC 12 injap DVVT.
# Kuasa maksimum: 61hp @ 6000rpm.
# Tork maksimum: 90Nm @ 3600rpm.
# Transmisi: 4 AT (Automatik).
# Ciri keselamatan: ABS, EBD dan dua beg udara.
# Harga: RM40,200.00 atas jalan dengan insurans. |
|
|
|
|
|
|
|
Mengilat sebarau di taman larangan
Oleh Osman Lisut
ARAFIN melepaskan semula seekor sebarau ke habitat asal.
KUALA TAHAN: Menyusuri Sungai Tahan dengan bot panjang sambil menikmati keindahan serta kehijauan flora dan fauna sungguh mengasyikkan. Sesekali kedengaran kemerduan kicauan murai batu dan tiong emas, begitu menghiburkan.
Bagaimanapun, Arafin Jahar, Karim Janggut, penulis dan Pengurus Golden Mahseer, Roslan Abu Kassim, tersentak apabila deretan sembilan ekor sebarau melompat di hadapan bot menyambar seluang serta serangga yang jatuh dari pokok.
“Wah! Sebarau ni macam mencabar aku,” kata Arafin yang sudah siap sedia dengan gewang sesudu untuk mengilat sang sebarau (Hampala macrolepidota).
Beliau terus melontar gewang ke arah kumpulan sebarau berkenaan tetapi tidak menunjukkan sebarang reaksi hingga menyebabkannya hilang sabar.
“Memilih pulak,” katanya. Roslan yang memerhati tingkah laku Arafin kemudian menegur: “Sebarau di sini tak biasa kilat kot. Ganti dengan gewang lain, pasti dia sambar.”
Menurut Roslan, Sungai Tahan memang dilarang memancing apatah lagi menangkap ikan dan membawanya keluar dari Taman Negara.
“Sungai ini kita sudah wartakan sebagai pusat perlindungan ikan kelah (Tor tambroides) sekali gus apa jua cara untuk menangkap sebarang hidupan di sini dilarang sama sekali. Kalau kita hendak merasai aksi ikan-ikan di sini, kita benarkan memancing di Lubuk Melantai tetapi ikan perlu dilepaskan semula ke sungai.
“Sesiapa yang menangkap dan cuba membunuhnya akan dikenakan tindakan Jabatan Perhilitan. Malah, namanya disenaraihitamkan memasuki Taman Negara,” katanya.
Selain kelah, lebih 30 spesies ikan mendiami sungai berkenaan yang turut menjadi penarik kepada pengunjung dalam mahupun luar negara khususnya pencinta alam.
Antaranya, jelawat sungai (Leptobarbus hoevenii), lampam sungai (Puntius schwanenfeldii), kelabau (Osteochilus melanopleura), tenggalan (Puntius bulu), tengas dan kejor (Acrossocheilus hexagonolopis), tapah (Wallago attu), kerai (Puntius daruphani), baung (Mystus spp), patin buah dan patin muncung (Pangasius spp), seluang (Rasbora trilineata), seluang badar (Rasbora heteromorpha), belida (Notopterus chitala), kap rumput (Ctenopharyngodon idellus), lais (Ompok bimaculatus) dan temoleh (Probarbus julleini).
Dalam kesibukan Roslan menerangkan pelbagai program di Sungai Tahan, Arafin menjerit apabila kilat sesudunya disambar sebarau yang beratnya kira-kira satu kilogram. Selepas mengambil gambar, ikan itu dilepaskan semula ke sungai.
“Tercapai juga hasrat aku hendak merasa aksi sebarau di sungai larangan ini,” katanya kepada penulis.
Pada masa sama, Karim Janggut begitu tekun mengarau gewang anak ikan. Bagaimanapun, dia hampa apabila tiada yang sudi menyambar walhal puluhan sebarau berenang di kawasan berdekatan.
Zap... dia terus menyentap dan selepas mengaraunya, didapati seekor seluang badar tersangkut di mata gewang lalu ditertawakan Arafin.
“Seluang badar pun jadilah... daripada langsung tidak disambar ikan,” katanya.
Dalam sibuk melihat reaksi lucu Arafin dan Karim Janggut, penulis dikejutkan dengan jeritan Roslan apabila joran membentuk huruf C, melendut ke bawah bot.
“Kapal selam Encik Osman... kena gaya boleh putus tali pancing ni,” katanya.
