Payung tunggal berwarna kuning melambangkan sistem kepimpinan beraja. Raja adalah payung mahkota tempat rakyat bernaung dan berlindung.
Latar belakang dari bawah warna biru yang semakin cerah ke atas melambangkan alam semesta ciptaan Allah Subhanahu Wataala di mana Negara Brunei Darussalam ditadirkan-Nya tergolong dalam "community of nations" dan para pemimpin memikul umanah mentadbir negara pada lunas-lunas yang diredai-Nya dengan penuh bertawakal untuk mewujudkan masa depan yang cerah.
Empat payung bersusun warna perak melambangkan kesatuan empat daerah yang dihuni oleh tujuh (7) puak jati yang selama-lamanya mendukung padu sistem kepimpinan beraja secara istiqamah demi melahirkan kemakmuran, keselamatan dan ketenteraman negara. Warna perak melambangkan tempoh 25 tahun keempat-empat daerah menikmati rahmat kemerdekaan.
Panji-panji melambangkan identiti negara yang disanjung dengan semangat patriotik yang tinggi.
Tangkai berlengkar warna putih pada tiang payung yang mendukung panji-panji melambangkan toleransi berjiran tetangga dalam lengkungan "community of nations". Warna putih melambangkan kemurnian nilai-nilai dalam kehidupan dan kesucian berugama.
Tema dalam tulisan jawi melambangkan bangsa Brunei yang mendukung kesucian ugama, menghormati warisan budaya, mengamalkan budaya bangsa yang berteraskan "Melayu Islam Beraja".
Tema dalam tulisan rumi warna merah melambangkan kedewasaan bangsa Brunei dengan semangat cekal bersaing di arena antarabangsa dalam pelbagai sumber kehidupan demi survival bangsa dan negara.
Logo berbentuk empat segi tidak bersempadan pada sebelah kanan melambangkan negara terdedah kepada globalisasi dan kedewasaan bangsa Brunei menghadapinya bersandarkan pada tafsiran-tafsiran pada keseluruhan logo.
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Persembahan Tema Kedewasaan Bernegara yang terbahagi kepada enam segmen ketika Upacara Perhimpunan Agung sempena sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan 2009 pada 23 Februari nanti akan melibatkan 4,900 peserta.
Mereka yang mewakili pelbagai sektor dalam masyarakat termasuk pelajar sekolah itu akan menterjemahkan inti pati tema Kedewasaan Bernegara dalam bentuk grafik manusia dan gerak kreatif dengan iringan gabungan muzik dari pelbagai rentak irama hasil pemikiran dari "Tim Kreatif" sambutan berkenaan.
Dalam segmen pertama peserta akan membentuk "Keris Si Naga" sambil memaparkan gerak kreatif secara simbolik melambangkan kewujudan sebuah kerajaan Negara Melayu Islam Beraja yang diwarisi secara turun temurun.
Kemudian di segmen kedua peserta mengolah bentuk "Kalasak dan Kampilan" yang melambangkan 'Pertahanan' bagi menjelaskan Brunei sehingga hari ini dan untuk selama-lamanya akan tetap kekal dengan institusi Beraja dengan sistem pemerintahan secara 'Tradisi'.
"Kalasak" (sejenis utap) dan "Kampilan" (sejenis pedang) adalah sebahagian daripada alat kebesaran diraja yang dibawa oleh Penglima Asgar atau Perwira Raja ketika mengiringi Sultan dan Pengiran Muda Mahkota berangkat ke majlis beristiadat.
Ketika segmen ketiga, "Kitab Terbuka" pula dibentuk bagi melambangkan perkembangan pendidikan melalui "Kitab" khususnya al-Quran yang menjadi ilmu pendidikan lengkap bagi seluruh insan sama ada dalam pendidikan rohani atau jasmani sebagaimana usaha kerajaan ke arah menjadikan Brunei sebagai sebuah Negara Zikir.
Segmen keempat, "Gear, Bunga Padi dan Api" pula memberikan perlambangan kepada perkembangan ekonomi Negara iaitu "Gear" sebagai antara komponen utama daya penggerak jentera yang menjadi simbol kepada kegiatan ekonomi dalam bentuk perusahaan / industri dan tenaga manusia.
"Bunga Padi" adalah simbol kepada kegiatan ekonomi dalam bentuk perusahaan, industri dan tenaga manusia sedang "Api" sebagai simbol semangat rakyat yang berinisiatif, berinspirasi dan berdaya usaha maju, manakala warna merah dan kuning adalah simbol kepada hasil utama Negara iaitu minyak, sementara warna biru merupakan simbol kepada hasil gas cecair asli.
Peserta kemudiannya membentuk "Glob" dalam segmen kelima sebagai perlambangan kepada hubungan antarabangsa kerana Negara selaku warga dunia telah menjadi ahli dalam beberapa pertubuhan penting antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Pada kemuncak persembahan di segmen keenam, grafik manusia akan memaparkan "Peta Negara Brunei Darussalam" yang melambangkan wilayah / sempadan kedaulatan negara dalam peta dunia yang bebas dari campur tangan negara lain.
Selamat menyambut hari kebangsaan yang ke-25, ex-tanah air ku yang kedua
Dulu saye duk Brunei, baru last year pindah KL balik. Lame oo dok situ. 12 tahun. Dah bleh apply PR pun. Heheee. Tapi tak mau la. Malaysia tetap dihatiku, walaupun saaaaaaayang sangat kat Brunei ni. Peaceful!