“Itu ikan tapah kerana di sini saya pernah menaikkannya seekor yang beratnya 32 kilogram bagi membuktikan kepada pengunjung pada bulan lalu. Selepas diambil gambar.. dengan disaksikan orang ramai tapah itu saya lepas semula,” katanya lagi. Mangsa bagaimanapun berjaya meloloskan diri.
Selepas menghanyut bot sejauh 7 kilometer dari Lubuk Tenor, kami bergerak pulang ke jeti bagi menamatkan ekspedisi tangkap dan lepas di Sungai Tahan. Walaupun tidak memperoleh tangkapan memberangsangkan namun sudah memadai kerana masih terdapat kawasan di negara ini memiliki pelbagai spesies ikan yang dilindungi sepenuhnya.
Keterangan Golden Mahseer: 012-4832006 atau faksimili 09-2664110 atau emel: [email protected] |
|
|
|
|
|
|
|
Udang pasar pikat senohong Pulau Angsa
Oleh Zahari Jaafar
JERAM: Baru-baru ini, Ady, Wak Jamil dan Zaky sepakat untuk menguji spesies sekitar Pulau Angsa sebagai mengisi cuti hujung minggu. Mereka bertiga adalah ahli Sawit Anglers Team dari Bangi, Selangor.
Tekong memberitahu, umpan udang segar tidak dapat dicari. Ady segera mencari alternatif dengan membeli udang di pasar sebelum bertolak ke sana. Dua kilogram udang putih sebesar jari telunjuk dibeli sebagai umpan.
“Kalau ada rezeki, kita tetap dapat menaikkan ikan walaupun menggunakan umpan udang pasar,” kata Ady menenangkan Wak Jamil dan Zaky yang sedikit resah kerana ketiadaan udang segar.
Sampan dengan enjin sangkut 30 kuasa kuda memang selesa untuk empat orang. Dua puluh minit meninggalkan jeti, mereka tiba di lokasi pertama iaitu di sekitar Pulau Angsa. Tekong yang hanya dikenali dengan panggilan Kepeng segera melabuhkan sauh.
Udang pasar perlu dibuang kulitnya untuk mengeluarkan bau supaya ikan lebih tertarik memakannya. Wak Jamil terlebih dulu menunjukkan ‘aura’ apabila seekor gelama papan sebesar lima jari dinaikkan.
Zaky tidak kurang hebat apabila menaikkan senangin. Ady pula menaikkan gelama. Banyak kali juga mereka kecewa angkara ikan buntal yang cukup berminat memutuskan tali perambut. Beberapa ekor buntal dinaikkan dengan perutnya yang bulat dan segera dilepaskan semula ke laut. Hanya gelama, senangin dan ikan duri dinaikkan di sini menyebabkan tekong berpindah lubuk.
Di lubuk kedua, mempunyai kedalaman yang hampir sama dengan lubuk pertama. Udang yang dibuang kulit segera dicangkuk di mata kail. Apabila ladung mencecah dasar masing-masing sabar menanti joran disentap ikan.
Zaky mendahului rakan apabila seekor gelama pisang dinaikkan. Pada jam 10 pagi, tiba-tiba kekili Ady menjerit. Tali mencurah keluar. Beliau hanya mampu bertahan. Tali ke kiri dan ke kanan. Ikan melawan habis-habisan.
Rakan lain mengarau kekili untuk memberi laluan kepada Ady berlawan dengan ikan yang belum diketahui lagi jenisnya. Tekanan yang diberikan ternyata membuktikan ikan adalah bersaiz besar.
Beliau yang menggunakan set sederhana tetap tenang melayan mangsa. Kira-kira 15 minit bertarung, akhirnya seekor senohong seberat 5 kilogram (kg) menyerah diri. Jelas terpancar kepuasan wajah pegawai teknologi maklumat itu apabila ikan berkenaan terdampar di lantai bot.
Selang beberapa ketika giliran Wak Jamil menerima ujian. Beliau sedikit dipaksa apabila set kecil untuk memancing gelama mengena ikan yang agak besar. Namun berkat kesabaran serta pengalaman dan sokongan rakan, beliau akhirnya berjaya menaikkan seekor pari beting bersaiz 5kg.
“Syukur kerana aku berjaya juga menaikkan pari ini walaupun menggunakan joran memancing gelama,” kata Wak Jamil. Selepas beberapa kali berpindah lubuk, banyak juga ikan yang memenuhi tong mereka.
Setibanya di lubuk terakhir, masing-masing segera menurunkan umpan ke dasar. Ady terlebih dulu menjadi jaguh apabila joran aksi sederhana beliau direntap kuat oleh penghuni di dasar.
Pada mulanya ikan cuba melepaskan diri tetapi ternyata tewas juga akhirnya. Seekor selampai 1kg menjadi habuan Ady. Wak Jamil yang bersebelahan Ady juga menerima sentapan apabila jorannya membengkok dihenjut ikan.
Beberapa minit berlalu, timbul seekor selampai yang agak besar tetapi sayang bukan rezeki beliau apabila terlucut sebelum sempat disauk. Jelas terpancar wajah kecewanya sambil menepuk-nepuk dahi. Nampaknya selampai masih ada di bawah sana apabila Ady sekali lagi menaikkan spesies bertompok hitam ini yang saiznya juga mencecah 1kg.
Malang sekali lagi menimpa Wak Jamil apabila ikan yang sedang dinaikkan terlucut sekali lagi di pertengahan air. Ikan berkenaan juga dipercayai selampai kerana selepas itu tiada lagi ikan menjamah umpan kecuali ikan kecil sebagai hiburan yang layak dilepaskan semula ke laut.
Ternyata trip memancing yang singkat ini memberi kepuasan kepada mereka bertiga kerana pelbagai spesies ikan dipancing. Lebih menggembirakan, senohong yang dikatakan sukar dipancing juga berjaya dinaikkan. Ini memberi gambaran bahawa perairan di sekitar Pulau Angsa masih lagi menyimpan stok ikan gred A sekiranya tekong yang dipilih oleh pemancing mahir selok belok lubuk di sini. |
|
|
|
|
|
|
|
aku tader berita pancing nak share kt sini...saja nak tumpang baca...
tapi aku memang tabik ngan kaki pancing ni....asal je tempat tu lubuk ikan korang sanggop redah utan,berpanas berhujan semata nak memancing....
Pacat naik sampai kepala pun takper korang ye... |
|
|
|
|
|
|
|
Rezeki mewah udang galah
SUNGAI Kerian yang memisahkan Bandar Baharu dengan Kerian di Perak merupakan lubuk rezeki bagi kebanyakan penduduk Bandar Baharu tinggal di pinggir sungai itu.
Sungai yang kaya dengan spesies udang galah itu sehingga kini menjadi sumber pendapatan untuk lebih 200 orang yang memancing dan menahan bubu di situ.
Ikan kelisa emas (arowana) juga banyak terdapat di dalam Sungai Kerian yang memberi rezeki tambahan kepada nelayan.
"Sepanjang tahun lepas puratanya kami menangkap lebih 100 kilogram udang galah setiap bulan yang dijual pada harga antara RM30 hingga RM40 satu kilogram," kata Abdul Aziz Mat, pakar penangkap udang galah di Sungai Kerian sejak sedekad lalu.
Kata lelaki berusia 65 tahun itu lagi, beliau biasa mendapat tiga hingga lima kilogram udang galah setiap kali keluar memancing dari malam hingga awal pagi.
AZIZAN (kanan) sedang menimbang udang galah yang dijual oleh penangkap udang di Kampung Asam Kumbang.
Ketika ditemui di pangkalan nelayan sungai di Kampung Parit Teropong atau juga dikenali sebagai Kampung Kubu, Abdul Aziz yang terkenal di kalangan rakan-rakannya sebagai pakar pemancing udang galah, turut menggunakan bubu untuk menangkap lebih banyak udang.
"Selain udang galah, saya menggunakan bubu untuk menangkap ikan ketutu ang mendapat permintaan tinggi dan agak mahal di pasaran," katanya.
Selain itu, bubunya turut dimasuki ikan seperti tapah dan teroboi.
Menurut Abdul Aziz, masa yang sesuai untuk memancing atau memasang bubu udang galah adalah pada waktu air surut dan air sungai jernih.
Udang galah sungai katanya, lebih sedap rasanya daripada udang laut kerana itu permintaannya lebih tinggi.
Pangkalan udang
PENANGKAP udang galah di Sungai Kerian boleh mendapat hasil tangkapan sehingga lima kilogram sehari.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Berjaya, Bandar Baharu, Borhan Jaafar, 37, berkata terdapat sembilan pangkalan penangkap udang galah di pinggir Sungai Kerian.
Pangkalan itu terletak di Kampung Besar, Kampung Raja Atas, Kampung Raja Bawah, Kampung Baru Bagan Samak, Kampung Parit Nibong, Kampung Asam Kumbang, Kampung Lubuk Buntar, Kampung Selama dan Kampung Inchong.
Menurut peraih udang galah di situ, Yong Boon Woo, 37, setiap hari sepanjang bulan Disember tahun lepas hasil tangkapan udang galah agak mewah sehinggakan adakalanya pemancing boleh menjual antara 40 hingga 50 kilogram sehari kepadanya.
"Harganya bergantung kepada saiz udang galah. Bagi saiz 400 gram ke atas untuk seekor, harga borong mencecah RM40 hingga RM60 sekilogram," katanya.
Menurut Yong, udang galah yang dibelinya kebanyakannya dihantar ke Ipoh kerana terdapat banyak restoran makanan laut di sana.
Seorang lagi peraih udang galah, Azizan Hassan, 58, menjadikan rumahnya di Kampung Asam Kumbang sebagai lokasi tetap untuk membeli udang galah daripada penangkap udang di sekitar kawasan itu.
"Saya membeli antara 80 hingga 100 kilogram setiap hari daripada penangkap udang galah di Sungai Kerian," kata Azizan yang bergantung kepada rezeki udang galah untuk membesarkan 11 orang anaknya. - Bernama |
|
|
|
|
|
|
|
Kaunter pendaftaran dibuka jam 10 pagi Sabtu
KUALA LUMPUR: Kaunter pendaftaran Karnival Memancing Pra-GP Joran 2010 di Pantai Puteri, Melaka pada 28 Februari ini, akan dibuka seawal jam 10 pagi Sabtu (27 Februari) hingga jam 12 tengah malam dan bersambung keesokannya, mulai jam 5 pagi hingga masa pertandingan.
KUALA LUMPUR: Kaunter pendaftaran Karnival Memancing Pra-GP Joran 2010 di Pantai Puteri, Melaka pada 28 Februari ini, akan dibuka seawal jam 10 pagi Sabtu (27 Februari) hingga jam 12 tengah malam dan bersambung keesokannya, mulai jam 5 pagi hingga masa pertandingan.
Pada 27 Februari, pemancing yang datang membawa keluarga atau rakan-rakan boleh berkhemah di Pantai Puteri kerana pelbagai program menarik termasuk persembahan kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan dondang sayang akan diadakan di pentas utama.
Mereka yang ingin mendaftar sebagai peserta dinasihatkan membawa borang rasmi yang diperoleh dengan membeli akhbar Berita Harian dan Harian Metro. Borang pendaftaran rasmi akan disiarkan di Berita Harian mulai esok disusuli pada keluaran 16, 19, 22, 24 dan 27 Februari, manakala dalam Harian Metro pula diterbitkan pada edisi 21, 23, 25 dan 26 Februari iaitu dua hari sebelum pertandingan.
Hanya borang rasmi layak menyertai cabutan bertuah. Bagaimanapun, mereka yang tidak mempunyai borang berkenaan masih boleh bertanding dalam karnival Pra-GP Joran yang turut menyediakan 20 mata bonus.
Penganjur hanya menyediakan kira-kira 1,500 kemeja T bercetak khas dan mengamalkan konsep siapa cepat dia dapat. Setiap penyertaan dikenakan bayaran RM100 untuk satu joran.
Karnival Memancing Pra-GP Joran adalah pembuka tirai kepada empat siri pertandingan GP Joran 2010 dengan menyediakan hadiah keseluruhan RM46,500. Juara bakal membawa pulang wang tunai RM20,000 diikuti kedua RM10,000; ketiga RM5,000 dan keempat RM1,000.
Penganjur turut menyediakan wang tunai RM500 untuk tempat kelima hingga ke-10; ke-11 hingga ke-20 (RM300) dan ke-21 hingga ke-30 (RM200). Manakala tempat ke-31 hingga ke-40 bakal memenangi hamper sumbangan penaja. Sebuah motosikal Modenass Kriss dijadikan hadiah utama cabutan bertuah.
Maklumat lanjut hubungi Unit Joran di talian 03-22822323 sambungan 4240, 4241, 4242. - Oleh Zulhilmi Hat |
|
|
|
|
|
|
| |
|